Singapura mencatat sejarah penghijrahan yang lama sekali, yang menyumbang kepada hampir 5 juta penduduk berbilang budaya yang terdiri daripada kaum Cina, Melayu, India, orang Asia lain, dan ras Caucasus.[9] 42% penduduk Singapura ialah orang asing yang bekerja atau belajar di sini. 50% pekerjaan perkhidmatan diisi oleh pekerja asing.[10][11] Singapura merupakan negara yang kedua paling padat dengan penduduk di dunia, di belakang Monaco.[12]A.T. Kearney mengungkit nama Singapura sebagai negara paling global di dunia dalam Indeks Globalisasi.[13]
Sebelum merdeka pada tahun 1965, Singapura sudah menjadi pelabuhan yang bersemangat dengan KDNK per kapita sebanyak $511, iaitu ketiga tertinggi di Asia Timur ketika itu.[14] Selepas merdeka, pelaburan langsung asing dan dorongan kerajaan ke arah pengindustrian berasaskan rancangan bekas Timbalan Perdana Menteri Dr. Goh Keng Swee membentuk sebuah ekonomi yang baru.[15]
Nama Singapura berasal daripada bahasa Sanskrit, iaitu siṃhāpura (सिंहपुर, "Kota Singa"). Oleh sebab itu, Singapura juga diberi nama timangan “Kota Singa”. Kajian menunjukkan bahawa di sini tidak pernah wujudnya singa; tetapi haiwan yang disangka sebagai singa oleh Sang Nila Utama, pengasas negeri Singapura yang memberikan nama pulau ini, mungkin sekali seekor harimau.[21][22]
Catatan terawal mengenai petempatan di Singapura adalah dari abad ke-2 Masihi.[23] Pulau ini dikenali dengan nama Temasek (bandar laut) yang berasal dari bahasa Jawa. Dari abad ke-16 hingga awal abad ke-19, Singapura menjadi wilayah Kesultanan Johor. Pada tahun 1613, petempatan di muara Sungai Singapura dibakar hingga musnah oleh penyerang Portugis, dan dibiarkan begitu sahaja selama dua abad seterusnya.
Pada 29 Januari 1819, Thomas Stamford Raffles mendarat di pulau utama Singapura. Setelah melihat potensinya sebagai pusat perdagangan strategik di Asia Tenggara, Raffles menandatangani perjanjian bersama Sultan Hussain Shah bagi pihak Syarikat Hindia Timur British pada 6 Februari 1819 untuk membangunkan bahagian selatan Singapura sebagai pos perdagangan dan petempatan British.[24]
Singapura kekal dalam penguasaan sebuah kesultanan Melayu, sehingga menjadi jajahan British pada 2 Ogos 1824, apabila John Crawfurd, Residen kedua Singapura yang secara rasminya menjadikan seluruh pulau sebagai taklukan British dengan menandatangani perjanjian dengan Sultan Hussain Shah, yang mana Sultan dan Temenggung menyerahkan Singapura kepada Syarikat Hindia Timur British. Pada tahun 1826, ia menjadi sebahagian jajahan British yang dikenali sebagai Negeri-negeri Selat. Pada tahun 1869, pulau ini didiami oleh 100,000 orang.[24]
Perang Dunia Kedua dan zaman pascaperang
Pada Perang Dunia Kedua, serangan Tentera Diraja Jepun terhadap Tanah Melayu, memuncak dengan Pertempuran Singapura. Pihak British ditumpaskan dalam masa enam hari, lalu menyerahkan kubu yang kononnya tak tertawan kepada Jeneral Tomoyuki Yamashita pada 15 Februari 1942. Kejadian ini disifatkan oleh Perdana Menteri British, Winston Churchill sebagai "malapetaka terburuk dan penyerahan terbesar dalam sejarah British".[25] Selepas kejatuhan Singapura, pembunuhan kaum Cina beramai-ramai oleh tentera Jepun meragut 5,000 – 25,000 nyawa.[26] Singapura dinamai semula sebagai Pulau Syonan (昭南島code: ja is deprecated , Shōnantō), yang membawa maksud “pulau selatan yang diraih pada zaman Shōwa”. Singapura dikuasai oleh Jepun sehingga dirampas balik oleh British pada 12 September 1945, sebulan selepas penyerahan kalah Jepun.
Berikutan perang itu, kerajaan British membenarkan Singapura mengadakan pilihan raya umum pertamanya pada tahun 1955, yang dimenangi oleh calon pro-kemerdekaan, David Marshall, ketua parti Barisan Buroh yang menjadi Ketua Menteri.
Demi memenuhi tuntutan pemerintahan sendiri sepenuhnya untuk Singapura, Marshall mengetuai perwakilan ke London, tetapi ditolak oleh British. Beliau meletak jawatan sekembalinya, lalu tempatnya diambil alih oleh Lim Yew Hock, yang melakarkan dasar-dasar yang menawan hati orang British. Singapura diberi kerajaan sendiri sepenuhnya dengan perdana menteri dan jemaah menteri sendiri yang mentadbir segala hal-ehwal kerajaan kecuali pertahanan dan hubungan luar.
Singapura secara rasminya mencapai kedaulatan pada 9 Ogos 1965.[29]Yusof bin Ishak mengangkat sumpah selaku Presiden, manakala Lee Kuan Yew menjadi perdana menteri pertama Republik Singapura.
Sebahagian besar kuasa ekesekutif terletak pada kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri. Jawatan Presiden Singapura yang asalnya berbentuk istiadat, diberi sedikit kuasa veto pada tahun 1991 untuk beberapa keputusan penting seperti penggunaan rizab negara dan pelantikan jawatan kehakiman. Cabang perundangan kerajaan tak lain tak bukan Parlimen.[33]
Ahli-Ahli Parlimen (MP) terdiri daripada ahli-ahli yang terpilih, tanpa kawasan undi dan dicalon. Majoriti MP ini dipilih menerusi Pilihan Raya Umum berasaskan sistem pemenang undi terbanyak, dan mewakili Kawasan Ahli Tunggal (Single Member Constituencies, SMC) atau Perwakilan Berkumpulan (Group Representation Constituencies, GRC).[35]
Sungguhpun diwarisi dari penjajahan Inggeris, dan banyak menerapkan unsur-unsur undang-undang am Inggeris, namun undang-undang Singapura nampaknya sudah menyimpang dari tradisi itu sejak merdeka. Misalnya, sistem perbicaraan juri dimansuhkan.
Antara undang-undang dan hukuman Singapura termasuk hukuman dera kehakiman dalam bentuk merotan untuk kesalahan seperti rogol, keganasan, rusuhan, salah guna dadah, perosakan harta awam, dan beberapa kesalahan imigresen.[38][39] Singapura juga mengenakan hukuman mati mandatori untuk pembunuhan darjah pertama dan pengedaran dadah.[40]Amnesty International menganggarkan bahawa Singapura mungkin mencatat “kadar hukuman mati berbanding jumlah penduduk terbesar di dunia”.[41] Pihak kerajaan bertegas bahawa Singapura selaku negara berdaulat berhak untuk menentukan sistem kehakiman sendiri dan mengenakan hukuman yang setimpal seperti yang dirasainya.[42]
Singapura menjalankan projek penebusgunaan tanah yang diperoleh dari bukit-bukau, dasar laut, dan negara jiran. Hasilnya, keluasan daratan Singapura membesar dari 581.5 km2 (224.5 bt2) pada 1960-an, kepada 704 km2 (271.8 bt2) pada masa kini, dan mungkin menokok 100 km2 (38.6 bt2) lagi pada tahun 2030.[44] Adakalanya, projek-projek sebegini melibatkan penggabungan pulau-pulau kecil secara penebusgunaan tanah untuk membentuk pulau yang lebih besar dan berguna, misalnya Pulau Jurong.
Iklim
Mengikut sistem pengelasan iklim Köppen, Singapura mengalami iklim iklim hutan hujan tropika tanpa peralihan musim yang ketara, suhu dan tekanan yang setara, kelembapan tinggi, dan curahan hujan yang lebat. Suhunya adalah di antara 22 hingga 34 °C (71.6 hingga 93.2 °F). Purata kelembapan relatifnya sekitar 90% pada waktu pagi dan 60% pada waktu petang. Ketika hujan lebat berpanjangan, kelembapan relatif sering mencapai 100%.[45] Suhu terendah dan tertinggi yang tercatat sepanjang sejarah maritim adalah 19.4 °C (66.9 °F) dan 35.8 °C (96.4 °F).
Bulan Mei dan Jun paling panas sekali, manakala November dan Disember membentuk musim monsun tengkujuh.[46] Dari bulan Ogos hingga Oktober, Singapura kerap mengalami jerebu kesan kebakaran hutan di negara jiran Indonesia, adakalanya cukup teruk untuk mengancam amaran kesihatan awam. Jangka waktu siang di Singapura lebih kurang sekata sepanjang tahun kerana kedudukan negara yang dekat dengan Khatulistiwa.
Kira-kira 23% kawasan darat Singapura terdiri daripada kawasan simpanan hutan dan alam semula jadi.[47] Proses pembandaran telah menghapuskan kebanyakan kawasan hutan hujan, sehingga tinggal Hutan Simpanan Bukit Timah sebagai satu-satunya hutan asal di negara. Di Singapura terdapat sebilangan taman alam, seperti Taman Botanik Singapura.
Singapura mengamalkan ekonomi pasaran yang cukup maju, yang selama ini berkisar pada perdagangan entrepôt yang luas. Di samping Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan, Singapura ialah salah satu daripada Empat Harimau Asia. Ekonominya amat bergantung pada eksport dan perhalusan barang import, terutamanya dalam bidang perkilangan, yang membentuk 26% KDNK Singapura pada tahun 2005[48], tetapi tidak dilupakan juga sumbangan besar dari sektor elektronik, penapisan petroleum, kimia, kejuruteraan mekanik dan sains bio-perubatan. Pada tahun 2006, Singapura menghasilkan kira-kira 10% keluaran wafer faundri sedunia.[49] Singapura juga bertuah dengan salah sebuah pelabuhan tersibuk di dunia dan pusat perdagangan tukaran asing keempat terbesar di dunia, di belakang London, New York dan Tokyo.[50] Singapura dinilai oleh Bank Dunia sebagai pusat logistik terunggul di dunia.[51]
Singapura diletakkan dalam senarai sepuluh ekonomi paling terbuka,[52]kompetitif[53] dan inovatif[54][55] di dunia. Dinilai sebagai ekonomi yang paling mesra perniagaan di dunia,[56][57] Singapura menyambut beratus-ribu ekspatriat dari luar negara yang bekerja dalam syarikat multinasional, di samping mengambil kerja beratus-ribu lagi buruh kasar asing.
Singapura memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax, GST) dengan kadar permulaan 3% pada 1 April 1994, untuk menambah S$1.6 bilion (US$1b, €800m) lagi kepada dana kerajaan, sekaligus menstabilkan kewangan kerajaan.[58] Kadar GST yang boleh dicukai dinaikkan ke 4% pada tahun 2003, 5% pada tahun 2004, dan 7% pada 1 Julai 2007.[59]
Pengangkutan
Singapura ialah sebuah hab pengangkutan antarabangsa utama di Asia yang letaknya di persilangan laluan perdagangan laut dan udara.
Pelabuhan Singapura yang diurus oleh pengendali pelabuhan, PSA International dan Jurong Port, merupakan pelabuhan kedua tersibuk di dunia pada tahun 2005, dari segi jumlah berat hantaran pada 1.15 bilion tan kasar, dan dari segi lalu lintas berkontena pada 23.2 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU). Selain itu, Pelabuhan Singapura adalah yang tersibuk di dunia bagi lalu lintas pemunggahan, dan juga pusat pengisian semula bahan api kapal terbesar di dunia.[60]
Singapura merupakan hab penerbangan untuk rantau Asia Tenggara dan sebuah perhentian di laluan Kanggaru di antara Australasia dan Eropah. Lapangan Terbang Changi Singapura mempunyai serangkaian 80 sistem penerbangan yang menghubungkan Singapura dengan 200 bandaraya di 68 negara. Ia pernah dinilai sebagai salah sebuah lapangan terbang antarabangsa terbaik di dunia oleh majalah-majalah pelancongan antarabangsa, termasuk dinobatkan sebagai lapangan terbang terbaik buat julung kalinya pada tahun 2006 oleh Skytrax.[61] Kini, lapangan terbang ini ada tiga terminal penumpang, dan sebuah penumpang bajet yang memberi kemudahan kepada Tiger Airways dan Cebu Pacific. Sistem penerbangan negara ialah Singapore Airlines (SIA). Lapangan Terbang Changi diswastakan pada tahun 2009 dan kini milik mutlak Changi Airport Group.
Sistem tren alihan massa utama negara, iaitu Sistem Pengangkutan Gerak Cepat (Mass Rapid Transit, MRT) beroperasi sejak tahun 1987. Sistem MRT ini dilengkapkan lagi dengan Sistem Rel Ringan (Light Rail Transit, LRT) untuk memperluas capaian kepada kawasan perumahan. Sistem EZ-Link yang dilancarkan pada tahun 2001 membolehkan kad pintar tanpa sentuh berfungsi sebagai tiket nilai simpanan untuk digunakan dalam sistem pengangkutan awam di Singapura.
Pelancongan
Singapura ialah sebuah destinasi popular yang menyumbang kepada perkembangan industri Singapura. Jumlah kedatangan pelawat adalah 10.2 juta pada tahun 2007.[62] Untuk menarik lebih ramai lagi pelancong, kerajaan memutuskan untuk menarik balik larangan berjudi dan membenarkan pembinaan dua tempat penginapan kasino yang dibangunkan di Marina South dan Sentosa pada tahun 2005.[63] Untuk menyaingi bandaraya-bandaraya serantau seperti Bangkok, Hong Kong, Tokyo dan Shanghai, kerajaan telah mengumumkan bahawa kawasan bandaraya diberi perubahan untuk menjadi sebuah tempat yang mengujakan dengan mencerahkan lagi bangunan awam dan perdagangan.[64] Makanan juga dijadikan tarikan utama kepada pelancong dengan Singapore Food Festival yang diadakan setiap bulan Julai untuk meraikan masakan Singapura.
Singapura turut mempromosikan diri sebagai pusat pelancongan perubatan; kira-kira 200,000 warga asing menerima jagaan perubatan di sini setiap tahun. Perkhidmatan perubatan Singapura berazam untuk memberikan khidmat kepada sejuta orang pesakit menjelang tahun 2012 untuk menjana pendapatan AS$ 3 bilion.[65] Kerajaan menyatakan bahawa ini boleh membuka kira-kira 13,000 peluang pekerjaan baru dalam industri kesihatan.
Mata wang Singapura ialah dolar Singapura yang dilambangkan oleh S$ atau singkatan ISO-nya, SGD. Bank pusatnya ialah Penguasa Kewangan Singapura (Monetary Authority of Singapore) yang bertanggungjawab mengeluarkan mata wang. Singapura menubuhkan Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang pada tahun 1967[66]
untuk mengeluarkan wang syiling dan kertas pertamanya.[67] Dolar Singapura boleh ditukar setara dengan ringgit Malaysia sehingga tahunl 1973[67], tetapi masih mengekalkan kesalingbolehtukaran dengan dolar Brunei hingga kini.[67][68] Pada 27 Jun 2007, sempena ulang tahun ke-40 perjanjian mata wang dengan Brunei, wang kertas peringatan S$20 dilancarkan; muka belakangnya seiras dengan wang kertas B$20 yang dilancarkan serentak dengan wang kertas Singapura itu.[68]
Hubungan luar
Singapura menjalin hubungan diplomatik dengan 175 negara,[69] namun tidak membuka suruhanjaya tinggi atau kedutaan di kebanyakan negara tersebut. Ia menganggotai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Negara-negara Komanwel, ASEAN dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali. Atas sebab-sebab geografi yang nyata, hubungan dengan Malaysia dan Indonesia adalah penting sekali, tetapi politik dalam negara-negara tersebut boleh mengganggu hubungan tersebut.
Singapura juga menikmati hubungan erat dengan kebanyakan negara Eropah, seperti Perancis, Jerman dan United Kingdom. Singapura dan UK berkongsi pertalian menerusi Perjanjian Pertahanan Lima Negara bersama Malaysia, Australia dan New Zealand. Hubungan baik dengan Amerika Syarikat juga dikekalkan kerana negara besar itu dilihat sebagai kuasa penstabil yang mengimbang balas kuasa-kuasa serantau.
Singapura menyokong konsep regionalisme Asia Tenggara serta memainkan peranan besar selaku salah sebuah anggota perintis Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Ia juga menganggotai forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang membuka Sekretariat di Singapura. Singapura juga berhubungan erat dengan Brunei dan mengendali kemudahan latihan Angkatan Darat di situ.
Singapura adalah antara negara terawal yang menjalin hubungan rasmi dengan Republik Rakyat China setelah negara tersebut membuka pintunya pada tahun 1978.[70][71] Kota singa ini mengiktiraf dasar Satu China yang dikuat kuasa oleh RRC dan menjalin hubungan perdagangan meluas bersama negara itu, biarpun pada masa yang sama menjalin hubungan dengan Republik China di Taiwan.
Angkatan bersenjata Singapura berperanan utama sebagai alat pencegahan penceroboh serta menyediakan bantuan kemanusiaan kepada negara lain. Singapura juga menjalin pakatan pertahanan bersama beberapa negara lain, khususnya Perjanjian Pertahanan Lima Negara. Singapura juga membuka tempat latihan yang menyeluruh di luar negara, di Amerika Syarikat, Australia, Republik China (Taiwan), New Zealand, Perancis, Thailand, Brunei, India dan Afrika Selatan. Sejak tahun 1980, konsep dan strategi "Pertahanan Mutlak" (Total Defence) telah dilaksanakan dalam segala aspek keselamatan, bertujuan memperkuat Singapura untuk menghadapi segala jenis ancaman.
Undang-undang Singapura mewajibkan setiap warganegara lelaki dan penduduk tetap (generasi kedua) Singapura yang tegap dan sihat untuk menjalani Khidmat Negara (National Service) selama dua tahun sekurang-kurangnya, sebaik sahaja mencecah usia 18 tahun atau menghabiskan pengajiannya (yang mana sahaja dahulu), tetapi boleh diberi pelepasan atas sebab-sebab perubatan atau lain-lain. Selepas berkhidmat selama dua tahun, setiap warga lelaki dianggap sedia beroperasi, dan juga wajib menunaikan tanggungjawab sebagai perajurit simpanan sehingga usia 40 tahun (50 tahun untuk pegawai bertauliah). Warga yang sihat dari segi perubatan juga mesti menjalani Ujian Kecekapan Fizikal Individu (Individual Physical Proficiency Test, IPPT) setiap tahun dalam program latihan mereka. Lebih 350,000 orang lelaki berkhidmat sebagai perajurit yang sedia beroperasi yang ditugaskan kepada unit tempur simpanan, dan 72,500 orang lagi membentuk kor khidmat negara dan biasa.
Sumber pertahanan Singapura pernah digunakan dalam misi bantuan kemanusiaan antarabangsa, termasuk tugasan pengamanan PBB di 11 negara lain.[72] Pada September 2005, Angkatan Udara Republik Singapura menghantar tiga buah helikopter CH-47 Chinook ke Louisiana untuk membantu operasi bantuan Taufan Katrina. Ekoran kejadian tsunami Asia 2004, SAF menghantar kereta kebal dan helikopter untuk membantu operasi bantuan kepada negara-negara yang terjejas.
Kependudukan Singapura mencatat peratusan warga luar negara keenam tertinggi di dunia. Kira-kira 42% penduduk Singapura ialah warga asing dan warga asing mengisi 50% sektor perkhidmatan negara ini.[10][11] Kebanyakan warga asing berasal dari China, Malaysia, Filipina, Amerika Utara, Timur Tengah, Eropah, Australia, Bangladesh dan India. Negara ini juga adalah yang kedua paling padat dengan penduduk di belakang Monaco.[12] Menurut statistik kerajaan, jumlah penduduk Singapura pada tahun 2009 adalah 4.99 juta, yang mana 3.2 juta adalah warganegara Singapura yang sebetulnya.[73] Majoriti penduduk Singapura terdiri daripada kaum Cina iaitu 74.2% jumlah penduduk, diikuti Melayu 13.4%, India 9.2%, dan Serani, Arab dan lain-lain 3.2%.
Pada tahun 2009, jumlah kadar kesuburan Singapura adalah 1.22 anak per wanita (1.08 Cina, 1.14 India, 1.82 Melayu)[74], ternyata jauh di bawah paras 2.10 yang diperlukan untuk menyilih penduduk secukupnya.[73][75] Pada tahun 2008, 39,826 bayi dilahirkan di sini, berbanding sekitar 37,600 pada tahun 2005, namun bilangan itu tidak memadai untuk menampung pertumbuhan penduduk. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan menggalakkan warga asing berhijrah ke Singapura. Keramaian penghijrah asing ini telah memastikan jumlah penduduk Singapura tidak merosot.[76]
Agama Buddha paling ramai penganutnya di Singapura, iaitu 42.5% [77] penduduk negara yang mengaku sebagai penganutnya dalam banci terkini. Biara dan pusat Dharma dari ketiga-tiga aliran Buddha (Theravada, Mahayana dan Vajrayana) mudah terdapat di Singapura. Kebanyakan penganut Buddha di Singapura berketurunan Cina dan mengikut aliran Mahayana..[78]
Pendidikan
Sistem persekolahan Singapura terdiri daripada enam tahun sekolah rendah, lima tahun sekolah menengah, dan peringkat pengajian tinggi, tetapi tidak mengamalkan sistem persekolahan vernakular. Bahasa Inggeris merupakan bahasa perantaraan semua sekolah di Singapura.
Para pelajar menghadiri sekolah rendah selama enam tahun mulai usia tujuh tahun, sehingga berakhir dengan peperiksaan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE). Sekolah rendah mengajar empat mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Bahasa Ibunda (Mandarin, Melayu dan Tamil). Semua mata pelajaran diajar dan diperiksa dalam bahasa Inggeris kecuali Bahasa Ibunda yang diajar dan diuji dalam bahasa masing-masing. Biarpun "Bahasa Ibunda" secara umumnya memaksudkan bahasa pertama, namun dalam sistem pendidikan Singapura, istilah tersebut memaksudkan bahasa kedua atau tambahan kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa pertamanya. Sekolah rendah awam tidak mengenakan yuran persekolahan, tetapi mungkin ada yuran tambahan nominal untuk kemudahan sekolah.[79]
Selepas sekolah rendah, pelajar biasanya menghadiri sekolah menengah selama empat hingga lima tahun. Terdapat pelbagai subjek yang ditawarkan di sekolah menengah, termasuk bahasa Inggeris, bahasa ibunda, geografi, sejarah, matematik asas, matematik tambahan, kimia, fizik, biologi, bahasa Perancis dan bahasa Jepun.
Seseorang pelajar lazimnya mengambil tujuh atau lapan mata pelajaran, tetapi tidak kurang juga yang mengambil lebih daripada lapan. Sekali lagi, semua mata pelajaran dalam sekolah menengah diajar dan diuji dalam bahasa Inggeris, kecuali bahasa ibunda iaitu dalam bahasa Melayu, Mandarin atau Tamil. Pada akhir sekolah menengah, para pelajar mengambil peperiksaan Singapore-Cambridge GCE 'O' Level, yang mana keputusannya menentukan jenis laluan pendidikan pasca menengah yang boleh dikejar oleh mereka.[80] Yuran sekolah di kebanyakan sekolah menengah awam adalah nominal, iaitu sekitar S$5 selepas subsidi.[81] Namun, terdapat beberapa sekolah menengah swasta yang mengenakan yuran beratus dolar sebulan.
Selepas peperiksaan O Level yang diambil sekitar usia 16 tahun, para pelajar biasanya berdaftar dalam Kolej Rendah (Junior College), Institut Terpusat (Centralised Institute) atau Politeknik. Program dalam Kolej Rendah atau Institut Terpusat berkesudahan dengan peperiksaan GCE A Level selepas dua atau tiga tahun.
Bahasa Inggeris adalah yang paling dominan di Singapura,[85][86] tidak seperti negara jirannya di Malaysia dan Indonesia yang dikuasai oleh bahasa Melayu.[87] Bahasa Inggeris di Singapura ada pelbagai ragamnya, baik bahasa Inggeris piawai mahupun bahasa kriol berasaskan Inggeris yang dikenali sebagai “Singlish”. Di kalangan rakyat Singapura, bahasa Inggeris paling ramai penuturnya, diikuti oleh bahasa Mandarin, Melayu dan Tamil.[88] Ejaan dan perbendaharaan kata yang diterima guna berasaskan bahasa Inggeris British,[89] tetapi ada sedikit kelainan, seperti kegunaan pants (dari Amerika, “seluar panjang”) yang jauh mengatasi trousers (dari British).[90] Penggunaan bahasa Inggeris begitu meluas di Singapura selepas tahun 1965, sejak pelaksanaan bahasa itu sebagai bahasa perantara utama dalam sistem pendidikan Singapura.[91] Di sekolah, anak-anak diwajibkan mempelajari bahasa Inggeris dan satu daripada tiga bahasa rasmi lain sebagai bahasa ibunda.[92]
Bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan atas sebab sejarah dan simbolik,[93] dan menjadi bahasa pertuturan utama masyarakat Melayu Singapura. Bahasa Melayu digunakan dalam lagu kebangsaan, "Majulah Singapura"[94], pencetakan duit syiling dan perintah tentera. Namun demikian, kira-kira 85% rakyat Singapura tidak berbahasa Melayu.[88]
Penggunaan Bahasa Mandarin juga meluas di Singapura, hasil kempen dan usaha awam tajaan kerajaan untuk menyokong penerimaan bahasa Mandarin sebagai ganti untuk loghat-loghat Cina yang lain.[95]
Bahasa Tamil pula dipertuturkan oleh kira-kira 60% masyarakat India Singapura, atau 5% seluruh rakyat Singapura. Bahasa-bahasa India yang lain seperti Malayalam, Telugu dan Hindi turut digunakan oleh segelintir penduduk India di Singapura.
Disebabkan kepelbagaian penduduk dan latar belakang penghijrahan, budaya Singapura sering diperikan sebagai campuran budaya, iaitu British, Melayu, Cina, India dan Peranakan. Warga asing membentuk 42% penduduk Singapura[10][11] dan memainkan peranan besar dalam mempengaruhi budaya Singapura.
MediaCorp, syarikat media milik negara, mengendali ketujuh-tujuh saluran televisyen terestrial percuma tempatan, dan juga 14 saluran radio. Semua stesen radio dan televisyen merupakan entiti milik kerajaan. Stesen-stesen radionya dikendali oleh MediaCorp kecuali empat buah yang dikendali oleh SAFRA Radio dan SPH UnionWorks. Perkhidmatan televisyen berbayar kabel dan IPTV dimiliki oleh StarHub dan SingTel. Adalah salah di sisi undang-undang untuk memiliki penerima cakera satelit persendirian yang mampu menerima kandungan televisyen yang tak tertapis.
Media cetak Singapura merangkumi sejumlah 16 surat khabar dan beberapa judul majalah yang berada di pasaran. Akhbar harian diterbitkan dalam bahasa Inggeris, Cina, Melayu dan Tamil. Media cetak dikuasai oleh Singapore Press Holdings (SPH), penerbit berkaitan kerajaan yang terkenal sebagai pengeluar akhbar bahasa Inggeris harian terbesar, The Straits Times. SPH menerbitkan hampir semua suratkhabar harian tempatan, termasuk akhbar harian dwibahasa, My Paper yang diwar-warkan sebagai akhbar pertama di dunia yang memberikan liputan sama rata dalam bahasa Inggeris dan Cina. Kebanyakan akhbar ini ada versi Internetnya, tak kira The Straits Times, Business Times, mahupun Today (tabloid percuma dalam bahasa Inggeris terbitan MediaCorp).
Kesenian
Sejak 1990-an, kerajaan berusaha mempromosikan Singapura sebagai pusat kesenian dan kebudayaan, terutamanya seni persembahan, serta mentransformasikan negara menjadi 'pintu kosmopolitan antara Timur dan Barat'.[96] Antara hasil-hasil usaha tersebut termasuk pembinaan Esplanade, sebuah pusat seni persembahan berkelas tinggi yang dibuka pada 12 Oktober 2002.[97] Selain itu, Singapore Arts Festival merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Majlis Kebudayaan Kebangsaan. Bidang komedi berdiri juga semakin berkembang dengan adanya acara “open mic” mingguan.[98] Singapura menjadi tuan rumah Pertandingan Balet Antarabangsa Genee 2009, sebuah kejohanan balet klasikal berprestij yang dipromosikan oleh Royal Academy of Dance, sebuah lembaga tarian antarabangsa yang bertapak di London, UK.[99]
Sukan dan rekreasi
Penduduk Singapura paling menggemari sukan-sukan seperti bola sepak, bola keranjang, kriket, renang, berlayar, ping pong dan badminton.
Kebanyakan besar penduduk Singapura tinggal dalam kawasan perumahan awam yang dilengkapi kemudahan seperti kolam renang awam, gelanggang bola keranjang terbuka dan kompleks sukan tertutup yang berdekatan. Seperti yang diharapkan di sesebuah pulau, sukan air memang diminati ramai, seperti berlayar, berkayak dan luncur air. Selam skuba juga menjadi rekreasi utama, terutamanya di sekitar Pulau Hantu di selatan tanah besar yang terkenal kerana kekayaan terumbu karangnya.
Para atlit Singapura beraksi di pelbagai temasya sukan serantau dan antarabangsa dalam sukan-sukan seperti pingpong, badminton, boling, berlayar, silat, renang dan polo air. Atlet-atlet seperti Fandi Ahmad, Ang Peng Siong, Li Jiawei dan Ronald Susilo menjadi amat terkenal di negara ini.
Singapura ada liga bola sepak tersendiri, iaitu S-League yang diasaskan pada tahun 1996, kini merangkumi 12 kelab dengan 3 pasukan luar negara.
^ ab"Founding of Modern Singapore". Ministry of Information, Communications and the Arts, Singapore. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-05-08. Dicapai pada 9 November 2010.
^Wong Choon Mei (6 September 2006). "Singapore the most business-friendly economy in the world: World Bank". Channel NewsAsia. Singapura. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-05-15. Dicapai pada 22 April 2010. According to a World Bank-IFC report, Singapore beats previous winner New Zealand for the top spot in the 2005/2006 rankings while the United States came in third
^"Singapore top paradise for business: World Bank". AsiaOne. Singapura. Agence France Presse. 26 September 2007. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-07-07. Dicapai pada 22 April 2010. For the second year running, Singapore tops the aggregate rankings on the ease of doing business in 2006 to 2007, the World Bank said in releasing its 'Doing Business 2008' report.
^Low Siang Kok, Director (Quality), Board of Commissioners of Currency, Singapore (22 Jun 2002). "Chapter 6: Singapore Electronic Legal Tender (SELT) – A Proposed Concept". The Future of Money / Organisation for Economic Co-operation and Development(PDF). Paris: OECD Publications. m/s. 147. ISBN92-64-19672-2. Dicapai pada 28 Disember 2007. The Board of Commissioners of Currency, Singapore (BCCS) was established on 7 April 1967 by the enactment of the Currency Act (Chapter 69). It has the sole right to issue currency notes and coins as legal tender in Singapore.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
^ abc"The Currency History of Singapore" (Siaran akhbar). Monetary Authority of Singapore. 9 April 2007. Dicapai pada 22 April 2010. On 12 Jun 1967, the currency union which had been operating for 29 years came to an end, and the three participating countries, Malaysia, Singapore and Brunei each issued its own currency.
Hill, Michael (1995). Kwen Fee Lian (penyunting). The Politics of Nation Building and Citizenship in Singapore. Routledge. ISBN0-415-12025-X.
King, Rodney (2008). The Singapore Miracle, Myth and Reality. Insight Press. ISBN0-9775567-0-0.
Mauzy, Diane K.; Milne, R.S. (2002). Singapore Politics: Under the People's Action Party. Routledge. ISBN0415246539.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
Tan, Kenneth Paul (2007). Renaissance Singapore? Economy, Culture, and Politics. NUS Press. ISBN9789971693770.
Lee Kuan Yew (2000). From Third World To First: The Singapore Story: 1965–2000. New York: HarperCollins. ISBN 0-06-019776-5
Worthington, Ross (2002). Governance in Singapore. Routledge/Curzon. ISBN0-7007-1474-X.
"Census of Population (2000)"(PDF). Singapore Department of Statistics. Diarkibkan daripada yang asal(PDF) pada 2007-09-19. Dicapai pada 11 Januari 2000. Check date values in: |accessdate= (bantuan)
"Key Facts & Figures". Ministry of Transport, Singapore. Dicapai pada 11 Januari 2003.
"Nation's History". Singapore Infomap. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-04-21. Dicapai pada 11 Januari 2004.
"MOE-PRIME". Programme For Rebuilding and IMproving Existing schools (PRIME). Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-08-23. Dicapai pada 15 Mei 2007.