Inisiatif Chiang Mai (CMI) ialah satu persetujuan mengenai bantuan kecairan serantau yang melibatkan 13 bank pusat negara anggota ASEAN+3 yang bersetuju menyalurkan kredit kepada satu sama lain sekiranya berlaku krisis sementara imbangan pembayaran atau kecairan. CMI diumumkan ketika perjumpaan menteri-menteri kewangan ASEAN+3 untuk mesyuarat tahunan Bank Pembangunan Asia (ADB) di Chiang Mai, Thailand, pada bulan Mei 2000.[1] Mula berkuatkuasa pada 24 Mac 2010, bantuan kecairan ini mempunyai dana rizab pertukaran asing bernilai AS$120 billon.[2]
Tinjauan sejarah
Berikutan krisis kewangan Asia 1997/98, negara-negara Asia Timur berkongsi pendapat mengenai perlunya kerjasama yang lebih erat, bukan sahaja sebagai penampan kepada berulangnya krisis yang serupa tetapi juga untuk menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi. Keadaan yang wujud pada masa itu juga menunjukkan keperluan bertindak pantas melalui satu kerjasama pengaturan kewangan sebagai tambahan kepada kemudahan di bawah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Pada Kemuncak Persidangan ASEAN+3 bulan November 1999 di Manila, Filipina, pemimpin-pemimpin ASEAN+3 bersetuju untuk menguatkan lagi mekanisme kerjasama melalui kerangka ASEAN+3. Pada perjumpaan menteri-menteri kewangan ASEAN+3 pada bulan Mei 2000 di Chiang Mai, mereka bersetuju untuk menubuhkan perjanjian kewangan serantau sebagai tambahan kepada kemudahan antarabangsa sedia ada.
Rangka kerja CMI
CMI terdiri daripada Pengaturan Swap ASEAN dan jaringan Pengaturan Swap Dua Hala, seperti berikut[3]:
Pengaturan Swap ASEAN (ASA) – dilancarkan pada tahun 1977 dengan kemudahan berjumlah AS$100 juta, ASA pada mulanya melibatkan Filipina, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand. ASA kemudian telah diperluaskan merangkumi semua negara anggota ASEAN, dengan jumlah terkini AS$2 bilion. Mereka boleh memohon untuk menswapkan mata wang tempatan dengan dolar Amerika, yen atau euro sehingga dua kali ganda jumlah komitmen masing-masing dan untuk tempoh maksimum enam bulan. Sebagai satu kemudahan pembayaran segera, pinjaman di bawah ASA harus dibuat dalam tempoh tujuh hari bekerja mulai dari tarikh permohonan dikemukakan kepada Bank Agen yang dilantik untuk menguruskannya; dan
Pengaturan Swap Dua Hala (BSA) – saiz pengaturan swap di bawah setiap perjanjian yang ditandatangani antara negara anggota ASEAN+3 ditentukan melalui rundingan dua hala. Pengeluaran segera sehingga 20.0% jumlah maksimum pinjaman boleh dibuat apabila negara pemberi swap mengesahkan bahawa negara pemohon swap memang mengalami masalah kecairan jangka pendek. Baki hanya akan dikeluarkan setelah negara penerima berada di bawah program IMF. Sehingga kini, 16 BSA berjumlah AS$80 bilion telah ditandatangani, melibatkan lapan negara anggota.
Langkah seterusnya
Negara anggota ASEAN+3 bersetuju berusaha ke arah satu rangka kerja yang lebih maju dengan meluaskan CMI ke peringkat pelbagai hala untuk terus memperkukuhkan CMI. Mereka telah menubuhkan sebuah pasukan petugas untuk menghalusi pelaksanaan perkara ini. Sebagai langkah awal, ia akan menumpukan kepada penubuhan pengaturan rizab terkumpul yang ditadbir sendiri menerusi satu perjanjian.