Nama ini merupakan nama orang dalam bahasa Cina; nama keluarganya ialah Wong.
Lawrence Wong Shyun Tsai[a] (lahir 18 Disember 1972) ialah seorang ahli politik, ahli ekonomi dan bekas penjawat awam Singapura yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri Singapura ke-4 sejak Mei 2024 dan Menteri Kewangan sejak Mei 2021. Seorang ahli Parti Tindakan Rakyat (PAP), beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Agung PAP sejak Disember 2024. Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Bahagian Limbang KUPB Marsiling-Yew Tee sejak September 2015 dan Bahagian Boon Lay KUPB Pantai Barat dari Mei 2011 hingga September 2015. Selain itu, beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri dari Jun 2022 hingga Mei 2024, Timbalan Setiausaha Agung PAP dari November 2022 hingga Disember 2024, Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dari Julai 2023 hingga Mei 2024, Menteri Pendidikan dari Julai 2020 hingga Mei 2021, Menteri Kewangan Kedua dari Ogos 2016 hingga Mei 2021, Menteri Pembangunan Negara dari Oktober 2015 hingga Julai 2020, Menteri Komunikasi dan Maklumat Kedua dari Mei 2014 hingga September 2015 serta Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia dari November 2012 hingga September 2015, di mana beliau merupakan Pemangku Menteri dari November 2012 hingga April 2014.[1][2][3][4]
Sebelum menjadi ahli politik, Wong bekerja di Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI), Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (MOH). Beliau pernah menjadi Setiausaha Peribadi Utama kepada Perdana Menteri ke-3 Lee Hsien Loong dari tahun 2005 hingga 2008. Wong juga berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dari tahun 2009 hingga 2011.
Wong membuat penampilan politik pertamanya dalam pilihan raya umum 2011, di mana beliau bertanding di KUPB Pantai Barat sebagai sebahagian daripada pasukan lima ahli PAP dan memenangi kerusi tersebut. Beliau kemudian bertanding di KUPB Marsiling–Yew Tee dalam pilihan raya umum 2015 dan mengekalkan kerusi parlimennya dalam pilihan raya umum 2020.
Wong mempengerusi Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian mengenai COVID-19 bersama Gan Kim Yong, Menteri Kesihatan Singapura dalam bertindak balas terhadap wabak virus pandemik COVID-19 di negara tersebut.[5] Sebagai Menteri Kewangan, beliau telah mengawasi kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) secara beransur-ansur, seperti yang disokong oleh kerajaan Lee – 8% pada tahun 2023 dan 9% pada tahun 2024, meningkat daripada 7% yang telah ditetapkan sejak 2007. Pada April 2022, beliau dipilih sebagai pemimpin pasukan generasi keempat PAP, menjadikannya pengganti jelas kepada Lee. Wong dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Singapura pada 13 Jun 2022, berkhidmat bersama Heng Swee Keat. Pada 26 November 2022, Wong dilantik ke jawatan baharu sebagai Timbalan Setiausaha Agung PAP.
Beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Strategi Pelaburan GIC mulai 7 Julai 2023 dan juga Pengerusi Majlis Penasihat Antarabangsa (IAC) Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB) dari 8 Julai 2023 sehingga beliau menyerahkan jawatan tersebut kepada Gan Kim Yong pada 1 Jun 2024. Wong turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah GIC pada 1 Oktober 2023.
Pejabat Perdana Menteri Singapura mengeluarkan kenyataan rasmi mengumumkan pada 15 April 2024 bahawa Wong akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri genap sebulan tanggal 15 Mei menggantikan penjawat sebelumnya, Lee Hsien Loong.[6]
Pada 15 Mei 2024, Wong mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura ke-4, menjadi perdana menteri pertama yang lahir selepas penubuhan Singapura moden. Pada 4 Disember 2024, beliau dipilih sebagai Setiausaha Agung PAP yang juga menggantikan Lee.
Latar belakang
Lawrence Wong ialah seorang Cina Singapura berketurunan Hainan,[7] rumah nenek moyangnya terletak di Kampung Beishan, Bandar Huiwen, Wenchang, Wilayah Hainan, China.[8][9]