Parti Berjasa Malaysia (BERJASA; Jawi: باريسن جماعه اسلاميه سمليساcode: ms is deprecated ) ialah sebuah parti politik di Malaysia. BERJASA merupakan parti yang diasaskan oleh Dato' Haji Muhamed bin Nasir, bekas Menteri Besar Kelantan, pada tahun 1977 setelah beliau disingkirkan daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Sebelum Penubuhan ː Pengekalan Kuasa UMNO di Kelantan
Pelantikan Datuk Mohd Asri Muda sebagai Menteri dalam Kabinet Persekutuan semasa kerajaan campuran yang sebelumnya menjadi sumber kekuatan PAS Kelantan memberikan kelebihan kepada UMNO untuk memperkukuhkan kedudukan parti tersebut dalam proses politik Kelantan. UMNO Kelantan menyedari parti tersebut berada di pihak yang lemah sekiranya PAS terus diberi peluang menerajui kerajaan negeri. Menyedari hakikat tersebut, UMNO tidak mempunyai pilihan lain kecuali melakukan sesuatu tindakan yang boleh memberi keuntungan kepada UMNO tanpa mengubah struktur yang sedia ada. [1]
Pada PRU-4 (1974), UMNO diperuntukkan sebanyak 13 kerusi, manakala PAS diberikan sebanyak 22 kerusi. Oleh itu, bagi memastikan UMNO mempunyai suara yang kuat dalam Kerajaan BN di negeri Kelantan, UMNO tidak mempunyai pilihan kecuali memastikan Menteri Besar dari kalangan ahli PAS yang bakal dilantik itu boleh bekerjasama dengan parti tersebut. Bahkan, keadaan akan menjadi lebih baik lagi sekiranya Menteri Besar itu berada di bawah pengaruh UMNO. Jika ini berlaku, tindakan UMNO untuk melaksanakan agenda pambangunan di Kelantan akan menjadi lebih mudah, sekaligus dapat meningkatkan sokongan orang Melayu kepada parti berkenaan. [2]
Berasaskan kepada perkiraan tersebut, UMNO Kelantan melalui Tengku Razaleigh yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Istana Kelantan telah mendekati dan melobi pihak Istana terlebih dahulu, sebelum pihak PAS mengemukakan calonnya kepada Sultan untuk diperkenankan. Memandangkan kuasa melantik Menteri Besar adalah merupakan kuasa Perdana Menteri, UMNO mengemukakan nama Muhammad Nasir sebagai calon Menteri Besar Kelantan yang baru.[2]
Sebelum Penubuhan ː PAS Berpecah Kepada Dua Pihak
Sebelum PRU-4 (1974), Muhammad Nasir merupakan Timbalan Menteri Besar. Mengenai pencalonan Muhammad Nasir sebagai Menteri Besar, Sultan juga turut dimaklumkan bahawa Tun Razak merestui pemilihan tersebut. Akibatnya, PAS melalui Asri Muda terpaksa bersetuju dengan cadangan UMNO bagi menjaga hubungan baik dengan Tun Razak dan turut didorong oleh hasrat ingin melihat perpaduan UMNO dan PAS terus berkekalan dalam BN. Tambahan pula, Muhammad Nasir juga merupakan ahli PAS walaupun Asri Muda terpaksa berpuas hati dengan pelantikan calon pilihannya iaitu Wan Ismail Wan Ibrahim sebagai Timbalan Menteri Besar. [2][3]
Situasi berkenaan menjadi kemelut yang akhirnya telah menggugat perpaduan dalam PAS iaitu wujud satu pihak yang menyokong Asri Muda dan satu pihak lagi menyokong Muhammad Nasir. Tambahan pula, tindak tanduk Muhammad Nasir sebagai Menteri Besar dalam urusan politik dan pentadbiran negeri memberikan lebih banyak keuntungan kepada UMNO berbanding PAS. Berikutan itu, PAS Kelantan memaksa Muhammad Nasir meletak jawatan melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri pada 15 dan 16 Oktober 1977. Akibatnya, kedudukan BN tergugat setelah pihak UMNO menentang tindakan itu.[4]
Penubuhan BERJASA
Selepas dipecat daripada PAS[5], Muhammad Nasir mengadakan mesyuarat bersama-sama pengikutnya dalam usaha menubuhkan parti baharu. Muhammad Nasir kemudiannya menubuhkan BERJASA pada Disember 1977 bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh PAS setelah parti itu meninggalkan BN. BERJASA kemudiannya mengadakan kerjasama politik dengan UMNO bagi mengharungi PRU-5 (1978), terutamanya bertujuan untuk menentang PAS, khususnya di Kelantan.
BERJASA diterima menyertai BN pada 17 Mei 1980. UMNO dan BERJASA bekerjasama erat untuk menjatuhkan PAS. Pembahagian kerusi DUN dan parlimen antara UMNO dan BERJASA dibuat dengan UMNO berjaya mendapat lebihan kerusi berbanding BERJASA. UMNO sebagai parti induk meletakkan lebih ramai calonnya dalam Pilihan Raya Negeri 1978. Faktor kekalahan PAS kepada UMNO di Kelantan pada pilihan raya tersebut adalah disumbangkan oleh kewujudan BERJASA yang menyokong UMNO dalam pilihan raya itu.[6]
Pilihan Raya DUN Kelantan tahun 1978 merupakan pilihan raya pertama yang ditandingi oleh BERJASA. Pilihan raya ini diadakan setahun lebih awal dari masa yang sepatutnya setelah berlakunya krisis politik di Kelantan yang berakhir dengan pelaksanaan darurat. Pengalaman pertama menyertai pilihan raya bagi parti yang baru ditubuhkan dengan memperoleh 11 kerusi daripada 24 kerusi DUN merupakan pencapaian yang memberangsangkan bagi BERJASA. Pilihan Raya Negeri Kelantan 1978 telah menyaksikan kejatuhan pemerintahan PAS selepas 4 penggal. BERJASA yang diatur penubuhan dan kerjasama UMNO didaftarkan dalam tempoh yang pendek sebagai persiapan untuk PRN.
UMNO/BN bersama BERJASA membentuk kerajaan campuran, di mana Tan Sri Mohamed Yaacob, ADUN Lanas dari UMNO/BN menjadi Menteri Besar, manakala Tan Sri Muhamed bin Nasir dilantik sebagai Senator menjawat Menteri Kabinet di Jabatan Perdana Menteri.
Dari sudut pembahagian kerusi, 12 kerusi ditandingi BN bagi melawan PAS, 12 kerusi ditandingi BERJASA bagi melawan PAS, manakala baki 12 kerusi ditandingi secara bersama antara BN dan BERJASA bagi menentang PAS.
Hasil keputusannyaː
BN menang 23 kerusi daripada 24 yang ditandingi, termasuk semua kerusi yang ditandingi bersama BERJASA bagi melawan PAS.
BERJASA pula menang 11 dari 12 kerusi yang melawan PAS, manakala kalah di kesemua 12 kerusi yang ditandingi bersama BN bagi melawan PAS.
PAS menang 2 kerusi sahaja
BERJASA kalah kepada PAS di DUN Sering dengan majoriti kecil, 84 undi. Keputusan di 4 kerusi DUN yang ditandingi secara bersama dengan BN bagi melawan PAS iaitu Bandar Pasir Mas, Telipot, Gual Ipoh dan Bandar Machang, calon BERJASA mendapat undi lebih besar berbanding undi calon PAS. Walau bagaimanapun, 5 calon BERJASA hilang wang pertaruhan, di kerusi saingan 3 atau 4 penjuru bersama calon bebas.
Dalam keputusan tersebut, UMNO/BN bersama BERJASA membentuk kerajaan campuran, di mana Tan Sri Mohamed Yaacob, ADUN Lanas dari UMNO/BN menjadi Menteri Besar, manakala Tan Sri Muhamed bin Nasir dilantik sebagai Senator menjawat Menteri Kabinet di Jabatan Perdana Menteri. Selepas daripada itu, BERJASA diterima menyertai BN pada 17 Mei 1980.[9]
Pilihan Raya Umum Malaysia 1982
Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1982, BERJASA diperuntukkan 12 kerusi DUN dan 1 kerusi Parlimen yang ditandingi secara langsung dengan PAS dalam PRN 1978, atas tiket BN. Calon BERJASA mewakili BN hanya mampu bertahan 4 kerusi sahaja: Simpangan, Tendong, Tok Uban dan Peringat, dengan majoriti yang berkurangan. Calon BERJASA di Kemumin dan Salor, di samping calon UMNO di Selising hilang kelayakan bertanding, memberikan PAS menang tanpa bertanding di Kemumin dan Selising, sementara di Salor, PAS menang setelah mengalahkan calon bebas yang disokong UMNO.
Pilihan Raya Umum Malaysia 1986
Pada Pilihan Raya Umum Malaysia 1986, BERJASA tidak menyertai pilihan raya kerana BERJASA telah keluar dari Barisan Nasional dan membantah penerimaan masuk Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) ke dalam BN. Presiden BERJASA ketika itu ialah Dato Wan Hashim Wan Ahmad[10].
Pilihan Raya Umum Malaysia 1990
Pada 1989, BERJASA menyertai Angkatan Perpaduan Ummah (APU), bersama Parti Melayu Semangat 46, PAS dan HAMIM. Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1990, BERJASA diperuntukkan kerusi Sungai Keladi untuk menentang BN yang diwakili MCA. Buat pertama kali, kerusi yang dimenangi oleh calon MCA di pusat bandar Kota Bharu sejak 7 kali pilihan raya ditumpaskan oleh seorang calon Melayu yang bertanding dengan lambang parti BERJASA. Presiden BERJASA, Dato' Wan Hashim Wan Ahmad dilantik sebagai anggota EXCO.
Pilihan Raya Umum Malaysia 1995
Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1995, kerusi DUN Sungai Keladi yang ditukar nama selepas persempadanan 1993, DUN Kota Lama, yang ditandingi oleh Timbalan Presiden BERJASA, Yusoff Mohd Noor kalah kepada calon MCA. Selepas Semangat 46 membubarkan parti dan ahli-ahlinya menyertai UMNO, Angkatan Perpaduan Ummah terbubar sendirinya. Selepas daripada pembubaran APU, BERJASA bersendirian dan tidak aktif dalam politik pilihan raya.[11]
Pilihan Raya Umum Malaysia 1999
Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1999, BERJASA telah bertanding di Parlimen Kota Bharu menentang BN dan Keadilan. Bagaimanapun, calon tersebut kalah dan hilang deposit.
Pilihan Raya Umum Malaysia 2013
Parti ini muncul semula pada Pilihan raya umum Malaysia 2013, dengan penampilan berbeza setelah membuat kerjasama dengan NGO Islam iaitu Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang meletakkan calon bertanding di beberapa kawasan campuran yang tidak ditandingi oleh orang Islam. Walau bagaimanapun, prestasi BERJASA dan ISMA pada pilihan raya tersebut tidaklah memberangsangkan setelah kalah di semua 14 kerusi yang ditandingi serta hilang wang deposit [12][13]
Pilihan Raya Umum Malaysia 2018
Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2018, BERJASA turut menyertainya dan bergabung dalam Gagasan Sejahtera yang turut dianggotai oleh PAS[14]. Gagasan Sejahtera telah bersetuju untuk menggunakan lambang PAS sebagai lambang bersama bagi parti gabungan Gagasan Sejahtera[15]. Walau bagaimanapun terdapat beberapa kerusi yang ditandingi BERJASA atas tiket sendiri, bukan PAS[16].
^Mohd Ali Kamarudin. Penaungan Dalam Kepimpinan Politik Melayu UMNO Kelantan, 1946-1990. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. 2004, hlm. 155-156
^ abcMohd Ali Kamarudin. Penaungan Dalam Kepimpinan Politik Melayu UMNO Kelantan, 1946-1990. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. 2004, hlm. 156.
^Zaidi Abdul Rahman dan Osman Md Rasib. Penglibatan BERJASA Dalam Pilihan Raya Umum Di Malaysia, 1977-2013. Dlm. Jurnal Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL). Demokrasi dan Pilihan Raya. Jilid 2. Bil 1, Januari – Disember 2013, hlm. 106.
^Pilihan Raya Kecil DUN Kemumin, Kelantan diadakan pada 8 September 1983 berikutan pembatalan kemenangan wakil PAS oleh Mahkamah
^Pilihan Raya Kecil DUN Tendong diadakan pada 10 Jun 1978 berikutan perletakan jawatan penyandangnya yang dilantik sebagai Senator.
^Beliau merupakan calon Bebas Bersatu yang menentang calon Barisan Nasional (UMNO dan PAS) dalam PRU 1974 bagi DUN Simpangan.
^Beliau merupakan calon Bebas Bersatu yang menentang calon Barisan Nasional (UMNO dan PAS) dalam PRU 1974 bagi DUN Kemumin.
^Beliau merupakan calon Barisan Nasional (PAS) yang menentang calon Bebas Bersatu dalam PRU 1974 bagi DUN Tendong. Selepas PRU 1974, UMNO (Komponen Barisan Nasional) melantik beliau sebagai Menteri Besar Kelantan, sedangkan PAS (juga komponen Barisan Nasional) mempunyai calon lain.
Pada September 1977, beliau telah dipecat daripada PAS dan menubuhkan BERJASA. Selepas PRN 1978, beliau meletak jawatan sebagai ADUN selepas dilantik menjadi Ahli Dewan Negara dan menjadi salah seorang Jemaah Menteri peringkat Persekutuan.
^Beliau merupakan calon Bebas Bersatu yang menentang calon Barisan Nasional (UMNO dan PAS) dalam PRU 1974 bagi DUN Meranti.
^Beliau merupakan calon Bebas Bersatu yang menentang calon Barisan Nasional (UMNO dan PAS) dalam PRU 1974 bagi DUN Jeli.
^Beliau merupakan calon PAS yang berjaya menentang calon Barisan Nasional (UMNO) dalam PRU 1969 bagi DUN Kota Bharu Timur. Beliau turut dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan.
^Beliau merupakan calon Bebas Bersatu yang menentang calon Barisan Nasional (UMNO dan PAS) dalam PRU 1974 bagi DUN Telipot.
^Beliau merupakan calon Barisan Nasional (PAS) yang menentang calon Bebas Bersatu dalam PRU 1974 bagi DUN Telipot. Beliau juga merupakan calon PAS yang menentang calon Barisan Nasional dalam PRU 1977 bagi DUN Telipot.
Walau bagaimanapun, pada 10 Februari 1978, beliau telah keluar PAS dan menyertai BERJASA seterusnya menjadi Timbalan Menteri Besar Kelantan sehingga DUN Kelantan dibubarkan pada 13 Februari 1978.
^Beliau merupakan calon Bebas Bersatu yang menentang calon Barisan Nasional (UMNO dan PAS) dalam PRU 1974 bagi DUN Bandar Pasir Mas.
^Beliau merupakan calon Bebas Bersatu yang menentang calon Barisan Nasional (UMNO dan PAS) dalam PRU 1974 bagi DUN Gual Ipoh.