Parti Reformasi Insan Malaysia (PRIM) atau Malaysian Peoples Reform Party adalah parti politik yang ditubuhkan oleh P. Uthayakumar, seorang aktivis dan peguam hak asasi manusia yang meninggalkan Parti Keadilan Nasional (KeADILan) sebelum Pilihan raya umum Malaysia 1999 kerana mendakwa parti itu mengamalkan diskriminasi dalam pemilihan calon keturunan India.[1] PRIM telah dikemukakan pendaftarannya dengan P. Uthayakumar sebagai Setiusaha Agung Penajanya kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Disember 1999 namun tidak pernah diluluskan. PRIM mendapat sokongan golongan berpendapatan rendah, kelas pekerja dan profesional kaum India ditubuhkan untuk menjaga kepentingan dan kebajikan kaum minoriti India di Malaysia. Ia menjurus kepada memperjuangkan penindasan dan peminggiran kaum India, ketidak-adilan pasukan Polis terutama kes melibatkan tahanan India, perobohan kuil Hindu dan lain-lain diskriminasi kaum India. Gerakan perjuangan PRIM dan pemimpin aktivisnya P. Uthayakumar membawa kepada tertubuhnya Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) serta tercetusnya perhimpunan bantahan besar-besaran HINDRAF pada 25 November 2007. HINDRAF akhirnya diharamkan dan 4 pemimpinnya termasuk P. Uthayakumar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). P. Uthayakumar selepas dibebaskan telah menubuhkan dan mendaftarkan sebuah parti politik baru Parti Hak Asasi Manusia (HRF) pada 19 July 2009.[2][3][4]