Dato' SriTi Lian Ker (lahir 25 Oktober 1962) ialah ahli politik Malaysia berketurunan Cina. Beliau merupakan mantan Ahli Dewan Negara (Senator) selama dua penggal (2018-2021 dan 2021-2024), mantan Timbalan Menteri Belia dan Sukan (2021-2022), mantan Timbalan Menteri Perpaduan Negara (2020-2021), mantan ADUN Teruntum selama sepenggal (2004-2008) dan mantan ADUN Indera Mahkota selama dua penggal (1995-2004).
Pendidikan
Beliau merupakan bekas penuntut Ijazah Sarjana Muda Perundangan di Universiti Malaya dan di sepanjang tempoh pengajian, beliau aktif menceburkan diri dalam aktiviti mahasiswa dan pernah menjadi Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) bagi sesi 1983/84 di mana Presiden PMUM pada ketika itu ialah Datuk Seri Haji Takiyuddin bin Hassan. Manakala Presiden PMUM bagi sesi 1982/83 pula ialah Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob.
Kerjaya Awal
Semasa karier peguamnya, beliau pernah mewakili UMNO Pekan melalui Tetuan Zuki, Ghandi Dan Amin menerusi kes saman yang membawa kepada pembubaran UMNO pada tahun 1986/87 dengan Penasihat Utama adalah Tun Zaki bin Mohammad Azmi.
Kerjaya Politik
Beliau kemudian meneruskan karier politik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Mahkota selama dua penggal selepas memenangi kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-9 dan 10 pada tahun 1995 dan 1999. Kemudian, beliau turut memenangi kerusi DUN Teruntum pada 2004 dengan rekod majoriti undi tertinggi dalam sejarah Dewan Undangan Negeri Pahang ketika PRU-11 iaitu 8,362 undi apabila menewaskan calon KeAdilan, Pang Jon Kong bagi kerusi tersebut.
Beliau digugurkan dari bertanding untuk mempertahankan DUN Teruntum bagi PRU-12, namun memenangi pula Ahli Jawatankuasa Pusat MCA pada tahun yang sama. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Besar Pahang ketika itu, YAB Dato' Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob dari 2008 sehingga 2013. Beliau juga merupakan Ketua Bahagian MCA Kuantan dari tahun 2004 sehingga hari ini.
Beliau juga telah memenangi jawatan Naib Presiden MCA pada November 2018 dalam pemilihan parti bagi penggal 2018-2021.
Pencapaian
Antara pencapaian yang signifikan ialah beliau pernah berjaya memindahkan para penduduk di flat kos rendah Indera Mahkota seramai lebih dari 2,000 keluarga yang merentasi pelbagai bangsa tanpa sebarang isu atau kontroversi pada tahun 1996.
Pemindahan Transit Quarters di mana tapak East Coast Mall dan Zenith Hotel berada sekarang juga adalah di bawah kendalian beliau sebagai ADUN Indera Mahkota pada masa itu.
Dalam penggal kedua beliau sebagai ADUN, beliau berjaya mendesak Pasdec Corporation untuk mengeluarkan dana berjuta ringgit bagi menyempurnakan kawasan projek industri kecil sederhana yang telah diabaikan oleh pemaju dan seterusnya telah berjaya menyelamatkan kawasan itu dari menjadi “slump” akibat projek yang tergendala di mana kawasan itu sudah mula dicerobohi orang luar.
Sebagai Adun, beliau telah juga menjadi Pengerusi Simfoni Orkestra Pahang dan membawa pelbagai persembahan orkestra dari luar negara termasuk Orkestra Simfoni Izmir dan persembahan pemuzik dari Jepun. Beliau juga adalah Pengerusi Ten Pin Bowling Pahang dan Persatuan Bola Keranjang Kuantan.