Perlis (Jawi: ڤرليسcode: ms is deprecated , Bahasa Thai: ปะลิสcode: th is deprecated Pâlit, ปลิศcode: th is deprecated Palit atau เปอร์ลิศcode: th is deprecated Perlis)[nota 1] merupakan sebuah negeri yang terletak di utara Semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Wilayah Satun dan Songkhla, Thailand di sebelah utara, dan Kedah di sebelah selatan. Perlis menjadi sebuah negeri yang berdaulat setelah kerajaan Siam melantik Raja Syed Hussain Jamalullail sebagai Raja Perlis.[6]
Pusat pentadbiran bagi negeri Perlis ialah Kangar, dan bandar dirajanya ialah Arau. Antara bandar dan pekan utama lain di Perlis termasuklah Padang Besar dan Kuala Perlis.
Perlis mempunyai keluasan sebanyak 821 kilometer persegi menjadikannya sebagai negeri terkecil di Malaysia. Pada tahun 2020, jumlah penduduknya dianggarkan seramai 284,885 orang dengan majoritinya merupakan Bumiputera iaitu 88.8 peratus dari jumlah penduduk.[2]
Penamaan
Sejarah mengenai asal-usul nama negeri Perlis adalah kurang jelas. Terdapat banyak kisah atau andaian yang menceritakan tentang asal-usul nama Perlis. Berikut merupakan beberapa andaian atau kisah yang diketahui[7]:-
Menurut seorang tokoh sejarawan Malaysia iaitu Haji Buyong Adil, terdapat beberapa cerita yang mengisahkan kononnya nama Perlis itu berasal daripada perkataan Siam iaitu “Phrau Loi” (Maphrau Loi มะพร้าวลอย) yang bermaksud kelapa hanyut. Perkataan tersebut telah dipelat dan dipendekkan bunyinya oleh orang Melayu lalu menjadi ‘pereleh’ atau Perlis.
Sumber kedua menyatakan bahawa kononnya nama negeri Perlis berasal daripada perkataan ‘peroleh’ yang membawa maksud kurnia daripada kerajaan Kedah. Perkataan itu disingkatkan lalu menjadi Perlis.
Sumber yang ketiga pula menyebut negeri Perlis mendapat namanya daripada nama sebuah kubur di Bukit Mengulang iaitu kubur Tok Perlis. Kubur tersebut adalah milik seorang tokoh ulama yang terkemuka di Nusantara iaitu Tok Perlis.
Sumber yang keempat mengatakan nama negeri Perlis berasal daripada perkataan ‘perlus’. Kebanyakan tanah dalam di Perlis ialah tanah sawah. Pada musim kemarau, tanah sawah akan merekah. Sesiapa yang berjalan akan ‘terperlus’. Dari perkataan ‘perlus’ itulah, Perlis mendapat namanya.
Menurut sebuah buku yang ditulis oleh Ahmad Ismail dan Yazid Mat, dipercayai bahawa nama negeri Perlis berasal daripada nama sejenis pokok yang dikenali sebagai pokok perlis yang pernah wujud tumbuh dengan begitu banyak di negeri tersebut terutama sekali di kawasan pinggir sungai namun telah pun pupus. Ia turut disokong kebanyakan sejarawan setempat.
Gelaran Indera Kayangan pernah diberikan oleh Tuanku Raja Syed Hussein Jamalullail (1843-1873) yang diilhamkan dari bandar Indera Kayangan II, kota diraja negeri tersebut dari 1797 sehingga 1813 yang pernah terletak di Kampung Langgar, Kayang.[8] Namun demikian, gelaran ini menjadi kurang digalakkan berikutan suatu titah Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada tahun 2015 yang menurut baginda, gelaran tersebut tidak selari dengan penamaan rasmi yang termaktub dan bagi mengelakkan konotasi berkaitan dewa tertentu (yakni seperti Indra yang hampir sama sebutannya).[5]
Sejarah
Perlis dipercayai telah dihuni masyarakat prasejarah sejak lima ke 10 ribu tahun dahulu, dibuktikan dengan tinggalan prasejarah seperti artifak dan lukisan purba yang ditemui di beberapa lokasi sekitar Perlis seperti Gua Semadong dan Gua Berhala.[9] Kehidupan masyarakat di Perlis juga dipercayai telah dipengaruhi pengaruh Hindu dan Buddha menerusi peninggalan kalam semah berunsurkan kebudayaan Buddha dan Hindu.[10] Bermula pada abad ke-12, masyarakat di negeri ini mula dipengaruhi kebudayaan Islam.
Perlis pada asalnya berada di bawah jajahan Kesultanan Kedah. Perlis juga pernah menjadi pusat pentadbiran Kedah apabila Kota Sena mula didirikan dan dijadikan pusat pentadbiran semasa pemerintahan Sultan Muhyiddin Mansur Shah. Semasa pemerintahan Sultan Dhiauddin I, pusat pentadbiran Kedah telah dipindahkan ke Kota Indera Kayangan yang didirikan di tepi hilir Sungai Perlis. Semasa pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah, adinda baginda, Tengku Dhiauddin telah memerintah Perlis dengan gelaran Raja Muda Kayang. Baginda juga telah mendirikan semula Kota Indera Kayangan. Raja Muda Kayang kemudiannya ditabalkan sebagai sultan dengan gelaran Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II. Semasa pemerintahan baginda, Kota Indera Kayangan II telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran Kedah. Baginda turut digelar "Raja Muda Perlis dan Kedah". Pemerintahan Kedah yang berpusat di jajahan Perlis berakhir dengan kemangkatan baginda pada tahun 1687.[11]
Kewujudan Wangsa Jamalullail di Perlis bermula apabila Syed Harun Jamalullail, ayahanda kepada Raja Perlis pertama mengasaskan Mukim Arau bersama pengikutnya. Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II telah menganugerahkan Mukim Arau untuk ditadbir oleh Syed Harun Jamalullail dan keturunannya sebagai penghulu selepas perkahwinannya dengan puteri baginda. Namun perkahwinan mereka berdua tidak menghasilkan zuriat. Syed Harun Jamalullail kemudiannya berkahwin dengan cucu salah seorang pembesar Sultan Kedah lalu dikurniakan seorang anak lelaki yang dinamakan Syed Hussein Jamalullail pada tahun 1805. Syed Harun Jamalullail telah meninggal dunia pada tahun 1825 dan digantikan dengan anaknya, Syed Hussein Jamalullail sebagai Penghulu Mukim Arau yang kedua.[12]
PendudukanSiam ke atas Kedah dan jajahannya pada tahun 1821 menggusarkan pihak British yang terasa diancam kedudukan mereka di Perak, maka Perjanjian Burney termeterai dengan pengakuan tuntutan Siam ke atas negeri-negeri utara Perak dan menidakkan kedudukan Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin.[13] Perjanjian ini telah mencetuskan Perang Musuh Bisik selama 12 tahun dari 1830 hingga 1842 oleh baginda sultan dan para pengikutnya.[14] Di akhir peperangan ini, Perlis, Kubang Pasu dan Setul telah dipisahkan dari jajahan Kedah. Pada tahun 1842, Sultan Kedah telah dikembalikan takhtanya setelah menerima syarat Siam. Namun, Perlis telah dipisahkan menjadi kerajaan berasingan di mana seorang gabenor dilantik Siam bagi mentadbir Perlis.
Raja Long Krok dilantik sebagai gabenor Perlis pertama, manakala Syed Hussein Jamalullail dilantik sebagai timbalannya.[15] Raja Long Krok mangkat setelah empat bulan dilantik sebagai gabenor Perlis. Syed Hussein Jamalullail kemudiannya telah dilantik oleh Siam sebagai gabenor Perlis. Pada tahun 1843, Raja Syed Hussein Jamalullail telah ditabal sebagai Raja Perlis pertama, menjadikan Perlis sebuah negeri berdaulat. Baginda ditabal oleh Raja Rama III, Raja Siam dengan gelaran Phya Songkram Ramu Wichit Wilis Asmara Phya Polit atau disingkatkan sebagai Phya Polit.[16]
Perlis kekal berada di bawah naungan Siam, dan diletakkan di bawah kawasan Monthon Syburi yang turut meliputi Kedah dan Setul. Pada tahun 1897, kerajaan Kedah mula menuntut semula status Perlis sebagai jajahan mereka. Namun tuntutan mereka gagal setelah Raja Chulalongkorn berpihak kepada Perlis. Beberapa pertikaian juga terjadi antara Perlis dan Setul. Pada tahun 1909, negeri-negeri utara Melayu termasuklah Perlis telah dijadikan negeri naungan Britain setelah termeterainya Perjanjian Bangkok antara Siam dan kerajaan Britain. Kerajaan Britain kemudiannya menempatkan seorang Residen di Arau.
Pada 12 Disember 1941, Perlis mula berada di bawah pemerintahan Jepun. Jepun seterusnya menyerahkan Perlis bersama empat negeri Melayu utara yang lain kepada Siam pada 18 Oktober 1943. Setelah Perang Dunia Kedua tamat, Perlis telah diserahkan semula kepada pemerintahan Britain. Pada tahun 1946, Perlis telah menjadi sebahagian daripada Malayan Union, dan kemudiannya diubah kepada Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Pada tahun 1957, Perlis telah mencapai kemerdekaan daripada Britain sebagai sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu. Perlis kemudiannya turut menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.
Kerajaan
Negeri Perlis ditadbir oleh Keluarga Diraja Jamalullail yang digelar sebagai "Raja" tidak seperti negeri Melayu lain yang menggunakan gelaran "Sultan".
Raja melantik Menteri Besar (Ketua Menteri) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan (sama dengan Kabinet). Secara amnya, ketua menteri ialah ahli dewan undangan yang boleh mendapat majoriti di peringkat dewan. Perlis diwakili oleh tiga ahli dalam Dewan Rakyat Persekutuan, iaitu kawasan Arau, Kangar dan Padang Besar. Semua kerusi ini kini disandang oleh ahli Perikatan Nasional sejak Pilihan Raya Umum 2022. Perlis juga mempunyai dua senator persekutuan yang dilantik melalui undian Dewan Undangan Negeri.
Pembahagian pentadbiran
Disebabkan keluasan negeri Perlis yang amat kecil, tiada daerah di negeri Perlis. Oleh itu, negeri Perlis dibahagikan kepada 22 buah mukim.
Perlis merupakan sebuah negeri yang terletak di utara Semenanjung Malaysia bersempadan dengan negara Thailand di utara, negeri Kedah di selatan dan Selat Melaka di barat. Perlis mempunyai keluasan sebanyak 819 kilometer persegi menjadikannya sebagai negeri terkecil di Malaysia. Gunung Perlis yang mempunyai ketinggian 733 meter menjadi titik tertinggi di negeri ini.
Di bahagian utara dan barat daya negeri ini, terbentangnya Banjaran Nakawan yang merupakan banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia. Di banjaran ini terdapat bukit-bukit batu kapur yang sebahagian besarnya terdiri daripada Formasi Setul yang tertua di Malaysia yang dianggarkan berusia lebih 500 juta tahun. Di banjaran ini juga terletaknya Taman Negeri Perlis yang berkeluasan 4,379.81 hektar dan beberapa hutan simpan yang lain seperti Hutan Simpan Kekal Mata Ayer dan Hutan Simpan Kekal Wang Mu.[17]
Dianggarkan jumlah panjang sungai dan terusan di negeri Perlis ialah sepanjang 174.2 kilometer. Sungai Arau menjadi sungai terpanjang di negeri Perlis iaitu sepanjang 21.5 kilometer diikuti Sungai Korok dengan panjang 17 kilometer.[18]
Iklim
Iklim di negeri Perlis ialah iklim khatulistiwa. Purata suhu ialah 28 °C (82.4 °F). Bulan April merupakan bulan yang paling panas di kawasan ini dengan suhu mencecah 29.1 °C (84.4 °F). Bulan Disember dikategorikan sebagai bulan paling sejuk dengan suhu 26.8 °C (80.2 °F).[19] Purata kerpasan di Perlis adalah 1954.4 milimeter pertahun. Bulan November merupakan bulan yang tinggi kerpasan dengan 262.5 milimeter manakala bulan yang paling rendah pula Februari dengan 29.8 milimeter.[19]
Berdasarkan bancian penduduk Malaysia tahun 2020, jumlah penduduk di Perlis dianggarkan seramai 284,885 orang, menjadikannya negeri yang mempunyai jumlah penduduk paling sedikit. Perlis mempunyai kepadatan penduduk seramai 348 orang perkilometer persegi. Sebanyak 98 peratus penduduk merupakan warganegara Malaysia, dan selebihnya merupakan warganegara asing. Majoriti penduduk merupakan Bumiputera iaitu 86.8 peratus dari jumlah penduduk. Selebihnya terdiri daripada penduduk beretnik Cina, India dan lain-lain etnik.[2]
Penduduk Bumiputera di Perlis terdiri daripada pelbagai etnik, dengan majoritinya merupakan penduduk berbangsa Melayu. Terdapat juga masyarakat Bumiputera Sabah dan Sarawak di negeri ini yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Iban dan Kadazan. Terdapat juga kelompok kecil masyarakat Orang Asli beretnik Senoi dan Melayu Proto di negeri ini. Penduduk berbangsa Cina merupakan masyarakat bukan Bumiputera terbesar di negeri Perlis, dengan peratusan 7.2 peratus. Terdapat juga penduduk berbangsa India yang membentuk peratusan 1.8 peratus.
Pada tahun 2020, majoriti penduduk Perlis beragama Islam iaitu 87.8 peratus dari jumlah penduduk diikuti agama Buddha yang dianuti 9.2 peratus penduduk. Antara agama lain yang dianuti penduduk Perlis termasuklah agama Hindu dengan 1.3 peratus dan agama Kristian dengan 0.6 peratus. Sebanyak satu peratus penduduk Perlis tidak beragama atau tidak diketahui status agamanya.
Penduduk beragama Islam di Perlis sebahagian besarnya merupakan penduduk berbangsa Melayu. Majoriti penduduk bukan warganegara juga menganut agama Islam. Masyarakat berbangsa Cina di negeri ini pula sebahagian besarnya beragama Buddha, dan segelintir yang lain turut menganut agama lain seperti Konfusianisme, Taoisme dan agama tradisional Cina, Kristian dan Islam. Masyarakat berbangsa India majoritinya beragama Hindu, dan antara agama lain yang dianuti termasuklah Sikhisme, Kristian dan Islam. Penduduk beragama Kristian pula sebahagian besarnya terdiri daripada masyarakat Bumiputera selain Melayu.
Dianggarkan terdapat lebih 22 dialek Bahasa Melayu Perlis yang berlainan dalam segi sebutan beberapa perkataan yang lazimnya mengikut sesuatu kawasan atau mukim. Penduduk yang tinggal berdekatan sempadan Thailand menggunakan dialek yang berbaur Siam manakala penduduk yang tinggal berdekatan sempadan negeri Kedah lazimnya menggunakan dialek yang berbaur Melayu Kedah.[20]
Ekonomi
Pada tahun 2018, ekonomi Perlis didominasi oleh sektor perkhidmatan iaitu sebanyak 66.2 peratus, diikuti dengan sektor pertanian iaitu sebanyak 21.7 peratus. Antara sektor lain yang menyumbang dalam ekonomi Perlis ialah sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian.[21]
Antara pendorong sektor perkhidmatan di Perlis ialah perdagangan borong dan runcit serta pembangunan baharu seperti Pembangunan Bercampur Padang Besar. Sektor pertanian pula didorong oleh beberapa projek tanaman yang diusahakan penduduk dan kerajaan negeri seperti projek tanaman harumanis, nanas dan beberapa projek tenusu.[21]
^Nama Perlis secara tunggal sahaja yang digunakan secara rasmi pada perlembagaan negeri tersebut ditandatangani Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail.[5]
^Stern, Duncan (14–20 Mei 2004). "Dr. John Crawfurd and the Mission to Thailand, 1822"(Column). A Slice of Thai History. Pattaya Mail. Dicapai pada 11 Ogos 2011. This in turn helped Captain Henry Burney conclude a treaty of commerce with Thailand in June 1826.