KTM Komuter Utara adalah salah satu daripada lima perkhidmatan KTM Komuter yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu. Perkhidmatan ini diperkenalkan pada 11 September 2015 setelah siapnya projek pembinaan Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar pada Disember 2014 yang turut menyaksikan pelanjutan khidmat tren elektrik (ETS) dari Ipoh ke Padang Besar.
Perkhidmatan Komuter Utara kini terdiri daripada dua jajaran, iaitu jajaran Butterworth–Padang Besar dan jajaran Butterworth–Ipoh. Kedua-dua jajaran berkongsi landasan dengan ETS tetapi bukan semua stesen yang dilayani Komuter juga dilayani oleh ETS.
Sejarah
Perkhidmatan KTM Komuter Utara diperkenalkan pada 11 September 2015, mula-mula melayani dari Gurun, Kedah melalui Butterworth hingga Kamunting, Perak.[1]
Pada 1 Januari 2016, diperkenalkannya perkhidmatan antara Butterworth dan Padang Besar. Ekoran pembukaan khidmat KTM Komuter di bahagian ini, maka perkhidmatan ETS antara stesen-stesen tersebut ditamatkan.[2]
Pada 17 Januari 2016, jajaran asal Gurun–Butterworth–Kamunting dipecahkan kepada dua, iaitu Butterworth–Gurun dan Butterworth–Kamunting. Kedua-dua jajaran beroperasi seiring dengan jajaran Butterworth–Padang Besar sehingga jajaran Butterworth–Gurun ditamatkan pada 1 Julai 2016.[3]
Pada 1 September 2016, jajaran Butterworth–Kamunting menerima pindaan di mana terminus utaranya beralih dari Butterworth ke Bukit Mertajam dan terminus selatannya pula ditambah dua stesen dari Kamunting untuk mencakupi Taiping dan tamat di Padang Rengas.
Mulai 4 November 2021, kereta api dari Padang Rengas dan Padang Besar berakhir di Butterworth, menjadikan Butterworth dan Bukit Mertajam stesen pertukaran yang dikongsi oleh kedua-dua jajaran.