Pada 16 Julai 2019, Kementerian Pengangkutan Malaysia telah melakukan pelulusan awal projek ini berdasarkan laporan kajian badan perancang ekonomi negeri tersebut dan meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghantar dokumen projek kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta menganjurkan pemeriksaan awam selama tiga bulan bagi mendapatkan kelulusan akhir.[15] Berdasarkan pemeriksaan awam tersebut, 97.7% daripada 23,218 responden menyokong pelaksanaan projek ini.[16]
Selepas dua tahun berada dalam keadaan terbiar, projek ini akhirnya kembali digerakkan dengan permulaan proses permohonan cadangan (RFP) dari 25 Julai 2022 hingga 24 Ogos 2022.[19] Proses prakelayakan ini disertai oleh lapan syarikat,[20] tetapi pemilihan syarikat yang layak tidak dapat dilakukan disebabkan kesukaran Kerajaan Negeri Pulau Pinang membiayai kos projek ini.[21]
Pada 14 Februari 2024, jajaran projek ini dipanjangkan dari Komtar ke Penang Sentral di Butterworth menggunakan laluan bertingkat.[25] Sebulan kemudian, Kerajaan Persekutuan Malaysia telah mengambil alih projek ini[26] dan membahagikan projek ini kepada tiga segmen. Segmen pertama melibatkan jajaran dari Pulau Silikon ke Komtar dan diuruskan oleh SRS Constortium. Segmen kedua pula melibatkan jajaran tunggal dari Komtar ke Penang Sentral melintasi Selat Pulau Pinang dan akan menjadi tender terbuka. Akhir sekali, segmen ketiga merangkumi sistem projek siap guna dan kereta api bagi kedua-dua jajaran ini serta juga merupakan tender terbuka.[3]
Semasa Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara dari 3 Mei hingga 5 Mei 2024, MRT Corp telah membentangkan jajaran baharu dan menukarkan nama projek ini kepada LRT Laluan Mutiara. Jajaran ini kemudiannya dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan proses tender terbuka dan perbincangan akhir dimulakan.[27] Akan tetapi, setelah perbincangan berterusan dengan kontraktor utama, bilangan stesen dikurangkan kepada 21 berbanding 22 sebelum ini. Hal ini demikian kerana stesen Gurdwara tidak lagi dianggap berguna selepas stesen Macallum dipilih sebagai stesen pertukaran yang menyambungkan jajaran ke Penang Sentral.[28] Projek ini juga akan menggunakan sistem ‘kapasiti rendah ke sederhana’ yang akan menggunakan kereta api 2 gerabak terlebih dahulu sebelum menggunakan kereta api 3 atau 4 gerabak apabila permintaan pengguna mula meningkat.[29]
Projek ini sering dikritik oleh pelbagai pihak terutamanya ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepanjang perkembangannya disebabkan faktor-faktor tertentu seperti kos yang melambung tinggi[11] dan membazirkan[30] serta kemungkinan rosaknya alam sekitar[31] dan ekonomi setempat[31].
Kos yang Semakin Meningkat
Pada asalnya, kos pembinaan projek ini diletakkan pada nilai RM4.4 bilion.[30] Akan tetapi, kajian lanjutan dan pertambahan pada projek ini telah mengakibatkan peningkatan kepada RM7 bilion pada Mei 2016 dan kemudiannya pada RM8.4 bilion pada Julai 2017. Isu peningkatan ketara kos projek ini telah diketengahkan oleh Persatuan Cina Malaysia (MCA) yang turut membandingkan kos projek ini dengan kos projek LRT3 (kini LRT Laluan Shah Alam) yang merangkumi seksyen terowong dan bertingkat. Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow telah menjawab persoalan MCA bahawa kos projek ini termaktub dalam dokumen permohonan cadangan (RFP) daripada SRS Consortium yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.[11]
Pada sesi perbahasan sama, ADUNPenanti, Norlela Ariffin mendakwa kos projek ini akan meningkat lebih tinggi berbanding kos pembinaan MRT Laluan Kajang, iaitu sebanyak RM24 bilion berbanding RM21 bilion. Meskipun begitu, Chow telah menafikan dakwaan tersebut.[12]
Ancaman Terhadap Ekonomi Setempat dan Alam Sekitar
Selain isu nelayan, projek ini juga ditentang oleh para aktivis alam sekitar. Mereka berpendapat bahawa penebusgunaan tanah akan membunuh hidupan akuatik dan memusnahkan kawasan pembiakan semula jadi hidupan tersebut.[31][33]
Disebabkan bantahan dan tentangan yang hebat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju mengecilkan skala projek PSI kepada hanya satu pulau yang terkandungnya lokasi stesen terakhir dan kemungkinan lokasi depoh projek ini.[34]
Bantahan daripada Penang Forum
Pengenalan projek ini telah menarik perhatian sebuah kumpulan pemikir persendirian dan NGO yang dinamakan sebagai Penang Forum (PF).
Sejak bermulanya perkembangan projek ini, PF telah menolak sekeras-kerasnya penggunaan sistem LRT dalam projek ini kerana faktor kos dan kepadatan penduduk di bandar George Town.[30] Mereka juga memperjuangkan sistem pengangkutan awam berdasarkan Laporan Halcrow yang dibuat pada tahun 2013. Laporan ini mencadangkan perhubungan kawasan-kawasan penting di Pulau Pinang menggunakan transit aliran bas (BRT) dan tram serta beroperasi secara asing daripada jalan raya.[35]