Roti john (Jawi: روتي جون) ialah sejenis roti lapis bersalut telur dadar yang djual sebagai snek jalanan popular bermula di Singapura menyebar ke Malaysia, Indonesia dan Brunei.[2][4][5][6]
Sejarah
Nama
Nama John barangkali datang dari kelaziman penutur bahasa Inggeris British menggunakan nama tersebut sebagai peletak kenal sesiapa sahaja setaraf fulan atau polan yang digunakan para pegawai dan askar Tanah Melayu British memanggil sesiapa sahaja.[2][4] Sebuah wawancara lisan menyatakan ia datang dari jualan seorang penjaja makanan Mamak bernama Abdul di Jalan Koek serenjang Jalan Orchard yang menjadi tumpuan pegawai-pegawai tersebut mendapatkan makanan selepas berjoli di kelab malam Union Jack setiap hari Khamis mendapat gaji upah mereka; di sana Abdul sering mempelawa "roti, John?".[7][8]
Perkembangan resipi
Roti jualan Abdul di Jalan Koek sekadar sepotong roti Perancis disumbat telur dadar kosong di dalamnya tanpa diberi sebarang nama khas apapun.[8] Catatan paling awal kewujudan sajian bernama "Roti John" datang beberapa lama kemudian dari sebuah laporan dalam akhbar Berita Harian mengenai seorang penjaja di Medan Selera Geylang Serai bernama Zawiyah binti Anuar yang membancuh adunan roti ini berintikan daging kambing, kacang pis, bawang dan tomato.[9]
Suatu laporan di The Straits Times tahun 1986 pula memberitahu bahawa kedai Shukor Makanan Istimewa milik Khadijah binti Mohamed Saleh dan arwah suaminya Shukor di Taman Serasi menghadap Kebun Bunga Singapura lebih awal menawarkan makanan ini 10 tahun lepas pada 1976; resipi roti john ditawarkan pasangan ini menggunakan sambal sebagai bumbu tambahan.[10] Kedai Shukor Makanan Istimewa dipindahkan ke Pasar Taman Serangoon pada tahun 2001.[11]
Pembuatan
Sebatang roti Perancis dilekapkan atas suatu lapisan telur dipukul dengan daging masak dan bawang atas dapur panggang sehingga masak. Roti tersebut diterbalikkan agar dipanggang belah atasnya sebelum diangkat dan dibubuh seberapa jenis sos seperti sos cili.
Ada juga resipi yang melibatkan daging masak ditabur berasingan atas lapisan telur dadar yang masih cukup cair dapat dilekapkan roti.
Rujukan
|
---|
Rencana | |
---|
Hidangan | |
---|
Makanan ringan dan pencuci mulut | |
---|
Minuman | |
---|