Tan SriDr.Abdul Hamid bin Othman (21 Julai 1939 – 23 Disember 2011) ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau dilantik pada 2001 sebagai Penasihat Agama kepada Perdana Menteri ketika itu iaitu Dr Mahathir dan kemudian sebagai Penasihat Agama kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2005 hingga 2009. Beberapa pihak mengiktiraf beliau sebagai ulama dari UMNO dan membuat ucapan penggulungan semasa Perhimpunan Agung UMNO.
Latar belakang
Abdul Hamid dilahirkan pada 21 Julai 1939 di Kampung Kemelong, Mukim Sik, Kedah.
Isterinya bernama Puan Sri Jamilah Mohd Said (68) dan mereka mendapat seorang anak, Wafi Nazrin dan lima orang cucu. Mereka menetap di Taman Tenaga, Batu 9, Jalan Puchong, Selangor.
Pendidikan
Abdul Hamid merupakan penerima pertama biasiswa kerajaan Malaysia menuntut di Universiti al-Azhar, Mesir, bersama empat orang lagi pelajar lain dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perundangan Islam pada 1961.
Kerjaya
Beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), Pusat Islam Malaysia di Jabatan Perdana Menteri (1984-1990). Pada tahun 1990, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri hingga tahun 1995. Pada tahun 1995 pula dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri hingga tahun 2001 lalu. Pada 2001, Abdul Hamid dilantik sebagai Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kemudian Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (2005-2009).[1]
Selepas bersara
Selepas bersara, beliau menjadi Penasihat Maju Holdings Sdn Bhd. Beliau juga Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Penasihat Agung Pusat Kebajikan Wanita dan Keluarga (Kewaja).
Pada pilihan raya 29 November 1999, beliau kalah bertanding apabila menentang Datuk Prof. Shahnon Ahmad (PAS) yang bertanding buat pertama kali, Dr Abdul Hamid memperolehi 13,026 undi manakala Shahnon mendapat 13,504 undi. Oleh itu, jawatan beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri hingga 1999 sahaja. Ketika ini BN/UMNO berhadapan dengan gelombang reformasi pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dipecat pada 1998. Dua DUN di Sik iaitu Belantek dan Jeneri turut terlepas kepada PAS.
Selepas itu, beliau dilantik sebagai Senator di Dewan Rakyat untuk membolehkannya menganggotai semula kabinet. Pelantikan beliau sebagai senator tamat selepas enam tahun. Kekosongan beliau diisi oleh tokoh agama iaitu Brigedier Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin yang dilantik sebagai Senator.
Pada 1999, DUN Belantek, Sik turut dimenangi oleh calon PAS iaitu Mohd Isa Shafie dengan majoriti 492 undi menewaskan calon BN Siti Meriam Salleh manakala di Jeneri, wakil PAS Yahya Abdullah menang dengan majoriti 393 menewaskan calon BN yang merupakan penyandang Mohd Hadzir Mohd Jaafar.
Meninggal dunia
Pada 23 Disember 2011, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman (72) meninggal dunia setelah mendapat akibat angin ahmar/strok di pejabatnya di Maju Junction dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohol, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Jenazah beliau dimandikan di kediamannya di Taman Tenaga, Puchong, Selangor. Kemudian, jenazah beliau disembahyangkan di Masjid Al-Amin dengan diimamkan Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.