Dato' Indera Chua Jui MengBahasa Cina: 蔡锐明; (22 Oktober 1943 – 3 Disember 2023) merupakan bekas Naib Presiden Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan kini menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Di peringkat akar umbi, beliau adalah Ahli Majlis Tertinggi PKR.
Chua adalah bekas menteri kesihatan paling lama di Malaysia dan seorang peguam, mengetuai bahagian Bakri sejak 1986.
Chua bertanding jawatan timbalan presiden MCA tetapi tewas kepada Datuk Seri Ong Ka Ting 2005 dan Datuk Seri Ong Tee Keat pada 2008.[1]
Menyertai PKR
Pada 18 Julai 2009, Datuk Chua Jui Meng menyertai PKR tanpa syarat.Tiada kerusi tertentu dijanjikan sebagai satu syarat menyertai PKR. Chua mengumumkan keluar dari MCA dan menyertai PKR ketika berucap di majlis forum anjuran PKR di Sunway. Beliau melepaskan jawatan ketua MCA bahagian Bakri, di Johor bersama-sama bekas senator MCA, David Yeoh dan bekas ahli Parlimen Lumut turut menyertai PKR.[2]
Kontroversi
Isu Kalimah Allah
Pada 7 Februari 2010, beliau berkata penggunaan kalimah Allah sehingga tercetusnya insiden pembakaran gereja dan rumah ibadat adalah "isu politik bukannya isu agama". Beliau mendakwa Umno cuba menggunakan isu ini untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat. Bagaimanapun katanya, apa yang diharapkan oleh Umno berlaku sebaliknya apabila PAS dan Pakatan Rakyat membuat keputusan untuk mempertahankan penggunaan kalimah ini.[3]
Gelaran Dato' ditarik balik
Pada 10 Jun 2010, beliau telah diarahkan memulangkan dua darjah kebesaran negeri Johor yang masing-masing membawa gelaran Dato'.[4] Jumaah Majlis Diraja Johor yang diwakili oleh Setiausahanya Datuk Abdul Rahim Ramli mengesahkan penarikan balik dua darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk terhadap anggota Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Chua Jui Meng tetapi menafikan ia berpunca daripada tekanan politik, malah ia dikatakan "melampaui politik.[5]
Namun Chua masih mengekalkan gelaran Datuk yang pernah dianugerahkan kepadanya oleh Sultan Pahang dan Sultan Selangor.
Fitnah bakal Menteri Besar Johor
Pada Ogos 2010, kain rentang memaparkan Pengerusi Perhubungan PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng sebagai bakal Menteri Besar Johor semasa ceramah PKR di Rengit, Batu Pahat, Johor. Potret Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tuanku Sultan Johor turut disertakan dan menimbulkan kemurkaaan baginda dan kemarahan orang Melayu. Kain rentang itu dipasang sepanjang Kembara Mahkota Johor. Polis Johor menerima 40 laporan polis yang berang dengan kain rentang itu . Datuk Chua Jui Meng mendapati kain rentang itu ada beberapa kesalahan dan bertujuan menimbulkan kemarahan orang Melayu Johor kepada PKR dan Anwar Ibrahim.[6] Kain rentang itu dipercayai dicetak di sebuah syarikat di Johor Bharu membabitkan bekas Menteri Besar Johor. Chua memberi kenyataan polis diiringi peguamnya, Sankara Nair di Balai Polis Batu Pahat.
[7]
Ceramah PKR di Rengit pada 31 Ogos 2010 diserbu oleh 50 anggota unit simpanan persekutuan (FRU) dan polis. 9 orang ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Rengit.