Dilahirkan di Johor Bahru, Johor. Musa belajar di English College (kini "Maktab Sultan Abu Bakar"), Johor Bahru dan memperoleh ijazah Sarjana Mudanya dari Universiti Malaya. Beliau kemudian mengambil kursus sarjana dalam bidang hubungan antarabangsa di Universiti Sussex, United Kingdom. Selain daripada menerima pelbagai anugerah dan penghargaan, termasuk Doktor Kehormat dari Universiti Sussex, Musa juga pernah memegang pelbagai jawatan di peringkat antarabangsa beberapa kali. Jawatan ini termasuklah Pengerusi Persatuan Parlimen Komanwel, Ahli Lembaga UNESCO, Ketua Perwakilan Pemerhati Komanwel untuk pilihan raya umumMalawi, serta Ahli Perwakilan Menteri Komanwel ke Nigeria, Pakistan, Fiji, dan Gambia.
Keluarga
Beliau telah berkahwin dengan Toh Puan Datin Ines Maria Reyna, seorang peranakan Peru-Sepanyol. Beliau telah bertemu pertama kali pada 1959 di Lima, Peru sebagai pelajar antarabangsa. Mereka dikurniakan 3 cahaya mata: Mariana, Carlos Abdul Rashid dan Rosana. Carlos terbunuh bersama isteri beliau, Rozita Datuk Abu Bakar sewaktu Tragedi Highland Towers pada Disember 1993.
Kemudian, beliau telah berkahwin dengan Zulaikha Sheardin (kini Toh Puan), yang mana mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Hanif. Tun Musa mempunyai tiga orang cucu: Marisa, Lara dan Kaelen.
Kerjaya politik
Dalam tahun 1960-an, Musa dilantik menjadi Pemangku Setiausaha Agung UMNO. Beliau masuk Parlimen Malaysia buat pertama kali pada tahun 1969 dan berkhidmat sebagai timbalan menteri untuk suatu tempoh yang singkat. Musa kemudian dipecat daripada UMNO akibat pengingkaran semasa Peristiwa 13 Mei, oleh Tunku Abdul Rahman, Presiden UMNO dan Perdana Menteri ketika itu. Semasa dipecat, beliau mengambil sarjananya di Universiti Sussex. Apabila kembali ke Malaysia pada tahun 1971, beliau diterima semula menyertai UMNO oleh Tun Abdul Razak. Musa dilantik sebagai Timbalan Whip Parlimen untuk parti campuran Parti Perikatan dan dipilih sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO. Beliau juga dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada 1978.[2]
Peristiwa Memali terjadi pada November 1985 ketika Musa menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.[3]
Musa meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986 disebabkan percanggahan pendapat dengan Perdana Menteri Dr. Mahathir terhadap dasar-dasar negara. Kemudian pada 1987, beliau dicabar oleh Tun Ghafar Baba untuk jawatannya sebagai Timbalan Presiden UMNO dan ditewaskannya. Musa Hitam juga merupakan 11 ahli UMNO yang menfailkan tindakan guaman yang membawa kepada pengharaman UMNO pada tahun 1988.