Siti Zaharah Sulaiman (lahir di Mentakab, Pahang, 24 April1949 – meninggal di Kajang, Selangor, 26 Julai2024 pada umur 75 tahun) ialah seorang ahli politik di Malaysia. Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Malaysia dari 1986 hingga 2008. Semasa menjadi wakil rakyat, beliau pernah dilantik sebagai timbalan menteri dan menteri kabinet Malaysia.
Kehidupan peribadi dan kematian
Siti Zaharah dilahirkan pada 24 April 1949.[1] Siti Zaharah memperoleh ijazah Doktor Falsafah (Pengajian Pentadbiran Pendidikan dan Organisasi) dari Universiti Cornell New York, Amerika Syarikat.[1] Pada 2005, beliau cedera parah dalam kemalangan di Jalan Pintasan Sri Jaya. Akibat daripada pelanggaran itu, beliau ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Afzan, menerima jahitan sepanjang 10.16sm di bahagian kiri kepalanya manakala setiausaha wanita Umno Bahagian Paya Besar Fauziah Abdul Rahman mengalami keretakan di bahagian leher.[2]
Siti Zaharah meninggall dunia pada 26 Julai 2024 di Hospital Serdang, Selangor pada 11.23 malam 26 Julai akibat sakit tua, dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pada 11.30 pagi 27 Julai.[1].
Politik
Kabinet
Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.
Semasa menjadi Timbalan Menteri Kesihatan beliau merasmikan pelancaran Bulan Tanpa Tembakau 1998 di Pasar Budaya, Kuala Lumpur pada 31 Mei 1998. Sejak 1989, 31 Mei diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai Hari Tanpa Tembakau Sedunia.[3]
Wanita UMNO
Siti Zaharah menjadi pemimpin wanita UMNO pertama dari Pahang yang dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu pada pemilihan parti 1987.[1]
Pada Oktober 1996, beliau menang menjadi Ketua Pergerakan Wanita UMNO menewaskan Rafidah Aziz (1984-1996) dengan majoriti 27 undian. Slogan Siti Zaharah ialah 'Membawa Perubahan'. Akan tetapi, beliau tewas semula kepada Rafidah Aziz pada Perhimpunan Agung UMNO 2000. Siti Zaharah menjadi Ketua Wanita UMNO selama 3 tahun 7 bulan.[4]
Wanita UMNO berjaya mewujudkan Amanah Saham Wanita (Asnita) dan berharap kaum lelaki dapat menubuhkan Amanah Saham Lelaki (Aslaki). Dengan keahlian ahli UMNO sebanyak 2.8 juta, bukanlah mustahil bagi 50 peratus ahli Wanita UMNO memenuhi matlamat mengumpul RM200 juta.[5]
Pilihan raya
Pada tahun 1995, beliau menang di Paya Besar. Pada tahun 1999, beliau menang lagi dengan menewaskan Wan Jusoh Wan Kolok (Keadilan). Pada tahun 2004, beliau menang dengan majoriti 12,518 undian. Kemenangan beliau menandakan 38 dari 43 calon wanita BN menang dalam pilihan raya.[6]
Pada 27 Mac 2004, Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi menggugurkan nama Siti Zaharah daripada jawatan menteri.[7]