Siri TV ini terdiri daripada sebuah telefilem di slot Cerekarama pada 15 April 2006 sebagai pengenalan, diikuti drama rantaian 26 episod yang terbahagi kepada dua musim. Musim pertama disiarkan dalam slot Lestary (Selasa, 9 malam) selama 13 episod dari 18 April hingga 11 Julai 2006; diikuti musim kedua dalam slot Aksi (Isnin, 9 malam), mulai 5 Februari hingga 5 Mei 2007.
Sinopsis
Misi XX-Ray mengisarkan seorang lelaki bernama Arill (Syed Aiman) yang mengalami masalah kehalimunan, lalu terpaksa mencari penawarnya bersama rakan-rakan, antaranya Eyza (Farah Putri Mulyani), Jali (Abdul Munir Awang) dan dua perisik bernama Mid dan Mud membantu memberikan maklumat rahsia pada Arill untuk mempermudahkan pencariannya. Yang dicari-cari oleh Arill ialah seorang mahasiswa bernama Amir yang pulih setelah lama menjadi halimunan, dengan harapan Amirlah yang mengetahui penawarnya. Pada masa yang sama, Arill menghadapi rintangan, khususnya dari Daniel (Qazem Nor) yang berusaha mencungkil rahsia Arill dan cuba menggagalkan misinya, dan juga perangkap segi tiga cinta yang dicetuskan oleh kedatangan Marini (Raja Farah) sebagai penggoda.
Penerbitan
Misi XX-Ray diterbitkan oleh Ace Motion Pictures, syarikat penerbitan TV milik Aziz M. Osman dan Nor Aliah Lee. Kata Aziz, biarpun masih menggunakan perkataan XX-Ray, namun jalan cerita yang ditonjolkan dalam drama itu adalah berbeza dengan filem yang pernah dihasilkan.[1]
Usaha penggambaran siri ini memanfaatkan teknologi terbaru yang boleh didapati dalam negara berbanding filem asal. Aziz menjelaskan bahawa segi teknikalnya susah sedikit, kerana Kamaruzaman selaku pemegang watak utama yang halimunan, terpaksa memakai sut hijau sepanjang penggambaran, apatah lagi harus memastikan agar latar penggambaran tidak kelihatan warna hijau pun.[2] Kamaruzaman pula berkongsi pengalaman bahawa Aziz yang mengarah-arahkannya bagaimana untuk bergerak dan menyelaras suara ketika dalam sut hijau itu.[2]