XX Ray III

XX Ray III
PengarahAziz M. Osman
PenulisAziz M. Osman
Lakon layarAziz M. Osman
Dihasilkan olehLily Lokman
Dibintangi
Sinematografi
  • Aryo Pingit
  • Ramli Long
Disunting olehAziz M. Osman
Muzik olehTrabye
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehEmpire Film Solutions
Tarikh tayangan
  • 24 Januari 2019 (2019-01-24) (Malaysia)
Masa tayangan
109 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
BajetRM1 juta
Pecah panggungRM56,932

XX Ray III merupakan sebuah filem cereka sains Malaysia 2019 arahan dan skrip oleh Aziz M. Osman.[1][2] Kesinambungan bagi filem XX Ray II (1995) dan filem terakhir dalam trilogi XX Ray, ia merupakan filem XX Ray yang pertama dalam tempoh 24 tahun, dibintangi oleh Izzue Islam, Nonny Nadirah, Adam John, Ardell Aryana dan Dazrin Kamarudin.[3][4][5] Filem ini mengisahkan tentang tiga remaja yang cuba menghentikan kegiatan seorang hartawan muda daripada menggunakan prob untuk mensabotaj Kerajaan Malaysia tanpa menyedari ia boleh memusnahkan keseluruhan sistem suria. Penggambaran dijalankan pada 2015 di Melaka, Johor dan Jordan. XX Ray III ditayangkan pada 24 Januari 2019, menerima ulasan negatif daripada pengkritik filem dan menjadi kegagalan komersial apabila hanya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM56,000.[6][7][8][9]

Sinopsis

Mengisahkan tentang tiga anak muda, iaitu Rayyan (pelajar fizik), Sam (pelajar kejuruteraan zarah) dan Lana, pekerja rahsia syarikat perindustrian yang berpengkalan di Jordan (sempadan Israel) dalam misi untuk menyelamatkan kerajaan Malaysia daripada disabotaj oleh seorang hartawan muda, Rosman yang mengancam untuk mengulangi insiden kehilangan kuasa tenaga elektrik di seluruh negara yang pernah berlaku pada Ogos 1996.

Insiden tersebut disebabkan lohong ulat yang menyerap kuasa utama tenaga elektrik dari stesen jana kuasa di Paka, Terengganu. Lohong ulat terjadi adalah berpunca dari sebuah prob yang tidak dikenali dari angkasa lepas. Bapa Rosman, Tan Sri Ismail telah mengambil prob tersebut dan menyembunyikannya. Hakikatnya prob tersebut ialah salah satu daripada ribuan prob yang diprogramkan untuk membuka pagar bintang terbesar dan menyerap tenaga matahari untuk dihantar semula ke alam semesta lain.

Ketiga-tiga anak muda itu kemudiannya mencari buku nota yang ditulis oleh Profesor Amir yang dipercayai mempunyai jawapan untuk mengawal prob berkenaan dan seterusnya menyelamatkan sistem suria.

Pelakon

Pelakon utama

Pelakon pembantu

Penampilan kameo

Penerbitan

Pembangunan

Idea untuk XX Ray III mula diutarakan dalam satu rencana yang diterbitkan dalam akhbar Harian Metro pada 1 Disember 1995.[10][11]

Pengarah filem ini, Aziz M. Osman mula membayangkan penerbitan bagi filem ini pada tahun 2011.[12] Beliau mengambil masa selama 20 tahun sebelum mengambil keputusan untuk menulis kesinambungan filem XX Ray II kerana ingin memastikan plot dan jalan cerita ditampilkan segar dan tidak ketinggalan zaman. Beliau juga akan menggunakan kepakaran tenaga kerja tempatan untuk melakukan teknik janaan imej berkomputer (CGI).[13] Aziz berkata dalam satu temubual bersama mStar Online:

"Sebenarnya sejak tamatnya XX-Ray II yang ditayangkan pada 1995 saya sudah diminta untuk menghasilkan kesinambungan terbaharu karya tersebut. Bagaimanapun sebagai seorang pengarah saya tidak boleh terburu-buru kerana banyak aspek perlu diberi perhatian menerusi genre Sci-fi. Selepas dua siri XX Ray saya tidak boleh mengulang formula sama tambahan pula semakin banyak karya dari genre serupa yang mungkin akan ada persamaan dan ia akan dipertikaikan. Bagaimanapun selepas 20 tahun saya sudah jumpa formula terbaik untuk memastikan XX Ray III segar dan istimewa,"

Menurut Aziz, selepas XX Ray II ditayangkan, beliau tidak mahu terburu-buru untuk mengarahkan filem cereka sains kerana banyak aspek yang perlu diberi perhatian untuk memberikan hasil terbaik pada filem itu.[14][15][16] Aziz berkata, untuk filem ini, beliau tidak memfokuskan topi ikonik yang pernah digunakan dalam filem pertama dan kedua sebelum ini.[17] Pencarian bagi teraju utama dan penghasilan skrip filem ini telah dimulakan pada Jun 2015.[18][19] Kos pembikinan menelan belanja sekitar RM2.5 juta.[4][20]

Pemilihan pelakon

Pada 26 November 2015, Izzue Islam telah disahkan bakal memegang watak utama bagi filem ini.[21] Filem ini merupakan filem cereka sains yang pertama dibintanginya.[22] Izzue berkata: "Saya memegang watak sebagai Rayyan dalam filem XX Ray III yang ditugaskan oleh Profesor Amir untuk menyelesaikan misi. Seperti yang kita semua tahu, filem ini sebuah filem cereka sains yang menjadi fenomena suatu ketika dahulu. Oleh itu saya teruja untuk terbabit dalam filem ini,". Beliau turut mengakui mendapat satu pengalaman baru apabila bekerja di bawah arahan Aziz M. Osman kerana banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.[21]

Pada Mac 2016, ia telah diumumkan bahawa Afdlin Shauki, Amy Mastura, Imuda dan Puteri Aishah bakal membintangi filem ini, bagaimanapun mereka tidak berada dalam senarai pemilihan pelakon.[23] Menurut Aziz, dia mempunyai alasan sendiri untuk tidak memilih pelakon terkenal membintangi sekuel tersebut. Katanya: "Saya bukan tidak mahu ambil pelakon yang ada, tetapi kebanyakan mereka mempunyai terlalu banyak komitmen dengan filem atau drama masing-masing. Jadi saya mahu mencari wajah baru agar orang ini bersedia sepenuhnya untuk filem ini. Tidak menjadi masalah untuk saya pupuk dan ajar pelakon baru, saya pernah lakukannya sebelum ini".[18]

Aziz meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pelakon baharu untuk menjadi teraju utama dan turut mengekalkan pelakon sebelum ini iaitu beliau sendiri dan Jalaluddin Hassan.[4] Jalaluddin yang sebelum ini berlakon dalam XX Ray II, kembali melakonkan watak Hang Tuah. Barisan pelakon lain yang terlibat termasuk Nonny Nadirah, Dazrin Kamarudin, Ardell Aryana, Ashraf Muslim dan Saiful Apek.[7]

Penggambaran

Penggambaran untuk XX Ray III merangkumi dua peringkat dan mengambil masa selama sekitar 35 hingga 40 hari.[4][24] Untuk penggambaran peringkat pertama, penggambaran dijalankan pada tahun 2015 dan peringkat seterusnya pada 2017 di seperti Melaka (sebanyak 70 peratus), Johor dan Jordan (sebanyak 30 peratus).[4][25] Menurut Aziz, beliau memilih Melaka sebagai lokasi penggambaran kerana "ia merupakan bandar bersejarah kita dan rumah nenek moyang saya".[7]

Muzik

XX Ray III menampilkan lagu tema filem XX Ray dan lagu tema drama Misi XX-Ray sebagai muzik latar. Selain itu, terdapat juga lagu yang dimuatkan dalam filem ini, termasuk:

  1. "Victory Is Mine" - Rock N Roll John
  2. "Kau" - Izzue Islam
  3. "Khayalan Maya" - O-Two
  4. "Mentera Semerah Padi" - M. Nasir
  5. "Gadis Idamanku" - Rachel Guerzo
  6. "Semangatku" - Pacai
  7. "Selamatkan Dunia" - The Outbreak

Turut dimuatkan ialah lagu tema kempen produktiviti oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC) yang dipersembahkan oleh Salina Saibi, Salamiah Hassan dan Atilia Haron.

Keluaran

Promosi

Teaser pertama filem ini telah dimuatnaik ke Youtube pada 30 Mac 2016, manakala teaser kedua telah dikeluarkan pada September 2018. Menurut Aziz dalam temubual bersama Harian Metro: "Trailer yang ada di YouTube dan dikongsi di Facebook itu adalah suntingan pertama yang saya hantar kepada seorang kawan untuk mendapatkan pendapatnya. Tapi saya tidak sangka pula, tiba-tiba dia memuat naik trailer itu di laman sosial sehingga menjadi tular dan mendapat respon pelbagai daripada netizen,".[26] Treler rasmi filem ini dikeluarkan pada 20 Disember 2018.[27][28]

Bagi mempromosikan filem ini, patung figura Profesor Amir Hamzah telah dikeluarkan dalam edisi terhad. Sebanyak 200 ratus patung figura Prof. Amir telah ditawarkan di mana setiap satunya mempunyai nombor siri yang tersendiri. Harga bagi sebuah patung figura ini adalah bernilai RM149.90.[29][30][31][32]

Tayangan dan kutipan

XX Ray III pada asalnya dijadualkan untuk tayangan pada Februari 2017, bertepatan dengan ulang tahun filem XX Ray ke-25.[23] Ia kemudian ditukar tarikh tayangan kepada Disember 2018,[33] bagaimanapun ia dikeluarkan secara rasmi pada 24 Januari 2019,[34][35][36] di 71 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei.[37][38] Majlis pratonton filem ini diadakan pada 16 Januari 2019 di E-Curve, Damansara.[39]

Filem ini menjadi kegagalan komersial apabila hanya berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM56,932.00 dalam tempoh seminggu selepas tayangan perdana rasminya.[40][41]

Sambutan

Sambutan yang diterima terhadap filem ini rata-ratanya negatif. Menulis untuk mStar Online, Shazryn Mohd Faizal mempunyai pandangan sinis terhadap filem ini. Beliau menyifatkan XX Ray III "tidak berupaya untuk menjadi pelengkap trilogi kepada siri filem XX Ray".[6] Beliau menulis: "Bukan hanya cerita yang lemah tetapi persembahan lakonan kesemua para pelakonnya juga tidak memberangsangkan [...] Sudah tiba masanya siri XX Ray melalui penjenamaan semula dengan acuan yang lebih segar dan mendapat sentuhan anak muda yang memiliki visi dan misi untuk terus membawa genre cereka sains serta fantasi Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi".[6] Dennis Chua, menulis untuk New Straits Times pula menulis: "XX Ray III mungkin bukan sebuah pengembaraan cereka sains terbaik, dan penuh dengan kelemahan, tetapi menghiburkan".[8] Bagaimanapun, beliau memuji sinematografi filem itu.[8] Dalam ulasan retrospektifnya mengenai XX Ray III, Bissme S dari The Sun Daily menulis: "Jenis kesan khas yang sangat memukau penonton dalam dua filem pertama kelihatan ketinggalan zaman dan membosankan dalam kesinambungan ini. Selain itu, plotnya sangat berbelit-belit sehingga, kadang-kadang, saya sebenarnya kehilangan jejak apa yang berlaku pada skrin, dan kebosanan menyelinap masuk".[42] Portal filem Rollo de Pelicula juga memberikan ulasan negatif terhadap filem ini dan menulis: "...Kelemahan ketara kali ini ialah pada jalan ceritanya yang tidak seperti filem-filem XX Ray terdahulu dimana ia menghadapi masalah besar di dalam menyatukan banyak perkara yang ditimbulkan seperti bab alam sekitar, UFO, pertembungan identiti dan ideologi setiap watak serta kewujudan setiap lokasi-lokasi sama ada luar negara mahu pun di dalam Malaysia yang kelihatan lemah dan tidak menyokong kepentingan babak yang dipertontonkan".[43]

Masa depan

Ditanya mengenai kebarangkalian kesinambungan untuk XX Ray III, Aziz M. Osman dalam temubual bersama Astro Awani pada Januari 2019, berkata: "Jika ada rezeki filem ini dapat sambutan, insha Allah kita lanjutkan dengan XX Ray IV dengan tajuk lebih baik,".[17]

Rujukan

  1. ^ Ashraf Nasser (6 Januari 2019). ""XX-Ray 3" kembali selepas lebih 20 tahun". Cinema Online. Dicapai pada 1 April 2019.
  2. ^ Hanafis Haris (21 Disember 2018). "Penantian 20 Tahun Berakhir! Filem XX Ray Akan Menemui Penonton Januari Ini!". Astro Gempak. Dicapai pada 1 April 2019.
  3. ^ Amirul Haswendy Ashari (7 Januari 2019). "Misi elak negara 'gelap'". Harian Metro. Dicapai pada 29 Mac 2019.
  4. ^ a b c d e Budiey (1 Januari 2019). "Yang Anda Harus Tahu Tentang Filem XX RAY III". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 29 Mac 2019.
  5. ^ "Cabaran XX Ray III". Berita Harian. 25 Januari 2019. Dicapai pada 2 April 2019 – melalui PressReader.
  6. ^ a b c Shazryn Mohd Faizal (6 Februari 2019). "Maaf Aziz! Sukar untuk 'XX Ray III' menjadi karya yang akan dikenang". mStar Online. Dicapai pada 21 Januari 2020.
  7. ^ a b c Dennis Chua (26 Januari 2019). "#Showbiz: The weird science guy returns" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 21 Januari 2021.
  8. ^ a b c Dennis Chua (27 Januari 2019). "Mission to save the planet" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 26 Mac 2019 – melalui PressReader.
  9. ^ Nannie Isa (3 Januari 2019). "XX Ray III Kini Kembali Dengan Misi Selamatkan Dunia". Kitepunye. Dicapai pada 29 April 2019.
  10. ^ "XX Ray III bakal menyusul". Harian Metro. 1 Disember 1995. Dicapai pada 28 Mac 2019.
  11. ^ "Aziz nak sambung XX Ray 3?". Harian Metro. 15 Mei 2003. Dicapai pada 29 April 2021.
  12. ^ "Aziz M Osman Rancang Filem XX Ray III?". Rotikaya.com. 12 Disember 2011. Dicapai pada 28 November 2015.
  13. ^ Mohd Al Qayum Azizi (12 Ogos 2015). "Aziz M Osman Bakal Terbitkan Sekual 'XX Ray 3'". mStar Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 September 2015. Dicapai pada 28 November 2015.
  14. ^ Ramlah Zainal (21 Ogos 2015). "Formula terbaik untuk XX-Ray III". Harian Metro. Dicapai pada 29 Mac 2019.
  15. ^ Ashraf Nasser (22 September 2017). "Aziz M. Osman sibuk dengan penggambaran "XX Ray 3"". Cinema Online. Dicapai pada 1 April 2019.
  16. ^ Ashraf Nasser (22 Ogos 2015). "Aziz M. Osman bakal arah filem "XX-Ray III"". Cinema Online. Dicapai pada 1 April 2019.
  17. ^ a b "Kekurangan CGI dalam XX Ray III, Aziz M. Osman fokus penceritaan". Astro Awani. 18 Januari 2019. Dicapai pada 1 April 2019.
  18. ^ a b "Aziz M Osman Umum Pembikinan Sekuel XX Ray, Cari Hero Baru". My News Hub.com. 3 Jun 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-02-21. Dicapai pada 28 November 2015.
  19. ^ Ahmad, Azzyati (3 Jun 2015). "Aziz M Osman cari hero baharu bintangi filem XX Ray III". Astro Awani. Dicapai pada 28 November 2015.
  20. ^ "XX Ray III perlu pelakon sesuai". Berita Harian Singapura. 10 Jun 2015. Dicapai pada 1 April 2019.
  21. ^ a b Naseer, Ashraff (27 November 2015). "Izzue Islam diberi watak utama dalam "XX-Ray 3"". Cinema Online. Dicapai pada 2015-11-28.
  22. ^ Ina Mohd (26 November 2015). "Aziz M.Osman Pilih Izzue Islam Untuk Watak Utama XX-Ray 3". Sinar FM. Dicapai pada 28 November 2015.
  23. ^ a b Mila Ismail (29 Mac 2016). "XX Ray to Meet Fans After 20 Years through Third Sequel" (dalam bahasa Inggeris). Kr8tif Express. Dicapai pada 29 Mac 2016.
  24. ^ Zaidi Mohamad (18 Oktober 2017). "Aziz jamin XX Ray 3 filem menyeronokkan". Berita Harian. Dicapai pada 29 April 2019.
  25. ^ "Sekuel XX-Ray Kembali". KafeBuzz.my. 26 November 2015. Dicapai pada 28 November 2015.
  26. ^ Amirul Haswendy Ashari (19 Disember 2018). "Bukan treler rasmi XX Ray 3". Harian Metro. Dicapai pada 29 Mac 2019.
  27. ^ Hairi Ariff (21 Disember 2018). "Tonton Trailer Rasmi Filem 'XX RAY III' Arahan Aziz M. Osman". The Vocket. Dicapai pada 29 Mac 2019.
  28. ^ Ashraf Nasser (20 Disember 2018). "Aziz M. Osman nafi sudah rilis treler rasmi "XX Ray 3"". Cinema Online. Dicapai pada 1 April 2019.
  29. ^ Hairi Ariff (27 November 2018). "Patung Figura Edisi Terhad Filem XX Ray III Sedia Untuk Ditempah". The Vocket. Dicapai pada 29 Mac 2019.
  30. ^ Mohd Al Qayum Azizi (14 Disember 2018). "Aziz tak sangka, promosi figura mini 'Profesor Amir Hamzah' XX Ray 3 laris". mStar Online. Dicapai pada 1 April 2019.
  31. ^ Tahir Alhamzah (14 Disember 2018). "#Showbiz: Collectors snap up XX Ray's Prof Amir Hamzah action figure" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 1 April 2019.
  32. ^ Tan Mei Zi (10 Disember 2018). "Collection figures don't matter, says 'XX Ray 3' director" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 2 April 2019.
  33. ^ Ashraf Nasser (25 September 2018). ""XX Ray 3" bakal temui penonton tidak lama lagi". Cinema Online. Dicapai pada 1 April 2019.
  34. ^ Nadia Azam (21 Disember 2018). "Aziz macam 'bunuh diri' kerana XX Ray 3". Malaysiakini. Dicapai pada 29 Mac 2019.
  35. ^ Mumtaj Begum (25 Januari 2019). "The XX Ray franchise returns to cinemas after 24 years with 'XX Ray III'" (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. Dicapai pada 29 Mac 2019.
  36. ^ "XX Ray 3 bakal ditayangkan bulan ini". Berita Mediacorp. 2 Januari 2019. Dicapai pada 2 April 2019.
  37. ^ Syafiqah Othman (28 Januari 2019). "XX Ray III Filem Unsur Sains Fiksyen Dan Penuh Komedi". Kopiplanet. Dicapai pada 1 April 2019.
  38. ^ Akyem Samad (28 Januari 2019). "8 Sebab Kenapa Anda Harus Menonton Filem XX Ray 3? Ini Perkongsian Movie Addict Malaysia!". Maskulin. Dicapai pada 1 April 2019.
  39. ^ Salma Syahbuddin (17 Januari 2019). "Betul Ke Filem XX Ray III Antara Filem Sci-Fi Yang Ditunggu-tunggu?". XTRA. Dicapai pada 1 April 2019.
  40. ^ Phic Arman (5 Januari 2020). "Senarai 10 Filem Melayu Dengan Kutipan Paling Rendah 2019 Dari FINAS". Murai.my. Dicapai pada 1 April 2020.
  41. ^ Kamaruddin Razal (25 Disember 2019). "#ThrowbackGempak2019: Ini Senarai 10 Filem Melayu Tempatan Dengan Kutipan Rendah". Astro Gempak. Dicapai pada 1 April 2020.
  42. ^ Bissme S (30 Januari 2019). "Movie Review: XX Ray III" (dalam bahasa Inggeris). The Sun Daily. Dicapai pada 1 April 2019.
  43. ^ Hans Hanis (19 Januari 2019). "Review Filem XX Ray 3". Rollo de Pelicula. Dicapai pada 2 April 2019.

Pautan luar