Juara Lagu Kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif merupakan pertandingan lagu yang dimasukkan dalam penganjuran Anugerah Juara Lagu oleh TV3 bermula pada tahun 1992 dan ditamatkan pada 2008. Lagu-lagu yang dipertandingkan dalam kategori ini terdiri daripada lagu-lagu yang berentak irama tradisional bernuansa nusantara dan muzik sedunia. Antara genre muzik tradisional yang pernah dipertandingkan dalam kategori ini adalah joget, ghazal, zapin, keroncong, dangdut, melayu deli, masri, hadrah, irama rakyat, satira, ngajat, dikir, rodat, jhaipong, pop jawa dan banyak lagi dari rumpun nusantara. Lagu-lagu berentak oriental, arab, qasidah, pop hindi, samrah dan sufi dari timur tengah dan benua india/china juga pernah dipertandingkan.
Sebanyak 17 buah lagu telah memenangi kategori ini dengan komposer Suhaimi Mohd Zain atau dikenali sebagai Pak Ngah menerajui senarai pemenang terbanyak dengan empat (4) kemenangan. Bermakna Hairul Anuar Harun yang berkolaborasi dengan kesemua lagu kemenangan Pak Ngah juga unggul dengan empat (4) kemenangan sebagai penulis lirik. Ini sekaligu membawa tuah kepada penyanyi keempat-empat lagu tersebut Siti Nurhaliza sebagai penyanyi yang paling kerap menang diikuti oleh M. Nasir dan ND Lala dengan -dua (2) kemenangan sebagai penyanyi.
† = Lagu yang memenangi Lagu Terbaik AIM
‡ = Lagu yang dicalonkan sebagai Lagu Terbaik / Lagu Pop Etnik Terbaik AIM
Rekod
Lagu "Warkah Buatmu Laila" ciptaan Ayub Ibrahim merupakan satu-satunya lagu menang kategori ini yang meraih anugerah Lagu Terbaik di AIM.
Empat buah lagu yang berjaya meraih juara keseluruhan adalah "Ghazal Untuk Rabiah" (1997), "Cindai" (1998), "Balqis" (2000) dan "Mimpi Laila" (2001).
Komposer Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah meraih pencalonan sebagai komposer terbanyak iaitu 13 lagu termasuk sebuah lirik nukilannya pernah dicalonkan.
Pak Ngah menjadi komposer paling banyak memenangi kategori ini iaitu sebanyak 4 kali.
Komposer lain yang memenangi anugerah kategori ini lebih daripada sekali adalah M. Nasir sebanyak tiga (3) kali iaitu pada tahun 1994, 1997 dan 2005. Diikuti oleh ND Lala sebanyak dua kali (1995, 1996) dan Yasin Sulaiman juga dua kali (2001, 2003).
M. Nasir, Pak Pandir, To'ki, ND Lala dan Yasin Sulaiman meraih kemenangan menerusi lagu yang dicipta sendiri, ditulis lirik sendiri dan dinyanyikan sendiri. Hanya Yasin yang berjaya meraih juara keseluruhan AJL menerusi lagu buatan sendiri pada 2001.
Selain dua kali menang, M. Nasir secara keseluruhan bertanding sebagai komposer sebanyak 5 kali, dan dua kali sebagai penulis lirik dan daripada 5 buah lagu itu, beliau menyanyikan 3 buah lagu sahaja.
Penulis lirik Hairul Anuar Harun merupakan pemenang terbanyak sebagai penulis lirik untuk kategori ini iaitu sebanyak tiga kali pada 1998, 1999, dan 2000 d Rosli Khamis atau lebih dikenali sebagai Loloq pula unggul mengikuti dengan tiga kemenangan pada 1994, 1997 dan 2005.
Ada komposer-komposer yang sinonim memperjuangkan lagu-lagu etnik bagaimanapun tidak pernah memenangi anugerah ini (menerusi ciptaan sendiri) seperti Noraniza Idris, Siso, S. Atan, Eddie Hamid, Rosli Selasih dan Sheqal.
Komposer muzik pop arus perdana seperti Adnan Abu Hassan, Saari Amri, Ajai dan Azmeer masing-masing pernah menyertai kategori ini, biarpun tanpa sebarang kemenangan.
Penulis lirik Siso bertanding dengan 4 lirik tulisannya gagal meraih sebarang anugerah menjadikan beliau penulis lirik dengan pencalonan terbanyak tanpa kemenangan. Habsah Hassan meraih anugerah kategori ini yang pertama pada 2006 selepas 3 penyertaan sebelum itu yang gagal.
Penyanyi Ramlah Ram dan Syura merupakan penyanyi terbanyak bertanding tetapi tidak pernah menang kategori ini iaitu menerusi tiga (3) lagu. Syura bagaimanapun tidak hadir membuat persembahan dalam penyertaan ketiganya (menggunakan penyanyi gantian).
M. Nasir, Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah merupakan penyanyi yang menang kategori ini tetapi dalam masa yang sama pernah menang dalam kategori muzik yang lain sama ada kategori Pop Rock ataupun Balada. Hanya Siti yang pernah menang ketiga-tiga kategori, sementara kedua-dua Dayang dan M. Nasir pernah bertanding dalam dua lagi kategori samaada sebagai penyanyi atau komposer.
Ajai dan Adnan Abu Hassan merupakan dua komposer selain M. Nasir yang pernah bertanding dalam ketiga-tiga kategori muzik.
Edisi ke 22 menyaksikan hanya tiga lagu sahaja yang berjaya mara ke peringkat Anugerah Juara Lagu. Hal ini kerana pencalonan yang diterima dalam kategori ini sepanjang 2007 ialah hanya 20 peratus di mana selebihnya datang daripada kategori Pop Rock dan Balada. Ini bermakna keputusan ini juga dikekalkan untuk edisi ke 23.
Tujuh (7) buah lagu yang meraih kemenangan dalam kategori ini mempunyai nuansa muzik timur tengah iaitu "Ghazal Untuk Rabiah", "Balqis", "Mimpi Laila", "Nirmala", "Wassini" ,"Aduh Saliha" dan "Warkah Buatmu Laila".
Tiga buah lagu berentak asli Melayu menang kategori ini iaitu "Seni Berzaman", "Bonda" dan "Erti Hidup" (lebih fusion pop).
Tiga buah lagu dalam keluarga ghazal dan zapin memenangi kategori ini adalah "Ghazal Untuk Rabiah", "Cindai" dan "Hati Kama".
Tiga buah lagu berentak satira, seloka dan joget melayu meraih kemenangan ialah "Yang Remeh Temeh", "Diari Y.B.", dan "Syair Cak Pung".
Lagu "Persoalan Cinta" yang menang pada 2008 secara logiknya bukanlah lagu berirama etnik disebabkan unsur pop dance di dalamnya. Lagu ini diangkat sebagai lagu etnik hanya dengan iringan muzik Erhu bernuansa timur jauh.
Tiada lagu etnik berentak dangdut, dikir mahupun bunyian pribumi yang berjaya memenangi kategori ini.
Bermula tahun 1993, tiada lagi lagu gubahan semula diterima masuk ke peringkat akhir ekoran kritikan yang diterima oleh penyertaan lagu klasik "Siti Payung" ketika edisi pertama kategori ini dianjurkan.
Beberapa lagu dipertandingkan mempunyai lirik dalam bahasa daerah seperti "Puteri Ledang" & "Hatinya Tak Tahan" (Jawa), "Hala Timur" (Kelantan/Pattani), "Hela Bubu Hela", "Ngajat Tampi" & "Tandang Bermadah" (Melayu Sarawak/Iban), Dondang Dendang (Terengganu), dan "Ayuh! Juragan" (Dialek Orang Asal).
Beberapa lagu menyelitkan lirik dalam bahasa Arab antaranya "Mimpi Laila", "Wassini", dan "Warkah Buatmu Laila", kesemuanya menang pada tahun dipertandingkan.
Noraniza Idris dengan 10 buah lagu layak ke AJL menjadikan beliau penyanyi paling banyak beraksi di pentas akhir kategori ini. Tiga daripada lagu yang dipersembahkannya adalah ciptaan beliau sendiri.
Siti Nurhaliza merupakan penyanyi terbanyak memenangi juara keseluruhan menerusi kategori ini iaitu dua kali pada 1998 ("Cindai") dan 2000 ("Balqis").
Siti Nurhaliza merupakan penyanyi termuda memenangi kategori ini iaitu menerusi lagu "Cindai" pada usia 19 tahun.
Pak Pandir memenangi kategori ini pada usia 44 tahun merupakan penyanyi tertua yang menang kategori ini. Beliau bagaimanapun bukan komposer tertua yang menang.
Rosiah Chik yang meninggal dunia pada tahun 2006 merupakan satu-satunya penyanyi yang lagunya, "Hantaran Hati" dicalonkan ke peringkat akhir secara 'posthumous' dalam acara AJL pada tahun tersebut. Tempat beliau digantikan oleh biduanita Aspalela Abdullah. Sementara lirik "Doa Dalam Lagu" nukilan Rosli Khamis (Loloq) dipertandingkan pada tahun 2008 selepas dua bulan kematiannya.
Satu-satunya kanak-kanak yang pernah membuat persembahan di peringkat akhir adalah Morsi, anak kepada penyanyi Nora Ariffin dan Johan Nawawi. Beliau muncul dalam satu rangkap gurindam pada lagu "Desa Tercinta" pada usia 8 tahun. Namun namanya tidak dikreditkan sebagai penyanyi yang ditampilkan kerana Nora didaftarkan bertanding sebagai artis solo.
Syura merupakan penyanyi termuda bergelar finalis ketika berusia 16 tahun pada tahun 2002. Azian Mazwan Safuan, Haida dan Syazliana masing-masing berusia 17 tahun pada 1993, 1995 dan 2002 diikuti oleh penyertaan kedua Syura dan penampilan pertama Zehra Zambri yang berusia 18 tahun masing-masing pada 2004 dan 2005. Siti Nurhaliza (1998) dan Aiman Sidek (2008) menyertai kategori ini pada usia 19 tahun.
Satu-satunya kumpulan gitar rancak (kugiran) yang menyertai kategori ini adalah Kumpulan Illusi pada tahun 1993.
Kumpulan vokal yang pernah bertanding adalah kumpulan Eva (1996), A to Z (1997), Kopratasa (1999) dan Senario (2000 & 2006).
Beberapa lagu yang diiktiraf terbaik di pertandingan selain AJL juga pernah bertanding dalam kategori ini tetapi terkandas di peringkat mingguan dan separuh akhir, contohnya lagu "Kias Fansuri" - M. Nasir (1998) , "Nafas Cahaya" - Misha Omar (2006), "Racau Sang Khalifah" - Noraniza Idris & Liza Hanim (2006), "Maharaja" - Ramlah Ram (2006), dan "Iboq" - Noraniza Idris (2001) yang sedikit sebanyak mencetuskan kontroversi.