Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) merupakan konsert dan majlis penghargaan tahunan bagi karya muzik Malaysia yang diperkumandangkan dalam carta Muzik MuzikTV3 musim 2016. Tema untuk acara tahun ini ialah "Cerita Dalam Lagu" yang mana ia mengangkat konsep seni kata dan penciptaan lagu yang diinterpretasikan daripada sesebuah cerita.
Lagu "Lelaki Teragung" nyanyian Dayang Nurfaizah (ciptaan Natasyah dan lirik oleh Iman Imran) mengungguli Anugerah Juara Lagu Ke-31 (hadiah RM50,000 + trofi).[1] Malah, Dayang Nurfaizah juga menerima anugerah Vokal Terbaik (hadiah RM12,000 + trofi) untuk 3 tahun berturut-turut. Lagu "Terimaku Seadanya" (Ajai) dan "Sudah Ku Tahu" (Razif) masing-masing memenangi tempat kedua (hadiah RM35,000 + trofi) dan tempat ketiga (hadiah RM20,000 + trofi). Manakala lagu "Hang Pi Mana" nyanyian Kumpulan Khalifah berjaya memperoleh anugerah Persembahan Terbaik (hadiah RM12,000 + trofi).
Separuh Akhir Muzik Muzik
Setelah selesai program mingguan carta Muzik Muzik 31, acara Separuh Akhir Muzik Muzik 31 diadakan selama dua pusingan bagi memilih 12 lagu yang layak ke AJL daripada 29 buah lagu yang telah terpilih.
Rata-rata penyanyi yang mara ke AJL edisi kali ini memperlihatkan barisan penyanyi baharu dan buat pertama kali melayakkan diri ke pentas Anugerah Juara Lagu, seperti Sufian Suhaimi, Projector Band, Alif Satar (duet bersama Shila Amzah), Aiman Tino, Syamsul Yusof dan Kumpulan Khalifah.
Dayang Nurfaizah merupakan artis senior memasuki Anugerah Juara Lagu. Dayang pertama kali menyertai semasa AJL-16 (2001) dan memenangi kategori balada dengan lagu "Seandainya Masih Ada Cinta".
Edisi kali juga memperlihatkan penyanyi yang pernah memenangi kategori Vokal Terbaik iaitu Misha Omar (2003 & 2004), Black Hanafiah (2009), Hafiz Suip (2010 , 2011 & 2012) dan Dayang Nurfaizah (2014 & 2015).
3 band/kumpulan berjaya ke pentas akhir AJL iaitu Projector Band,Kumpulan Khalifah dan Kumpulan Akim & The Majistret.
Lagu "Kalah Dalam Menang" (Mawi & Syamsul Yusof) merupakan lagu tema (OST) filem Munafik. Lagu ini mengulangi sejarah lagu "Gelisah Mimpi" (AJL-17) yang merupakan OST filem "KL Menjerit", "Pulangkan" (AJL-19) yang merupakan OST filem "Pontianak Harum Sundal Malam" , "Ku Seru" (AJL-21) yang merupakan OST filem "Pontianak Harum Sundal Malam 2" dan "Ombak Rindu" (AJL-27) yang merupakan OST filem "Ombak Rindu".
Lagu "Lelaki Teragung" (Dayang Nurfaizah) merupakan lagu tema (OST) drama 7 Hari Mencintaiku yang masih dalam tayangan semasa Separuh Akhir Muzik-Muzik 31 dan berjaya meraih Juara Lagu dan Vokal Terbaik sekaligus menjadi lagu runut bunyi drama kedua yang memenangi Juara Lagu selepas lagu "Potret" (Akim & The Majistret) untuk drama Dia Isteri Luar Biasa.