Anugerah Juara Lagu 37 (AJL 37) merupakan anugerah muzik berprestij yang mengangkat martabat komposer, penulis lirik dan penyanyi. Setiap tahun, AJL akan menobatkan pemenang dalam kategori Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik, Tempat Ketiga, Tempat Kedua dan Juara Lagu. Pemenang bagi setiap kategori akan memenangi sebuah trofi AJL berserta wang tunai. Program ini dihoskan oleh Sherry Alhadad dan Jihan Muse bagi slot utama, manakala Fiza Frizzy dan Muaz Mohamed akan mengendalikan segmen Karpet Merah AJL 37. Lagu “Terus Hidup” ciptaan sepenuhnya oleh Aina Abdul telah diangkat sebagai Juara Lagu bagi edisi ke-37.
Aina Abdul berjaya menyapu 4 daripada 5 buah trofi AJL (sebagai komposer, penulis lirik, penyanyi dan vokal terbaik) untuk satu malam.
Aina Abdul mengulangi kejayaan Ana Raffali semasa AJL25 (2010) dan Loca B semasa AJL35 (2020) apabila memenangi Juara Lagu sebagai seorang komposer, penulis lirik dan penyanyi wanita di malam AJL.
Edisi kali ini menampilkan tiga muka baharu yang pertama kali bertanding iaitu Iman Troye, MK dan Kumpulan The Locos yang dipimpin oleh Alif Satar.
Ini merupakan penampilan pertama buat penyanyi senior Liza Hanim di pentas akhir AJL dalam tempoh 20 tahun. Kali terakhir beliau menyertai pentas akhir AJL ketika AJL17 (2002) menerusi lagu Gelisah Mimpi.
Hanya satu (1) band/kumpulan yang berjaya ke pentas akhir AJL kali ini iaitu Kumpulan Alif Satar & The Locos.