Beliau telah memenangi Anugerah Wirama pada tahun 2010 pada Anugerah Industri Muzik ke-17 atas kejayaannya dalam bidang rakaman. Beliau telah menghembuskan nafas yang terakhir pada pagi 18 Mac 2016.
Kehidupan awal dan pendidikan
Beliau dilahirkan pada 6 Januari 1959 di Alor Star, Kedah dan merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik. Saudara lelakinya ialah Azlan Abu Hassan, Azman Abu Hassan dan adik perempuannya, Azlina Abu Hassan, juga bergiat aktif dalam industri muzik Malaysia. Beliau memegang ijazah sarjana muda dari Berklee College of Music di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat. Beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Universiti Teknologi MARA.
Kerjaya muzik
Tidak lama selepas tamat pengajian, Adnan mula bekerja sebagai pemuzik dan penggubah susunan muzik untuk penerbitan album artis tempatan. Produksi pertama menampilkan beliau adalah untuk album Mata oleh Noor Kumalasari pada 1982. Setelah bekerjasama mencipta lagu untuk penyanyi yang telah mempunyai nama seperti Sudirman Arshad, Jay Jay, Aman Shah, Jamal Abdillah, Sheila Majid, Rahim Maarof,Azlina Aziz dan Aishah, beliau dilantik sebagai Pengarah A&R (CBS Records - kini Sony Music Entertainment Malaysia). Setelah itu beliau dilantik Pengarah Urusan di Happy Records (1991-1995) dan Suria Records (1995-1998). Ketika itu juga Adnan bertanggungjawab menjenamakan semula penyanyi pop Fauziah Latiff dibawah Happy Records, dan kemudian menaikkan nama penyanyi baharu seperti Nora Ariffin, Siti Nurhaliza, Camelia, Liza Hanim, Dayang Nurfaizah dan Misha Omar pernah menjadi perantisnya sebelum melanjutkan kerjaya mereka sebagai penyanyi profesional.
Tidak lama kemudian dia menjadi Pengarah A&R BMG Music dan Delima Records sebelum dilantik sebagai Pengetua dan Pengarah Jam Music Centre, Penerbit Album dan Komposer yang juga Pengarah Kreatif bagi Jam / Treeman Corporation. Setelah terkenal sebagai komposer ternama, khidmat Adnan pernah digunakan oleh penyanyi terkenal seperti Ziana Zain, Ramlah Ram, Mas Idayu, Noraniza Idris, Erra Fazira dan bintang-bintang program TV realiti pada era 2000an. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai pengarah di saluran Dunia Hiburan TV atau DHTV, milik MiTV selain bergelar tenaga pengajar di dalam program realiti Akademi Fantasia dan Kilauan Emas.
Kehidupan peribadi
Adnan mendirikan rumah tangga dengan Sitti Aminah Datu Bachtiyal, seorang gadis berketurunan Suluk dari Malaysia Timur pada tahun 1994. Beliau berjumpa isteri beliau melalui sahabat dan artis baru ketika itu iaitu Hasnol yang popular dengan lagu Sudi Katakan Sudi. Isteri beliau adalah anak kepada ahli politik dan ahli perniagaan Datu Hj. Bachtiyal Datu Tambuyong dari Sandakan, Sabah dan mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Aiman Zamir[1][4][5][6], Aina Zamira Adnan[7]
serta Adrian Zahir.
Isteri beliau yang lebih dikenali dikalangan artis sebagai Kak Min atau Sharmin Datu Bachtiyal bersama beliau telah menubuhkan syarikat rakaman SRD VILLA RECORDS SDN.BHD. yang beroperasi di alamat No.3, Jalan Teratai, Persiaran Teratai 2, Studio SRD Villa, 43000, Sg.Ramal Dalam, Kajang, Selangor, Malaysia. Artis pertama yang diterbitkan di Studio SRD Villa Records(studio peribadi milik Datuk Adnan) dan bernaung dibawah BMG Music ialah Misha Omar (Album Bunga - Bunga Cinta) dan ramai lagi.
Syarikat rakaman SRD Villa Records adalah syarikat ulung beliau bersama isteri beliau (Sharmin Datu Bachtiyal). Dia bertanggungjawab sebagai Pengurus Artis- Artis keluaran SRD Villa Records antaranya Misha Omar, Arnieza Amir, Sheila Abdul dan banyak lagi. Album pertama yang diterbitkan dibawah label SRD VILLA RECORDS ialah SEHATI SEJIWA edaran FMC Records ″[8] Album ini menampilkan Datuk Adnan Abu Hassan bersama gabungan artis popular Aishah[9] dan artis-artis baru didikan Dato' Adnan Abu Hassan.
Sharmin adalah Pengurus Promosi dan Pemasaran untuk album keluaran SRD Villa Records. Setelah album penuh terbitan Datuk Adnan siap untuk artis - artis SRD Villa Records, album artis - artis ini akan dipasarkan dibawah naungan syarikat rakaman utama seperti BMG Music. Sony Music, EMI Music dan lain- lain. Sebagai Pengurus Artis[10] , beliau banyak menyumbang kepada kejayaan artis SRD Villa Records, antaranya Arnieza Amir telah berjaya merakamkan Lagu duet bersama Jeff Timmons (salah seorang anggota kumpulan 98 Degrees) di Studio rakaman American Studio,Los Angeles pada tahun 2004. Arnieza Amir yang ditemani oleh Pengurusnya Sitti Aminah Datu Bachtiyal dan Encik Firhad Ahmad (Pengarah urusan Zezz Entertainment) merakamkan 2 buah lagu duet iaitu "Be The One" dan "Over And Over". Kedua-dua buah lagu ini telah dimuatkan dalam album solo Jeff Timmons bertajuk "Whisper That Way"[11] Selaku Pengurus Pemasaran SRD Villa Records, beliau telah berjaya membawa artis rakaman mereka Arnieza Amir untuk persembahan dan kolaborasi dengan artis antarabangsa. Beliau (Sitti Aminah Datu Bachtiyal) mendapat persetujuan untuk Arnieza Amir tampil di showcase di Jim Brickman di Arena of Stars, Genting Highland, Malaysia. Arnieza Amir menjayakan showcase bersama pemain piano terkemuka Amerika Syarikat, Jim Brickman, dengan menyanyikan lagu Destiny bersama Jim Birckman.[11]
Perkahwinan hanya bertahan selama 13 tahun dan mereka bercerai pada tahun 2010.[2] Datuk Adnan telah berkahwin dengan janda anak dua iaitu Rozinorhafiza Bte Mohd. Fauzi. Perkahwinan mereka tidak dikurniakan sebarang anak. Mereka hidup bersama dengan dua orang anak tiri beliau di kondominium terletak di Gombak. Perkahwinan mereka hanya berlangsung selama 7 tahun kerana Datuk Adnan menghembuskan nafas pada 18hb Mac 2016 . Sebelum itu, jenazah Adnan dimandi, dikafankan dan disembahyangkan di Masjid Al-Falah Sungai Ramal Dalam.