Nora (penyanyi)
Yang Berbahagia Datuk Wan Norafiza Dato’ Haji Ariffin (lahir 26 Julai 1973) atau lebih dikenali sebagai Nora ialah seorang penyanyi dan pelakon wanita Malaysia.[1][2] Dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan, Nora mula bergiat aktif dalam dunia seni suara apabila beliau dinobatkan sebagai juara Bintang HMI pada tahun 1991. Beliau pada mulanya menggunakan mononim Nora pada tahun-tahun terawal kerjayanya, namun sejak kebelakangan ini, beliau telah membuat persembahan di bawah nama Nora J. atau Nora Ariffin.[3][4] Beliau mengikat kontrak rakaman bersama Warner Music Malaysia dan muncul bersama album pertama yang berjudul Sandiwara yang memuatkan lagu hits "Di Persimpangan Dilema" ciptaan Adnan Abu Hassan.[5] Susulan itu, Nora terus mengecapi kejayaan komersial dan kritis menerusi album-albumnya yang dikeluarkan bermula pada pertengahan 1990-an. Antara lagu-lagu terkenal beliau ialah "Katakanlah", "Debaran", "Renungan Terakhir", "Naluri (Hadirlah Kekasih)", "Hanyalah Satu", "Menyemai Cinta Bersamamu", "Mata" dan "Kau Tak Pernah Jauh". Beliau telah menerima pelbagai anugerah dan pencalonan dalam bidang muzik termasuk Anugerah Industri Muzik dan Anugerah Juara Lagu dan disifatkan antara penyanyi yang amat popular pada era 1990-an, sezaman dengan Amy Mastura, Ziana Zain, Ning Baizura, Erra Fazira dan Siti Nurhaliza. Pada tahun 2016, beliau merupakan salah seorang peserta Gegar Vaganza musim ketiga. KerjayaPada tahun 1991, Nora, yang ketika itu berusia 18 tahun mula berkecimpung dalam bidang muzik dengan menyertai Bintang HMI sekaligus dinobatkan sebagai juara. Ketika itu, Nora menyampaikan lagu "Akhirnya Kini Pasti" nyanyian asal Anita Sarawak.[6] Beliau ditawarkan merakamkan lagu sulungnya yang bertajuk "Interlud" yang merupakan runut bunyi filem arahan Othman Zainuddin bertajuk sama.[7] Bagaimanapun, beliau hanya merakamkan suaranya selepas kelahiran anak sulungnya, walaupun beliau sepatutnya berbuat demikian selepas menjuarai Bintang HMI.[8] Bakat mendalamnya dalam bidang muzik telah menarik perhatian syarikat rakaman Warner Music Malaysia, kemudian menawarkannya kontrak rakaman.[9] Bekerja di bawah bimbingan suaminya, komposer terkenal, Johan Nawawi, beliau merakamkan album sulungnya bertajuk Sandiwara.[10][11] Dikeluarkan pada Jun 1994, album ini didahului oleh lagu "Interlud" sebagai single pertama, namun lagu "Di Persimpangan Dilema" sebagai single kedua, berjaya menjulang nama Nora sekaligus memperkenalkannya kepada peminat industri muzik.[12][5][13] Album ini menjadi kejayaan komersial apabila ia terjual sebanyak 100,000 unit dan menerima pensijilan platinum.[14] Pada 31 Ogos 1994, bersempena Hari Kemerdekaan negara ke-37, Nora membuat persembahan di Konsert Hari Kebangsaan yang berlangsung di Dataran Merdeka. Turut membuat persembahan ialah Dayangku Intan, Salwa Abdul Rahman, Poe dan To'ki.[15] Pada tahun 1995, Nora berduet bersama Sheila Majid menerusi lagu "Jentayu" hasil nukilan Johan. Lagu ini dimuatkan dalam album koleksi Sentuhan Ilham Rasa Johan Nawawi terbitan WEA.[16][17] Pada 23 Mac tahun yang sama, beliau telah dinobatkan sebagai Artis Baru Wanita Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-2, sementara album sulungnya, Sandiwara telah dicalonkan untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita).[18] Album keduanya, Debaran dikeluarkan pada November 1995. Dirakamkan selepas Hari Raya Aidilfitri, album ini menyaksikan Nora sekali lagi menggunakan khidmat suaminya sebagai penerbit album.[19][20] Album ini mendapat sambutan yang baik di pasaran, telah terjual sebanyak 30,000 unit. Single yang dikeluarkan termasuk "Katakanlah", "Dendam Dalam Diam" dan "Debaran". Terdapat sebuah lagu duet bersama Casey Subramaniam yang bertajuk "Meniti Janji". Album ketiganya pula menyusul pada Disember 1996 dengan tajuk Naluri.[21][22] Empat lagu dalam album ini dikeluarkan sebagai single termasuk "Naluri (Hadirlah Kekasih)" dan "Renungan Terakhir". Lagu "Naluri" telah dipilih sebagai lagu tema drama Cinta Antara Benua yang disiarkan di TV3. Nora juga membuat penampilan khas dalam drama ini.[23] Pada tahun 1997, beliau berpadu suara dengan Ziana Zain, Ning Baizura dan penyanyi Indonesia, Dessy Fitri menerusi lagu "Di Akhir Garisan" hasil ciptaan komposer Australia, Paul Begaud. Lagu ini dimuatkan dalam album kompilasi Jelita.[24] Album kompilasi sulungnya, Hanya Satu dikeluarkan pada September 1998, memuatkan beberapa lagu popular beliau serta lima lagu baru.[25] Beliau yang juga berkhidmat sebagai penerbit album bersama suaminya, turut merakamkan sebuah lagu berbahasa Inggeris bertajuk "You Can Run Away".[26] Hanya Satu menjadi album terakhir Nora bersama Warner Music. Tidak lama kemudian, Nora, bersama artis Hong Kong, Jack Wu dan bintang dari Singapura, Ann Kok menjadi tiga artis Asia yang dijemput oleh Suruhanjaya Pelancongan Australia (ATC) untuk mempromosikan pasaran pelancongan remaja di negara berkenaan.[27] Beliau kemudian menandatangani kontrak rakaman bersama BMG Music Malaysia dan seterusnya muncul bersama album keempatnya, Kirana yang merupakan album pertamanya bersama BMG. Dikeluarkan pada September 2000, antara single yang dikeluarkan untuk album ini termasuk "Materialistik", "Menyemai Cinta Bersamamu" dan "Desa Tercinta".[28][29][30] Beliau bagaimanapun, meninggalkan BMG Music selepas hanya terbitkan satu album. Pada Oktober 2000, Nora mencipta sejarah peribadi apabila telah berjaya menduduki carta teratas Top 10 Broadband Talent Net (BTN) Global Chart. Carta ini menampilkan artis yang berdaftar dengan BTN dari seluruh dunia. Turut menduduki carta itu ialah Too Phat.[31] Nora beralih ke syarikat rakaman Jam Records dan Pony Canyon, seterusnya merakamkan album kelimanya, Nora Nora. Album yang dikeluarkan pada Ogos 2002 ini mempertaruhkan single pertama, "Mata" dan single kedua, "Kau Tak Pernah Jauh". "Mata" menampilkan vokal latar oleh Adibah Noor. Penyanyi dan komposer Indonesia, Melly Goeslaw menyumbangkan lagu bertajuk "Terhitung Hari Ini".[32][33] Bersempena dengan ulang tahun ke-9 lagu "Di Persimpangan Dilema" nyanyiannya, pada 2003, Nora berduet bersama juara Akademi Fantasia musim pertama, Vince Chong, merakamkan semula lagu itu dengan tajuk "Dilema '03" yang diberikan susunan muzik baru. Ini kemudian diikuti oleh pelancaran album kompilasi Cinta Satu Dekad.[34][35] Pada Mei 2005, Nora ialah salah seorang daripada penyanyi yang mengambil bahagian dalam pertandingan nyanyian Mentor musim pertama yang mana beliau ialah mentor kepada Nabil Zamanhuri.[36][37] Pada tahun 2006, Nora melancarkan satu lagi album kompilasi yang bertajuk Samudera yang mengandungi beberapa lagu lama beliau serta tiga lagu baru, iaitu "Samudera", "Secebis Harapan" dan "Rela Berpisah".[38] "Samudera" hasil nukilan Johan Nawawi dengan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya telah memenangi kategori Etnik Kreatif di Anugerah Juara Lagu ke-22.[39] Beliau melancarkan single bertajuk "Cinta Sebenarnya" pada 2009. Pada 11 Februari 2012, Nora dan suaminya, Johan Nawawi menerbitkan siri animasi 26 episod bertajuk Ummi... Ceritalah Pada Kami. Animasi ini diterbitkan syarikat penerbitan milik Nora dan suaminya, iaitu Hud Hud Media dan Johan Nawawi Sdn. Bhd setelah mendapat dana daripada Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC). Penerbitannya dalam format 3D itu dihasilkan pada kualiti yang tinggi bagi mencapai standard animasi antarabangsa. Suara Nora sebagai Ummi bersama anggota kumpulan Voices of Ummi yang lain termasuk dua anaknya iaitu Alif Johan dan Putri Dahlia serta Aiman Abbas, Hana Hamdan dan Jihad Hamdan.[40] Album keenam beliau, Hikmah dikeluarkan pada Jun 2012 di bawah label milik suaminya, Johan Nawawi Sdn. Bhd. Ini menjadi album studio pertamanya dalam tempoh 10 tahun sejak Nora Nora sekaligus menjadi album keagamaan pertamanya.[41] Pada Oktober 2016, beliau menjadi salah seorang daripada peserta Gegar Vaganza musim ketiga selepas menerima tawaran daripada Astro untuk menyertai rancangan itu. Beliau tersingkir di konsert minggu ketujuh.[42][43] Nora bersama-sama dengan Ella, Aishah, Noraniza Idris dan penyanyi Indonesia, Yuka Kharisma dan Elda Susanti membuat persembahan di konsert Voices of Ladies anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berlangsung di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur pada 11 Ogos 2018.[44] Gegar Vaganza 2016
BakatProfil vokal
Kehidupan peribadiBeliau berkahwin dengan komposer terkenal, Johan Nawawi dari 1992 hingga 2017, mereka dikurniakan empat anak, dua anak lelaki dan dua anak perempuan. Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.[45][46] Anak keduanya, Muhammad Syakir Alif meninggal dunia pada 14 Disember 2019 pada usia 20 tahun akibat satu penyakit yang tidak diketahui.[47][48] Beliau berkahwin kali kedua dengan pensyarah kanan Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr. Rushdi Ramli yang juga rakan karib suami Nora, Johan Nawawi.[49] DiskografiAlbum studioAlbum kompilasi
Single
FilemografiDrama
Anugerah dan pencalonan
PenghargaanPada 1 Februari 2021, Nora bersama-sama dengan penulis lirik, Habsah Hassan dan bekas ahli kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim merupakan antara 335 penerima Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang Wilayah Persekutuan, Panglima Mahkota Wilayah (PMW) oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan, yang membawa gelaran Datuk.[51][52][53][54]
Rujukan
Pautan luar |