Vasopresin manusia, juga dipanggil hormon antidiuretik (ADH), vasopresinarginina (AVP) atau argipresin,[4] ialah hormon yang disintesis daripada gen AVP sebagai prohormonpeptida dalam neuron di hipotalamus otak,[5] dan ditukar kepada AVP. Ia kemudian bergerak ke bawah akson yang berakhir di pituitari posterior, dan dilepaskan daripada vesikel ke dalam peredaran sebagai tindak balas kepada hipertonisiti cecair luar sel (hiperosmolaliti). AVP mempunyai dua fungsi utama. Pertama, ia meningkatkan jumlah air tanpa zat terlarut yang diserap kembali ke dalam sistem peredaran daripada turasan dalam tubul ginjal di nefron. Kedua, AVP menyempitkan arteriol lalu meningkatkan rintangan vaskular periferi dan meningkatkan tekanan darah arteri.[6][7][8]
Fungsi ketiga adalah mungkin. Sesetengah AVP mungkin dilepaskan terus ke otak dari hipotalamus, dan mungkin memainkan peranan penting dalam tingkah laku sosial, motivasi seksual dan hubungan pasangan, dan tindak balas ibu terhadap tekanan. [9]
Vasopressin mendorong pembezaan sel asas menjadi kardiomiosit (sel otot jantung) dan menggalakkan homeostasis otot jantung.[10]
Ia mempunyai separuh hayat yang sangat singkat, antara 16 dan 24 minit.[8]
Fisiologi
Vasopresin ialah peptida dengan sembilan asid amino (nonapeptida). Jujukan asid amino vasopresin arginina ialah Cys-Tyr-Phe-Gln-Asn-Cys-Pro-Arg-Gly-NH2, dengan sisteina membentuk ikatan disulfida, dan glisina terminal C dimodifikasi menjadi amida primer.[11] Vasopresin lisina (lipresin) mempunyai lisine yang menggantikan arginina di asid amino kelapan, dan terdapat dalam khinzir dan beberapa haiwan berkaitan, manakala vasopresin arginina ditemui pada manusia..[12]
Struktur oksitosin sangat serupa dengan vasopresin: ia juga merupakan nonapeptida dengan ikatan disulfida, dan urutan asid aminonya berbeza pada dua kedudukan sahaja. Kedua-dua gen tersebut terletak pada kromosom yang sama, dipisahkan oleh jarak yang agak kecil, iaitu kurang daripada 15,000 bes dalam kebanyakan spesies. Sel neurorembesan magnoselular yang merembeskan vasopresin juga berkedudukan bersebelahan dengan neuron magnoselular yang merembeskan oksitosin, dan serupa dalam banyak aspek. Persamaan kedua-dua peptida boleh menyebabkan beberapa tindak balas bersilang: oksitosin mempunyai fungsi antidiuretik yang sedikit, dan tahap AVP yang tinggi boleh menyebabkan pengecutan rahim.[13][14]
^"Vasopressin and oxytocin gene expression in the human hypothalamus". Journal of Comparative Neurology. 337 (2): 295–306. 1993. doi:10.1002/cne.903370210. PMID8277003.
^Marieb E (2014). Anatomy & physiology. Glenview, IL: Pearson Education, Inc. ISBN978-0-321-86158-0.