Tuan HajiAhmad Nabil bin Ahmad (lahir 26 September 1983) ialah seorang pelawak, pengacara, pelakon, penyampai radio, penyanyi, pengarah dan penerbit Malaysia.[2][3]
Beliau mengacarakan rancangan hiburan MeleTOP (sejak 2012) dan Gegar Vaganza (sejak 2014) serta melibatkan diri dalam lakonan filem dan siri TV tempatan. Nabil juga boleh dikatakan sebagai pelawak berdiri yang paling popular di Malaysia. Beliau juga telah menubuhkan syarikat penerbitan sendiri yang bernama Nabil Kuman Productions dan kemudian menubuhkan KMN Production.[4]
Kehidupan awal
Nabil dilahirkan pada 26 September 1983 di sebuah kawasan perkampungan di Mambau, Negeri Sembilan, di mana beliau sekeluarga hidup serba kekurangan. Beliau ialah anak ketiga daripada tujuh beradik, bapanya, Ahmad Ismail ialah seorang pemandu lori dan ibunya, Rohaizah Abdul Latiff ialah seorang guru tadika bahasa Inggeris.
Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nabil membuat pelbagai pekerjaan demi kelangsungan hidup dan membantu ibu bapanya. Antara kerja dilakukannya ialah penghantar surat dan barangan di Seremban, menjual nasi lemak di Mambau, bekerja kilang di Rasah dan bengkel di Kayu Ara. Sepanjang lima tahun bekerja sebagai penghantar surat, pendapatan bulanannya ialah sebanyak RM600.[5]
Nabil juga pernah mewakili Negeri Sembilan dalam sukan papan luncur yang berlangsung pada 2004 di Pulau Pinang.[6]
Kerjaya
Pelawak berdiri
Beliau berhijrah ke Kuala Lumpur pada 2008 untuk memulakan kerjaya hiburan dan terpilih sebagai salah seorang peserta Raja Lawak musim kedua, yang turut disertai oleh Along Cham dan Azrul Zaidi.[7] Persembahan beliau berjaya menarik perhatian juri sekaligus dinobatkan sebagai juara.[8] Zaidi Mohamad, menulis untuk Berita Harian berpendapat bahawa Nabil dianggap sebagai "generasi pelapis pelawak" dan menyifatkan kehadirannya diasarakan amat tepat ketika negara ketandusan pelawak berbakat.[9]
Televisyen
Sejak 2012, beliau bersama bekas pengacara bersama, Neelofa menggalas tugas sebagai pengacara rancangan hiburan Astro Ria, MeleTOP.[10][11] Beliau menjadi pengacara HBO Sentral musim kedua pada 2015 menggantikan Lisa Surihani yang mengacarakan musim pertama.[12] Menurut Ketua Jualan dan Pemasaran Ahli Gabungan HBO Asia, Jacelyn Kek: "Kejayaan yang dicapainya berjaya mengangkat dirinya menjadi hos pelbagai program televisyen. Dia juga pelakon drama dan filem. Lantaran itu, kami berasakan Nabil amat sesuai untuk mengambil alih tempat Lisa (Surihani),".[13][14]
Melengkapkan portfolio kerjaya seni beliau, Nabil menggalas peranan sebagai penerbit rancangan televisyen sitkom Bas Stop. Ia merupakan sebuah sitkom yang mengetengahkan isu semasa berkaitan kehidupan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam. Setiap episod membawa mesej yang tersendiri dan disampaikan dalam suasana santai.[15][16][17]
Nabil telah dianugerahkan Hos/Penyampai Hiburan Terbak di Anugerah Kreatif Akademi Asia yang diadakan di Cannes, Perancis pada 15 Oktober 2018.[18]
Nabil muncul dengan siri animasi pendek, Lu Pikir La, Nabil yang berdurasi selama 4 minit, memulakan siaran pada 14 Oktober 2021. Untuk siri ini, beliau mendapat inspirasi daripada filem 1990, Mat Gelap karya Imuda. Beliau dipetik oleh Harian Metro sebagai berkata: "Saya membesar dalam era 90-an dan ketika itu, banyak siri-siri animasi popular antaranya Usop Sontorian dan Anak-anak Sidek. Saya yakin, ramai juga penonton di luar sana yang meminati siri-siri animasi berkenaan. Bagaimanapun, inspirasi utama saya adalah daripada filem lakonan Imuda berjudul Mat Gelap. Dalam filem itu, ada satu babak pendek memaparkan karakternya menjadi watak kartun. Dari situ, saya terfikir mungkin saya boleh terbitkan satu karya animasi mengenai diri saya dan mengimbau zaman kanak-kanak saya".[19]
Filem
Selepas Raja Lawak tamat, Nabil memulakan kerjaya lakonannya dalam filem sulungnya Sifu & Tongga pada awal tahun 2009, diikuti Lu Pikirlah Sendiri de Movie setahun berikutnya, sebuah filem separa autobiografi mengenai perjalanan dirinya ke arah keternamaan sebagai seniman.[20] Bagaimanapun, perihal ini dicemari oleh kenyataan Nabil sendiri yang mengeluarkan kenyataan negatif mengenai filem berkenaan sebaik sahaja menonton pratayangnya. Keluhnya, filem itu "tidak memenuhi piawaian yang saya kehendaki. Saya tak nampak graf ceritanya. Ke mana jalan ceritanya, saya langsung tak faham".[21] Tindakan beliau meluahkan kenyataan tersebut mengundang saman RM 2 juta dari syarikat penerbitan SDAF Pictures.[22]
Nabil berlakon bersama Johan As'ari dalam filem Bo-Peng (2016) arahan Helmi Yusof di mana beliau memegang watak Bo. Ia menjadi filem terakhirnya bersama syarikat penerbitan filem lain, beliau berkata dalam temuramah bersama Harian Metro: "Ini adalah filem terakhir lakonan saya untuk produksi orang lain. Akan ada filem yang saya terbitkan sendiri dan skripnya juga saya buat sendiri."[23][24]
Beliau menduduki kerusi pengarah menerusi telefilem komedi seram The Hantus arahan bersama Helmi dibintangi oleh Faizal Hussein, Alif Satar dan pelakon Singapura, Hannah Delisha yang mana beliau turut berkhidmat sebagai penulis skrip. Telefilem ini bersiaran di Astro First Eksklusif pada 15 Jun 2018.[25][26]
Beliau memulakan kerjayanya dalam bidang muzik apabila secara rasmi melancarkan single dan muzik video lagu, "Pening" di saluran YouTube Mixology Music pada 23 Januari 2019.[30][31][32]
Perniagaan
Nabil melengkapkan portfolio kerjayanya dengan membina empayar perniagaan sebagai jaminan masa depan. Beliau bersama rakan kongsi, Datuk Khairil Muzamil Abdul Rahman, menubuhkan syarikat penerbitan KMN Production Sdn Bhd pada hujung 2018.[33]
Kehidupan peribadi
Nabil berkahwin dengan bekas pramugari AirAsia, Nazirah Ayub pada 30 September 2011[34][35] dan dikurniakan tiga orang cahaya mata perempuan—Nayla Mikayla (lahir 2012),[36] Leyla Medyna (lahir 2015)[37] dan Mishall Imani (lahir 2019).[38] Beliau sebelum ini dilaporkan bakal menimang cahaya mata lelaki.[39]
Nabil sebelum ini pernah digosipkan bercinta dengan bekas pelakon, Irma Hasmie sekitar 2009.[40]
Bapanya, Ahmad Ismail, meninggal dunia pada 7 Oktober 2022 akibat komplikasi jantung pada usia 71 tahun di Hospital Serdang.[41]
Penerimaan umum
Jenama humor dan gaya komedi Nabil dilihat oleh masyarakat sebagai menghiburkan penonton di pentas rancangan realiti yang mengumpulkan penyanyi berpengalaman dan mengalihkan perhatian penonton dengan jenaka spontan yang berada di sekeliling pentas.[42] Nabil menyifatkan bahawa "setiap tindakan yang dilakukan ada kesannya".[43]
Kontroversi
Nabil turut berdepan dengan kritikan dan kontroversi sepanjang kerjayanya sebagai pelawak. Semasa menjayakan Muzikal Lawak Superstar pada 12 Julai 2019, Nabil dikritik banyak pihak akibat tindakannya mencampakkan tanjak yang dipakai ke atas lantai pentas. Perbuatan beliau telah mendapat teguran dari Balai Adat Tok Cindai yang mewakili seluruh pengamal dan pendiri budaya bangsa. Tok Cindai menyifatkan perbuatannya yang dengan sengaja mencampak tanjak ke lantai membawa erti menjatuhkan maruah keseluruhan bangsa Melayu kerana tanjak adalah pemakaian yang paling teratas dalam adat Melayu. Nabil membuat permohonan maaf menerusi video pendek yang dimuat naik di akaun Instagramnya dan tidak berniat untuk memperlekehkan adat pemakaian busana Melayu.[44] Beliau turut dikritik kerana menjadikan penyanyi Alyah sebagai bahan jenaka di pentas konsert Gegar Vaganzamusim ke-7. Beliau telah memohon maaf secara terbuka di hadapan Alyah ekoran tindakannya yang sering mengusik beliau dan Ramli M. S.. Alyah dilaporkan berkata tidak pernah berkecil hati dengan sikap Nabil dan pengacara bersama, Jihan Muse. Tidak cukup dengan itu, Nabil juga telah menyindir Azwan Ali ketika Gegar Vaganza sedang berlangsung kerana sudah lama beliau tidak pegang mikrofon dan pegang 'selfie stick'. Sindiran tersebut telah mendapat kecaman lalu Azwan telah memaafkan Nabil Ahmad dan berharap dia tidak akan mengulanginya lagi.[45]