Shahmira Muhammad (lahir 12 September 1984) atau lebih dikenali sebagai Shuib merupakan seorang pelawak, pelakon, pengacara, penyanyi, penyampai radio dan usahawan Malaysia.[1] Beliau merupakan anggota kumpulan Sepah yang telah menjadi juara rancangan realiti Raja Lawak musim 3 pada tahun 2009 dan juga Maharaja Lawak pada tahun 2011.
Kehidupan awal
Shuib dilahirkan pada 12 September 1984 di Johor Bahru, Johor dan dibesarkan di Kuala Kurau, Perak. Beliau ialah anak tunggal kepada pasangan Muhammad Arshad dan Salamiah Jalani. Selepas tamat Tingkatan 5 dan memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Shuib bekerja di syarikat perkilangan yang menghasilkan produk elektronik, tisu dan kayu dan menjana pendapatan sebanyak RM1,200 setiap bulan.[2]
Kerjaya
Shuib memulakan kerjaya lawak sebagai salah seorang peserta Raja Lawak musim ketiga bersama bekas kumpulannya, Sepah yang turut dianggotai oleh Jep dan Mamat yang mana mereka dinobatkan sebagai juara. Sepah bagaimanapun dibubarkan, Shuib dan Jep menarik diri daripada Sepah. Shuib dan Jep kemudian menubuhkan kumpulan baru yang diberi nama Sepahtu.
Kerjaya radio Shuib bermula pada 2015 apabila beliau bersama Jep dan Rahim R2 menjadi penyampai radio Sinar menerusi segmen Sepahtu Sinar. Beliau bagaimanapun, mengundurkan diri dari Sinar hanya selepas 2 tahun berkhidmat.[3][4]
Di luar kerjaya hiburan, Shuib berkecimpung dalam bidang perniagaan apabila beliau bersama isterinya, Siti Sarah dan rakan kongsi mereka menubuhkan rangkaian teh susu berasaskan madu lebah, Bubblebee yang mula beroperasi pada 2019 yang mana beliau dan isterinya berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah.[5]
Beliau juga berbakat dalam bidang muzik, berduet bersama isterinya, menerusi lagu "Semakin Benci Semakin Cinta" hasil nukilan Ajai, ia dikeluarkan pada Jun 2021.[6]
Beliau kini dalam pengunduran selama tidak terbatas dalam dunia hiburan susulan kematian isterinya.
Kehidupan peribadi
Beliau berkahwin dengan penyanyi Siti Sarah pada 26 Februari 2011.[7] Pasangan ini dikurniakan empat anak. Pada 26 Februari 2017, Shuib dan Siti Sarah bersanding sempena ulang tahun ke-6 perkahwinan mereka.[8] Siti Sarah, bagaimanapun, meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan COVID-19 di HUKM.
Pada 23 Jun 2023, Shuib selamat melangsungkan perkahwinan kedua bersama Watie Hanifiah. Pasangan ini dinikahkan oleh abang pengantin perempuan iaitu Qadhaffi Hanifiah di Putra Glass House, Putra Heights dan disaksikan Penolong Pendaftar Pernikahan Masjid Hidayatul Muttaqin, Kampung Bukit Lanchong Encik Zubairi Ghazal.[10]