Nama ini merupakan gabungan nama dalam bahasa Melayu dan Inggeris di mana nama yang diberikan ialah Hannah Adlina dan nama keluarganya ialah Blackburne Birch.
Hannah Adlina Blackburne Birch atau lebih dikenali sebagai Hannah Delisha (lahir 27 Oktober 1996)[1] ialah seorang pelakon, penyanyi, model dan pengacara Singapura.[2][3] Beliau memulakan kerjayanya sebagai ahli kumpulan Delisha, seterusnya muncul dalam beberapa drama televisyen terbitan MediaCorp Suria. Beliau mula mencipta nama di Malaysia menerusi drama adaptasi novel popular Mencintaimu Mr. Photographer.
Kehidupan Awal
Hannah dilahirkan pada 27 Oktober 1996 sebagai Hannah Adlina Blackburne Birch.[4] Beliau ialah anak kepada pasangan Peter Blackburne Birch yang berasal dari England dan Noor Ashikin Ahmad yang berasal dari Singapura. Ibunya ialah seorang penyanyi era 1980-an.[5][6]
Kerjaya
Kerjaya Awal (2014–2017)
Hannah merupakan bekas ahli kumpulan duo Delisha, yang dianggotai beliau sendiri dan Mia Delisha.[7] Mereka menghasilkan lagu yang berjudul "Retak" dan selepas menjadi penyanyi solo pada tahun 2015, beliau menghasilkan single pertamanya yang berjudul "Anugerah". "Anugerah" merupakan lagu ciptaan Akir dan Frozen dari kumpulan Hyper Act. Pada tahun 2017, beliau kemudiannya menghasilkan single keduanya, "Esok Masih Ada" yang juga merupakan lagu ciptaan Akir dan Frozen daripada kumpulan Hyper Act. Pada tahun 2018, beliau menghasilkan single ketiganya, "Tak Perlu Kata Apa-Apa".
Selain berkemampuan menyanyikan lagu Melayu, Hannah juga boleh menguasai lebih sepuluh lagu pelbagai bahasa. Antaranya lagu Hindi, Jepun, Arab, Sepanyol dan Cina yang dipelajarinya secara berperingkat-peringkat hasil tunjuk ajar daripada ibunya sendiri, penyanyi zaman 80-an, Noor Ashikin Ahmad yang mesra dikenali sebagai 'Kakcik Wujud' kerana beliau dikenali dengan menghasilkan beberapa CD dan DVD ekspedisi realiti paranormal dengan anggota-anggota krew Wujud.
Hannah juga pernah muncul dalam drama-drama di saluran Mediacorp Suria seperti Farhana, Kemelut, Kathy Gerenti dan Bingit yang mana lakonan dalam Farhana merupakan kali pertama beliau berlakon di kaca televisyen.[8] Pada tahun 2017, beliau memenangi anugerah Personaliti Wanita Paling Popular di Pesta Perdana Singapura ke-14 di mana beliau menewaskan pelakon-pelakon wanita yang lain dalam kategori yang sama seperti Nurul Aini, Izyan Mellyna, Lydia Asyiqin dan Sheryn Aisiqa meskipun beliau berada dalam bidang lakonan tempatan Melayu Singapura dalam tempoh yang pendek iaitu setahun lebih. Kemenangannya dalam kategori itu juga membuatkan beliau antara pemenang paling muda untuk memenangi anugerah dalam kategori itu pada usia 20 tahun.
Selepas pengambaran Mencintaimu Mr Photographer, Hannah dan Syafiq sekali lagi digandingkan dalam sebuah filem seram/ romantik Langsuir arahan Osman Ali.[11]
Pada tahun 2018, Hannah berlakon bersama Hisyam Hamid dalam drama Alamatnya Cinta adaptasi dari drama popular dari Korea Selatan, Full House yang bersiaran di Astro Ria. Pada tahun yang sama, Hannah berlakon bersama Aiman Hakim Ridza dalam drama Aku Cinta Dia yang bersiaran di TV3.
Pada tahun 2019, Hannah berlakon bersama Shukri Yahaya dalam drama 30 Pesanan Suara. Drama ini bersiaran di Slot AkasiaTV3 bermula 6 Mei 2019 dan tamat pada 4 Jun 2019, disiarkan setiap hari sepanjang Ramadan.
Pada tahun 2021, Hannah berlakon bersama suaminya sendiri, Imam Shah dalam drama Kisah Rumah Tangga. Drama ini bersiaran di Astro Ria pada bulan Ramadan. Pada tahun yang sama, Hannah berlakon bersama Aiman Hakim Ridza dalam drama 28 Hari Mencari Cinta yang bersiaran di TV3.
Hannah membintangi watak Nur Aleya bersama Shukri Yahaya di dalam drama yang diadaptasi daripada novel popular Andai Itu Takdirnya karya Siti Rosmizah Semail pada tahun 2023 arahan Jamal Khan. Hannah akui drama yang mempunyai 64 episod itu adalah cabaran terbesar buat dirinya kerana memerlukan dia menangis dan bermain dengan emosi hampir setiap episod.[14]
Selepas mendapat respon dan resepsi yang positiv dalam drama Andai Itu Takdirnya, Hannah ditawarkan untuk membintangi watak Sharifah Batrisya dalam sebuah drama terbitan TV3 bertajuk Lelaki Itu, arahan Along Kamaludin dan Nur Ain Sharif. Ia juga dibintangi oleh Dato' Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Nabila Huda dan Nur Fazura.
Drama Lelaki Itu menutup tirai dengan episod terakhirnya yang disiarkan pada 29 April 2024 berjaya mencuri tumpuan penonton sejak awal ia ditayangkan dan berjaya mewujudkan fenomenanya yang tersendiri.[15]
Penerbit Erma Fatima yang sudah berkecimpung dalam industri selama 37 tahun menyifatkan
Hannah Delisha dan Aedy Ashraf sebagai contoh kepada pelakon pelapis dan memuji lakonan hebat mereka menerusi drama rantaian 30 episod itu. Katanya, selain mempunyai rupa paras yang cantik, kedua-dua pasangan pelakon ini harus dipuji kerana lakonan hebat yang ditunjukkan mereka.[16]
“Aedy Ashraf dan Hannah Delisha, anda tengok lah lakonan dia. Hebat gila! Susah tau saya nak puji orang. Saya sampai menangis masa proses penyuntingan. Sebab lakonan mereka sampai. Inilah dia contoh new generations yang bukan sahaja popular, ada ramai followers tetapi lakonannya bagus. Mereka berdua punya kualiti tu memang hebat."
Pada Oktober 2024, Hannah berganding pertama kali bersama pelakon Redza Rosli dalam drama bersiri terbaru adaptasi novel karya Rinsya Chasiani, Di Hatiku Ada Kamu.[17]
Program Realiti Nyanyian
Pada tahun 2022, Hannah menyertai sebuah rancangan realiti muzik misteri Malaysia The Masked Singer Malaysia musim ke 2 sebagai maskot Burung Hantu yang disiarkan di Astro Warna. Hannah berjaya ke peringkat akhir bersama empat lagi finalis iaitu Shila Amzah, Liza Hanim, Amir Masdi dan Ara Johari. Beliau berjaya berada di tempat ke-empat dalam pertandingan itu.[18]
Kehidupan Peribadi
Pada tahun 2020, Hannah mula memakai tudung dan berkongsi berita penghijrahan dalam laman sosial Instagram miliknya.[19]
Beliau berkahwin dengan pelakon, Imam Shah pada 18 Februari 2021 setelah 5 tahun mereka menjalin hubungan bersama dalam majlis perkahwinan persendirian di Fullerton Hotel Singapore.[20][21]