Pilihan raya negeri Johor 2018 telah diadakan pada 9 Mei 2018. Pilihan raya negeri sebelum ini telah diadakan pada 5 Mei 2013. Ahli Dewan Negeri Johor dipilih setiap 5 tahun bagi satu-satu penggal.
Dewan Negeri Johor akan terbubar secara automatik pada 20 Jun 2018, pada ulang tahun ke-5 persidangannya yang pertama, pilihan raya mesti dibuat dalam tempoh enam puluh hari (dua bulan) selepas pembubaran (pada atau sebelum 20 Ogos 2018, dengan tarikh perlulah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia), kecuali ia dibubarkan sebelum tarikh berkenaan oleh ketua negeri, Sultan Johor atas nasihat ketua kerajaan negeri, Menteri Besar Johor.
Barisan Nasional telah diketuai oleh Pengerusi Badan Penyelaras Barisan Nasional Johor, Dato' Mohamed Khaled Nordin,[2] sementara Pakatan Harapan pula diketuai oleh Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin,[3] manakala bagi Parti Islam Se-Malaysia pula, diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin.
Dato' Mohamed Khaled Nordin telah mempersoalkan kewajaran untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding di kerusi pilihan raya negeri kerana beliau telah lama meninggalkan pilihan raya di peringkat Dewan Negeri Johor selepas memenangi kerusi Bukit Serampang dan menjadi Menteri Besar Johor yang ke-13 dari tahun 1986 hingga tahun 1995 lalu.
Khaled juga mempersoalkan samaada ia sebagai langkah bagi Pakatan Harapan menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Besar Johor sekiranya Pakatan Harapan yang memenangi pilihan raya negeri tersebut.[4]
Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun telah menyangkal dakwaan tersebut dan menyatakan untuk mencalonkan orang baharu sebagai calon Menteri Besar Johor yang baharu.[5]
Pada pilihan raya negeri Johor kali ini telah menyaksikan Dato' Mohamed Khaled Nordin dan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bertanding di kerusi Parlimen juga, manakala Ustaz Abdullah Husin hanya bertanding mempertahankan kerusi Dewan Negeri Johor untuk Puteri Wangsa yang telah dimenangi beliau pada pilihan raya lepas.
Pada Pilihan raya umum Malaysia 2018, menyaksikan 36 kerusi kerajaan dan 20 kerusi bukan kerajaan diisi dalam Dewan Negeri Johor. Di pihak kerajaan, terdapat 12 kerusi selamat dan 7 kerusi agak selamat, manakala bagi bukan kerajaan pula terdapat 4 kerusi selamat dan terdapat 3 kerusi agak selamat.