Klang ( Jawi: کلڠ) dahulunya dikenali sebagai Kelang merupakan Bandaraya DiRaja, bandar terbesar Selangor, bandar sekolah menengah persendirian dan sebuah daerah di Negeri Selangor Darul Ehsan, Malaysia. Bandar ini pernah menjadi ibu negeri Selangor sebelum wujudnya Kuala Lumpur dan Shah Alam. Ia terletak kira-kira 32 km di barat Kuala Lumpur dan merupakan bandar ketiga terbesar di Selangor.
Klang bersempadan dengan daerah Petaling di sebelah timur, daerah Kuala Langat di sebelah selatan manakala Kuala Selangor di sebelah utaranya. Di sebelah baratnya pula merupakan Selat Melaka.
Bilangan sekolah menengah Cina persendirian paling banyak turut terletak di Klang. Terdapat 4 buah sekolah persendirian didirikan di Klang ini. Komuter Malaysia juga yang pertama sekali tiba di Klang dan di seluruh Malaysia.
Asal-usul nama Klang اصل-اصول نام كلاڠ
Terdapat banyak versi tentang asal usul nama Klang diantaranya:
Sejarah penubuhan Klang dipercayai lebih awal dari sejarah penubuhan Melaka. Klang dipercayai adalah sebahagian dari jajahan takhluk kerajaan Srivijaya dan Majapahit. Perkataan Klang dipercayai berasal dari perkataan bahasa Asli, rumpun bahasa Mon-Khmer atau bahasa Austro-Asia iaitu "Klong".[2] Klong boleh diertikan sebagai gudang seperti mana yang dikemukakan oleh C.O. Blagden yang menyatakan Klang menjadi sebuah Pelabuhan terpenting yang mempunyai banyak gudang-gudang. Charles A. Fishr pula berpendapat "Klang" itu bermaksud "terusan" atau jalan air. Pendapat ini dipersetujui di mana Klang mempunyai banyak jalan air iaitu anak-anak sungai seperti Sg. Klang, Sg. Bertek, Sg. Pinang, Sg. Sementa, Sg Kapar Indah, Sg. Agas, Sg. Kandis, Sg. Binjai, Sg. Kapar, Sg. Jati, Sg. Aur, Sg. Rasau dan Sg. Putus. Nama sungai ini terus kekal sehingga ke hari ini. Klang menjadi penting hanya selepas Kuala Selangor merosot khususnya selepas kemangkatan Sultan Muhammad (1826-1857). Sehinggalah pada tahun 1875, Klang di pilih sebagai ibu kota Negeri Selangor sebelum ditukar kepada Kuala Lumpur pada 1880. Pada tahun 1886, Klang merupakan sebuah tempat yang cantik dan bersih.[3]
Bandar Klang mendapat namanya dari istilah bahasa Langkasuka iaitu "klang" yang bererti 'tempat yang terletak di tengah-tengah’. Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, Sultan Kedah yang bernama Sultan Mahmud Shah II, Kedah (1506-1546) iaitu Sultan Kedah yang ke-10, baginda mula menerbitkan matawang baru yang diberi nama Tera, Pitis, Kupang (Kepeng), Jempal dan Rial. Baginda dari Kota Siputih (kini Kota Seputeh) telah melakukan kunjung hormat ke istana Melaka yang waktu itu yang diperintah oleh Sultan Mahmud Shah (1488-1511). Di tengah perjalanan, baginda telah menemui sebuah pelabuhan yang terletak di antara negeri Kedah dan Melaka. Pelabuhan tersebut dipanggil sebagai Klang. Nama tersebut kekal digunakan hingga ke hari ini.
Sejarah
Siasatan arkeologi pada abad ke-20 menemui tiga buah genta purba serupa yang ditemukan dalam tapak arkeologi budaya Dong Son di Vietnam, dan bertarikh sekitar abad ketiga SM. Selain itu, tinggalan perkakasan besi purba juga ditemui di kawasan Klang. Walaupun begitu, sejarah terperinci masyarakat purba di Klang tidak dapat diperincikan dengan lengkap berikutan kekurangan bukti.[4]
Tempat-tempat menarik di bandar ini ialah Istana Alam Shah, Tugu Kris (Jalan Tengku Kelana berhampiran bulatan simpang lima), Masjid Sultan Sulaiman (bersebelahan Istana Negeri), Stesen Keretapi Klang, Jalan Tengku Kelana (Little India), Taman Pengkalan Batu (Taman Persisiran Sungai), Kota Raja Mahadi, Gedung raja Abdullah(muzium), Bangunan Sultan Sulaiman, Masjid India Muslim, Tokong Qin Liang, Kuil Sri Sundaraja Perumal, Tokong Kwan Yin, Pelabuhan Klang, Kelab Kapal Layar Diraja Selangor, Taman Burung Unta, Pulau Carey, Pulau Ketam dan juga Tokong Dong Zen. Kawasan perumahan utama yang menjadi tumpuan kegiatan ekonomi adalah Bandar Bukit Tinggi, Taman Sri Andalas, Bandar Botanic, Aman Perdana, Canary Garden (hampir siap), One Kesas (dalam pembinaan), Sazean Business Park (dalam pembinaan), Gravit8 (dalam pembinaan) dan Bukit Raja. Tanjung Harapan tempat paling popular untuk menikmati keindahan laut serta makanan laut.
Politik
Senarai Wakil Rakyat di dalam daerah Klang, Selangor.
Berikut adalah statistik bancian penduduk Klang. Jumlah dari tahun 1957 dan 1970 diambil sebelum Klang diseragamkan dan status Bumiputera digunakan sebagai satu kategori. Jumlah dari tahun 2010 pula diambil dari Majlis Perbandaran Klang.
Terdapat beberapa kumpulan geng jenayah yang beroperasi di Klang.[7][8] Contohnya dalam kalangan masyarakat Cina, terdapat kumpulan geng Ang Bin Hoey dari Gang 21 yang beroperasi di Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Terdapat juga Gang 24, Geng 36 dan lain-lain.[9]
Jambatan Ketiga Klang bernilai RM199 juta dan dibuka pada bulan Mei 2017, dan melengkapkan dua jambatan lain yang terdapat di Klang yang menghubungkan Klang Utara dan Klang Selatan.[10] Menjelang Ogos tahun 2020, Klang juga akan dihubungkan dengan landasan kereta api LRT 3 yang bernilai RM 9 bilion.
Tempat makanan yang terkenal di Klang adalah "Emporium Makan". Ia terletak di tengah-tengah pusat bandar, bertentangan dengan Pasar Jawa dan bersebelahan Jambatan Kota. Salah satu gerai popular "Emporium Makan" adalah "Lontong Klang". Ia menyajikan hidangan yang tidak dapat dilupakan seperti lontong dan nasi lemak sambal sotong. Tempat ini dikunjungi oleh semua kaum, Melayu, Cina dan India, dan masih dibuka sehingga kini.
Makanan India
Klang tidak lengkap tanpa restoran India kerana Klang mempunyai salah satu restoran India terbaik di negeri ini. Nasi daun pisang, ayam, kambing, Nasi Briyani, Ayam Tandoori, Idiyappam, Idli adalah sebahagian makanan yang boleh didapati pada waktu tengah hari dan malam di Klang.
Makanan Cina
Klang terkenal dengan Bak Kut Teh (Bahasa Cina Pinyin: Ròu Gŭ Chá), iaitu sup herba yang menggunakan tulang rusuk babi dan tenderloin. Hidangan ini dianggap berasal dari Klang.[12] Bak Kut Teh terkenal di pelbagai lokasi termasuk Taman Intan (sebelum ini dikenali sebagai Taman Rashna), Teluk Pulai, Jalan Kereta Api dan Pandamaran.
Terdapat pelbagai makanan di Klang yang menyajikan masakan tempatan. Di Taman Eng Ann, terdapat pelbagai makanan ringan seperti adalah Chee Cheong Fun, Yong Tau Foo, Popia, minuman herbal Lin Zhi Kang, termasuk rojak dan cendol.