Seri Kembangan tertubuh sebagai Kampung Baru Serdang pada tahun 1952 apabila pihak British memindahkan penduduk kampung berketurunan Cina sekitar Sungai Besi ke satu lokasi tertumpu disebabkan ancaman Komunis semasa Darurat Tanah Melayu sebagai sebahagian daripada Rancangan Briggs.
Pada mulanya, kampung ini hanya memiliki 50 rumah dan ke semuanya dibina dengan tangan kerana pihak British hanya menyediakan tanah kosong. Kawasan ini berdekatan dengan estet pokok getah dan hutan di mana bahaya boleh datang tanpa diduga. Kebanyakkan penduduk di sini merupakan orang yang bergaji rendah dan bekerja di lombong atau sebagai penoreh getah.[2]
Pada tahun 1980-an Seri Kembangan mula membina nama apabila menjadi pusat industri kasut terbesar di negara ini. Lebih 60 peratus pengeluaran kasut kulit berjenama terkemuka di negara ini dibuat di lebih 200 kilang kasut di Seri Kembangan. Bagaimanapun, industri itu mula merosot pada tahun 1990-an, hingga kini hanya tinggal kurang 50 kilang pembuatan kasut di Seri Kembangan. Pengusaha tempatan tidak dapat bersaing dengan kasut import dari negara China yang lebih murah harganya.[3]
Selepas Sukan Komanwel 1998, lebih banyak pembangunan telah diadakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini telah mentransformasikan bandar yang dahulunya tidak dikenali sebagai satu hab perniagaan yang terunggul di Selangor.
Cuaca
Dilindungi oleh Banjaran Titiwangsa di bahagian timur dan Pulau Sumatera di barat, Seri Kembangan mempunyai iklim hutan hujan tropika (Pengelasan Iklim KöppenAf) iaitu panas dan lembab, terutamanya ketika musim Monsun Timur Laut dari Oktober ke Mac. Suhu di Seri Kembangan dijangka tetap sepanjang tahun. Suhu maksimum berukuran di antara 31 hingga 33 darjah Celcius namun begitu suhu di sini belum pernah mencecah lebih daripada 39 darjah Celcius, manakala suhu minimum dapat menjangkau di antara 22 hingga 24 darjah Celcius dan tidak pernah jatuh sehingga bawah daripada 14 darjah Celcius. Secara normal, Seri Kembangan menerima sebanyak 2,600 m (100 inci) hujan setahun di mana bulan Jun dan Julai selalunya paling kering.
Data iklim untuk Subang Jaya (Jarak kira-kira 5 km dari Seri Kembangan)
Terdapat pelbagai kemudahan awam yang ada di sini. Antaranya ialah melalui bas Rapid KL di mana bas ini juga berhenti di Stesen Komuter Serdang. Menaiki bas adalah bagus untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas yang seri berlaku ketika waktu puncak.[6] Pembinaan lebuh raya dapat mempercepatkan pejalanan ke sini di samping dapat menghubungkan ke bandar-bandar lain seperti Puchong, Kajang dan Putrajaya. Kedudukannya ialah kira-kira 25 kilometer dari Kuala Lumpur manakala perjalanan dengan menggunakan komuter KTM dari Stesen Kereta Api Serdang ke Stesen Kereta Api KL Sentral mengambil masa 30 minit dengan bayaran RM 1.80 bagi dewasa manakala kanak-kanak pula ialah 90 sen.