Panjang banjaran ini kira-kira 480 km manakala tingginya 700 meter hingga 2,100 meter dari aras laut, dengan Gunung Korbu di Perak sebagai kemuncak tertinggi.
Geografi
Banjaran Titiwangsa adalah sebahagian daripada sistem Perbukitan Tanah Seri yang meliputi selatan Myanmar, selatan Thailand dan Semenanjung Malaysia. Banjaran ini bertindak sebagai tulang belakang Semenanjung Malaysia yang memisahkan pantai barat dengan pantai timur Semenanjung, selain menjadi legeh bagi sungai-sungai utama di semenanjung Malaysia. Pola saliran atau cara cawangan-cawangan sungai dicantumkan dengan sungai utama ialah pola saliran reranting.
Banjaran gunung yang terpanjang di Malaysia ini menganjur dari selatan Thailand ke Negeri Sembilan, di mana Tampin merupakan titik penghujung keseluruhan jajaran utama banjaran itu secara geografi.[2][3] Singkapan batuan granit Titiwangsa berupa gugusan-gugusan inselberg (gunung atau bukit yang terpencil dari banjaran utama) seterusnya menganjur ke selatan hingga ke Pulau Besar, Melaka di perairan Selat Melaka.[4]
Pelancongan dan pertanian merupakan dua sektor ekonomi yang lazim giat dijalankan di sekitar banjaran ini, dengan tertubuhnya tiga buah pusat peranginan tanah tinggi utama iaitu Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan Bukit Fraser.
Di sini juga dijalankan penanaman tanaman hawa sederhana seperti teh, bunga-bungaan dan sayur-sayuran.
Galeri
Pemandangan sepanjang Banjaran Titiwangsa (utara ke selatan)