Tampin merupakan sebuah bandar yang terletak di antara sempadan Negeri Sembilan dan Melaka.
Tampin merupakan salah satu bandar yang unik di Malaysia dari segi lokasinya, di mana bandar ini terbahagi kepada Tampin, Negeri Sembilan dan Tampin, Melaka. Tampin di sebelah Negeri Sembilan merupakan pusat pentadbiran bagi daerah dengan nama yang sama. Sungguhpun begitu, Tampin, Melaka tidak wujud. Kawasan Tampin yang dikatakan dalam kawasan negeri Melaka sebenarnya Pulau Sebang di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Alor Gajah. Sempadan antara Negeri Sembilan dan Melaka melalui tengah-tengah bandar ini, ditandai oleh empat lampu isyarat. Tambahan lagi, bandar ini juga terletak di titik penghujung Banjaran Titiwangsa, iaitu banjaran gunung yang menjadi 'tulang belakang' Semenanjung Malaysia.
Asal-usul nama
Tampin mendapat namanya daripada sebuah bekas makanan yang dianyam daripada daun mengkuang. Biasanya diisi di dalam bekas tersebut adalah dodol.
Latar belakang
Tampin diperintah oleh Tunku Besar bermula dengan Syed Shaaban bin Syed Ibrahim Al-Qadri pada tahun 1832.
Tampin adalah pusat perdagangan dan perniagaan antara penduduk dari kawasan Rembau dan Gemencheh dengan penduduk dari Alor Gajah. Daerah Tampin terbahagi kepada 7 mukim dengan keluasan keseluruhan adalah 87,868.82 hektar.
Orang tua-tua menyebut orang yang mula-mula meneroka Tampin ialah sepasukan perompak laut seramai 70 orang yang diketuai oleh Panglima Hitam, suku Batu Hampar. Tempat yang bernama Keru dan Tebong di Tampin sekarang mula dibuka oleh seorang suku Mungkal yang datang dari Machap di Melaka. Tempat yang bernama Repah pula mula dibuka oleh orang suku Tiga Batu, tetapi cerita ini tidak mempunyai tarikh dan bukti yang nyata.
Pada 28 Januari1832, Datuk Undang Rembau bernama Datuk Nganit telah membuat surat perjanjian dengan orang Inggeris di Melaka. Beliau telah menyerahkan Tampin kepada Syed Shaaban, menantu Raja Ali. Syed Shaaban telah mangkat di Keru pada tahun 1850.
Pada tahun 1878, Datuk Haji Sahil iaitu Undang Rembau yang ke-15 telah menghantar angkatan perangnya untuk menyerang Tampin yang diperintah oleh Tunku Besar Tampin yang kedua, Syed Abdul Hamid bin Syed Shaaban. Angkatan perang Tengku Besar Tampin yang dipimpin oleh panglimanya yang bernama Memperang Khalifah telah melawan serangan dari Rembau dan berlakulah pertempuran di antara pihak Rembau dan pihak Tampin di tempat yang bernama Legong, menyebabkan banyak nyawa terkorban dan harta benda antara kedua-dua belah pihak. Akhirnya Rembau tidak dapat mengalahkan Tampin dan terpaksa berundur.[5]
Majlis Daerah Tampin telah ditubuhkan pada 1 Julai 1980, hasil daripada penyusunan semula pentadbiran melalui peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976. Sebelum itu, ia dikenali sebagai Lembaga Bandaran Tampin. Luas kawasan ialah 50 batu persegi atau 12,949 hektar.[6]
Stesen kereta api terdekat bagi bandar Tampin ialah Stesen Keretapi Pulau Sebang/Tampin di sebelah Melaka, terletak hanya 1 kilometer sahaja dari pusat bandar Tampin.
Daerah Tampin secara am mempunyai dua stesen kereta api iaitu di Gemas dan Air Kuning Selatan. Namun stesen Air Kuning Selatan telah ditutup. Projek landasan kereta api berkembar antara Seremban ke Gemas turut menggantikan Stesen Keretapi Batang Melaka yang sedia ada di lokasi yang baru. Stesen keretapi lama Batang Melaka yang pada asalnya terletak di bahagian kawasan Negeri Sembilan telah ditutup dengan rasminya, dan mulai bulan Februari 2015, Stesen Keretapi Batang Melaka yang baru telah mula beroperasi. Stesen Batang Melaka yang baru ini terletak di kawasan negeri Melaka.
Penduduk Melayu sebanyak 60.1 peratus, Cina 22.8 peratus, 14.1 peratus India, 0.2 peratus dan minoriti lain 2.8 peatus bukan warganegara.[8]
Seluruh daerah Tampin mempunyai penduduk seramai 84,889 penduduk tempatan (2010) dan bancian tersebut tidak termasuk kawasan Pulau Sebang/Tampin di bahagian negeri Melaka.
Pentadbiran
Daerah Tampin merangkumi 7 mukim . 5 mukim diselia oleh Pejabat Daerah Tampin dan 2 mukim lagi dibawah pentadbiran Pejabat Daerah Kecil Gemas. Kewujudan daerah kecil ini adalah untuk memudahkan orang awam yang berada di Mukim Gemas dan Ayer Kuning untuk berurusan
Pejabat Daerah Tampin & Tanah Tampin :
Mukim Tampin Tengah ( Bandar Tampin, Pekan Tampin Tengah, Mukim Tampin Tengah
Mukim Repah ( Mukim Repah, Pekan Repah Jaya, Pekan Repah Permai
Mukim Keru
Mukim Tebong
Mukim Gemencheh ( Mukim Gemencheh, Pekan Gememcheh Baru, Pekan Ayer Kuning Selatan )
Pejabat Daerah Kecil & Tanah Gemas
Mukim Gemas ( Bandar Gemas , Pekan Pasir Besar )
Mukim Ayer Kuning ( Mukim Ayer Kuning , Pekan Batang Melaka)
Pihak Berkuasa Tempatan
Majlis Daerah Tampin merupakan PBT yang bertanggungjawab. Kawasan yang dirangkumi ialah
Pada 13 September1832, Luak Tampin ditubuhkan. 1883 pemerintah Tampin digelar Tunku Besar Tampin. Tunku Besar Tampin bersama-sama Undang yang empat merupakan kerabat diraja Negeri Sembilan. Tunku Besar Tampin yang terkini ialah YTM Syed Razman bin Syed Idrus Al-Qadri, baginda ditabalkan menjadi pemerintah Tampin sejak 2005 hingga kini.
Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Tampin, 73000 Tampin Negeri Sembilan.
Tempat menarik
Dataran Tampin
Dataran ini terletak berhampiran dengan Kompleks Sukan Tampin dan menjadi salah sebuah lokasi tumpuan penduduk untuk melakukan aktiviti riadah pada hari biasa dan hujung minggu. Antara kemudahan yang ada ialah taman permainan kanak-kanak yang serba lengkap, trek berjogging, alatan senaman, objek-objek mercu tanda yang menarik dan pentas terbuka.[10]
Gunung Tampin
Gunung Tampin (764 m) merupakan pengakhiran kepada Banjaran Titiwangsa dari segi geografi. Laluan sedia ada ke puncak gunung dengan jarak kira-kira 5 km ini juga sering dijadikan trek berjogging dan beriadah oleh orang ramai pada sebelah petang dan cuti hujung minggu.[11]
Gunung Tampin juga adalah titik permulaan bagi laluan Trans-Naning yang berakhir di Gunung Datuk di utara.
Hentian Sebelah Tampin
Hentian Sebelah Tampin merupakan kawasan hentian berkonsepkan Rawat Dan Rehat (R&R). Terletak di pintu masuk utama ke daerah ini daripada utara semestinya lokasi yang strategik bagi membolehkan anda berhenti seketika sebelum meneruskan perjalanan. Antara kemudahan yang terdapat disini ialah gerai makanan, surau dan taman permainan kanak-kanak. Terletak di kaki Gunung Tampin.[12]
Taman Tasik Tampin terletak kira-kira 400 meter dari hentian sebelah Tampin. Dilengkapi dengan alatan permainan kanak-kanak, menara pandang jauh, wakaf, kerusi rehat dan trek berjogging. Antara lokasi yang boleh menjadi pilihan anda untuk beriadah bersama keluarga. Selain itu, gerai-gerai makanan juga terletak berdekatan dengan taman ini.[13]
Taman Rekreasi Tampin
Kedudukan lokasi taman ini begitu strategik iaitu terletak berdekatan dengan Hospital Daerah Tampin, McDonalds Tampin dan juga Kompleks Sukan Tampin. Keluasan kawasan Taman Rekreasi Tampin ini keseluruhannya berjumlah 9 ekar dimana 0.8 ekar adalah kawasan tasik sedia ada. Selain kehijauan alam semulajadinya, taman rekreasi ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti alat permainan kanak-kanak, gelanggang badminton, gelanggang tenis dan trek berjoging yang panjang. Kedudukannya yang strategik memberi peluang kepada orang ramai untuk mengunjunginya sambil beristirahat bersama keluarga.[14]