Bandar Taiping merupakan bandar warisan bagi daerah Larut, Matang dan Selama. Sebelum 1937, Taiping merupakan ibu negeri Perak. Nama lama Taiping ialah Klian Pauh. Klian bermaksud lombong. Pauh pula ialah sejenis buah mangga dengan ukuran yang bersaiz kecil .
Taiping juga merupakan sebuah pusat bandar lama di Malaysia seperti Pulau Pinang terletak ke utara bandaraya Ipoh. Taiping juga terletak di antara Ipoh dan Butterworth. Daerah Taiping juga berhubung hingga ke pekan Selama dan daerah Krian di Perak. Kereta api baharu Malaysia (ETS) juga menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam pantas ke Ipoh dan ke Kuala Lumpur
Sejarah
Taiping bermaksud "Aman" atau "Damai" atau maksud penuhnya "Keamanan yang abadi" dalam bahasa Cina. Tercetus dari pertelingkahan antara pertubuhan pelombong Cina[6] yang melakukan aktiviti perlombongan bijih timah di daerah Larut iaitu Ghee Hin dan Hai San, yang begitu ramai di Kelian Pauh ketika itu. Persatuan kongsi gelap dari dua puak ini telah bertelingkah kerana lombong bijih timah dan jalan air. Setelah mendapat kata sepakat untuk berdamai, Taiping telah dipilih sebagai nama baru bagi bandar di daerah Larut.
1880-an bandar Taiping telah dibangunkan oleh penjajah Inggeris kerana daerah ini kaya dengan sumber hasil bijih timahnya di sekitar Sungai Larut. Sebelum kedatangan British, daerah ini (pada masa dahulunya dikenali sebagai Jajahan Larut) telah ditadbir oleh Menteri Larut iaitu Dato' Long Jaafar yang telah diberi kuasa oleh Sultan Perak pada ketika dulu untuk mentadbir jajahan ini. Long Jaafar telah membina pusat pentadbirannya di Bukit Gantang dan menjadikan Kuala Sungai Limau di Trong sebagai pelabuhan utama Jajahan Larut.
1937 Taiping tidak lagi menjadi ibu negeri Perak. Ipoh dipilih sebagai ibu negeri kerana terletak di tengah-tengah negeri Perak.
Binaan dan Kemudahan
Taiping mempunyai hasil binaan dan kemudahan pertama di Malaysia. Malah, bandar ini sering diberi jolokan "yang pertama" di sidang penulisan bercetak [7]mahupun elektronik [8]. Diantara hasil binaan dan kemudahan yang pertama dibangunkan di Malaysia ialah:
Bangunan Telegraf di bandar ini dibina pada 1876 dengan satu talian telegraf sepanjang 43.2 km telah dipasang merentangi hutan dari kediaman Residen British di Kuala Kangsar sehingga bangunan pejabat pembantu Residen di Taiping. [9]
Bukit Larut atau Maxwell Hill, dibuka oleh Pembantu Residen British ketika itu, William Edward Maxwell pada tahun 1884 dan kawasan ini merupakan stesen perhentian di kawasan tinggi tertua di Malaysia. [10]
Hospital Taiping, dikenali sebelum sebagai Hospital Yeng Wah, terletak di Jalan Taming Sari, dibina pada tahun 1880. Hospital yang diiktiraf sebagai yang tertua di Malaysia mencatat sejarah kerana menjadi hospital pertama dilengkapi dengan kemudahan x-ray selepas beberapa bulan diperkenalkan kepada umum oleh penciptanya Prof. W.C Roentgen. [11]
Landasan kereta api yang menghubungkan diantara Taiping dengan Pelabuhan Kuala Sepetang (Port Weld) bermula dari tahun 1882 dan siap didalam tahun 1885, dengan nilai kos sebanyak ₤7000, yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Perak ketika itu. Landasan keretapi pertama ini dirasmikan oleh Residen Perak ketika itu, Sir Hugh Low. Tujuan pembinaan adalah sebagai kemudahan pengangkutan tenaga buruh lombong bijih timah dan sebagai medium pengangkutan untuk pengeluaran bijih timah dari Taiping untuk dieksport. [12]
Pada 1987, Pulau Kelumpang diisytiharkan kawasan bersejarah kerana terdapat artifak 1000 tahun. Artifak ini hasil ekskavasi Jabatan Muzium dan Arkib Negara. Pelbagai artifak purba ditemui. Antaranya tengkorak manusia, rangka manusia, kubur, periukbelanga, manik hiasan dan sebagainya. Semua bahan ini dipamerkan di Muzium Arkeologi Lenggong.
Kesan-kesan arkeologi Melayu Proto telah dijumpai di Kompartmen 11 seluas 10.3 hektar di Pulau Kelumpang dan mempunyai 5 buah pulau kecil seluas lebih kurang antara 1 hektar hingga 3 hektar. Tapak ini sungguh istimewa kerana merupakan satu-satunya tapak arkeologi Hutan Paya Laut yang wujud di Asia Tenggara.
Populasi
Mengikut bancian yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2010, taburan penduduk di bandar ini adalah seramai 212,562 orang. Taiping merupakan bandar yang majoriti penduduk terdiri daripada kaum Cina. Taiping merupakan bandar kedua selepas ibu negeri Ipoh yang diduduki oleh kaum Cina di negeri Perak. Pada 2018, pengundi Taiping terdiri daripada 46% Cina, 38% Melayu, 13% India, dan 3% etnik lain-lain. (ke-29).
Lokasi
Taiping terletak di koordinat 4.8° Utara dan 104.7° Timur.
Taiping terletak di atas muka bumi yang tinggi terutamanya di bahagian Bukit Larut. Gunung Hijau (1448 meter) adalah gunung tertinggi di sini. Bandar merupakan tempat paling kerap menerima hujan yang lebat, hampir 320 hari setahun. Lantaran itu muka buminya basah terutama di Taman Tasik Taiping. Hujan yang diterima ialah jenis hujan bukit iaitu dari Banjaran Bintang di sebelah Timur. Namun begitu Taiping tidaklah dilanda banjir kecuali kawasan paya bakau di sebelah Barat. terdapat juga sebuah sekolah berasrama penuh di sini.
Pentadbiran
Daerah Larut, Matang dan Selama ditadbir dan diurus oleh 2 pihak berkuasa tempatan iaitu:
Majlis Perbandaran Taiping (MPT) ditubuhkan pada 1 September 1979 hasil dari termaktubnya Akta 1714, Akta Kerajaan Tempatan pada tahun 1976. Kini MPT dengan keluasan 186.46 km persegi adalah gabungan dari lapan Lembaga Pengurusan Kerajaan Tempatan. Kawasan ini merangkumi kawasan bandar serta kawasan pinggir bandar.
1874 Penubuhan Lembaga Kebersihan / Kesihatan (Sanitary Board)
1930 Lembaga Bandaran ditubuhkan melalui Akta Lembaga Bab 137
1956 Majlis Perbandaran Berautonomi Kewangan (Keluasannya ialah 33.67 km persegi)
1/7/1977 Lembaga Pengurusan Kerajaan Tempatan (Keluasannya ialah 33.67 km persegi)
1/9/1979 Penubuhan Majlis Perbandaran Taiping (Keluasannya ialah 139.89 km persegi)
Majlis Perbandaran Taiping menguruskan kawasan seluas 186.46 km persegi dan meliputi 12 mukim iaitu :
111.47 km persegi adalah kawasan operasi iaitu kawasan yang diberi perkhidmatan dan dikenakan cukai taksiran tahunan
74.99 km persegi adalah kawasan kawalan iaitu kawasan yang tidak diberi perkhidmatan tetapi pembangunan terkawal dan tidak tikenakan cukai taksiran tahunan.
Pasukan keselamatan
Taiping merupakan kawasan pembentukan pasukan keselamatan terawal di Malaysia oleh British.
1880-an Ngah Ibrahim selaku Menteri Larut terpaksa setuju menerima Kapten Speedy mengawasi kongsi gelap Ghee Hin di Larut kerana pasukan keselamatan yang ditubuhkan oleh Ngah Ibrahim tidak berkesan.
Hasil rundingan, Kapten Tristam Speedy telah ke utara india iaitu di kawasan Punjab untuk mengambil rekrut dari kalangan Sikh untuk menjadi polis, tentera dan pengawal.
^See pages 86-88, Chapter 8 Malaysian Confrontations, Send A Gunboat: The Victorian Navy and Supremacy at Sea, 1854-1904, by Antony Preston & John Major, Conway, an imprint of Anova Books Ltd, London, UK, 2007 Revised Edition, ISBN 978-0-85177-923-2