Lekir tumbuh di hutan malar hijau melalui umbi bundar. Daun lekir selalunya tunggal dan kadang-kadang berpasangan, dengan tangkai daun, yang sering disebut 'batang',[6] licin dan jarang-jarang kasar pada pangkal. Corak latarnya berubah-ubah dari perang keputihan, kehijauan atau kemerahan, berbelak hijau kehitaman kecil, hingga bertompok putih kuning membujur. Lai daunnya bercabang seluas 10–250 cm dengan tangkai bersayap berdekatan pangkal. Anak daun tetombak bujurnya pula dempak tirus memanjang.[1]
Perbungaannya tunggal dan berjentu pendek. Daun sisiknya tetombak lebar, 7–37 cm panjang, selalunya lebih panjang daripada ukuran keseluruhan perbungaan, dan bertompok hijau kehitaman atau dadu pucat. Bentuk jentunya menyamai tangkai daun namun lebih pendek dan pucat. Seludangnya leloceng, bujur telur lebar dan membulat setelah kembang. Tongkolnya pula, untuk spesimen kecil, lebih pendek berbanding seludang, iaitu 9–55 cm panjang dengan kawasan bunganya tetorak atau kerucut. Buahnya pula panjang tirus, 1.7–1.9 cm panjang, dan masak merah atau jingga.[1]
Kegunaan
Tumbuhan ini beracun dan tidak sesuai untuk dimakan. Suku Semang di Semenanjung mencampurkan jusnya dengan getah ipuh (Antiaris sp.) untuk membuat racun damak. Namun, tumbuhan masih turut sesuai dijadikan tanaman hiasan.[6]
Galeri
Bunga lekir berwarna putih
Dedaun lekir bercorak hijau cerah
Lekir tumbuh sekitar 1.8 cm (1 in) tinggi
Lihat juga
Arisaema, genus tumbuhan yang turut disebut "likir".
Gadung, spesies tumbuhan berumbi lain yang beracun.
^Wilkinson, Richard James (1932). "lĕkir". A Malay-English dictionary (romanised). 2. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 36 – melalui TROVE, Perpustakaan Negara Australia.
^Wilkinson, Richard James (1932). "bĕgong". A Malay-English dictionary (romanised). 1. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 100 – melalui TROVE, Perpustakaan Negara Australia.