Asal usul tepat anjing pemburu Provence adalah tidak jelas. Sesetengah pihak berteori bahawa ia merupakan silangan antara anjing pemburu Itali dengan anjing pemburu biru kecil Gascogne.[2] Nama aslinya briquet memaksudkan "anjing bersaiz sederhana" dalam bahasa Perancis.[4] Anjing jenis ini telah diperihalkan dalam kesusasteraan sejak tahun 1440.[3] Piawaian pertama kali diperihalkan untuk baka ini pada tahun 1934. Pada masa itu, anjing baka ini adalah banyak.[3][5][4] Walau bagaimanapun, Perang Dunia Kedua menyaksikan penurunan mendadak bagi populasi baka ini.[2] Pembiakbakaan teratur untuk memulihara baka ini bermula pada sekitar tahun 1980 dan sebuah kelab baka diasaskan pada tahun 2003.[3] Anjing pemburu Provence diiktiraf oleh SCC pada tahun 2006 dan piawaiannya kali terakhir diubah pada tahun 2008.[3] Anjing pemburu Provence terus menjadi baka anjing jarang yang kerap mempunyai kurang daripada sepuluh anjing baharu yang didaftarkan setiap tahun dengan SCC.[2]
Perihal
Baka ini bersaiz sederhana dan cukup seimbang.[1][3] Panjang tubuh adalah lebih besar sedikit daripada ketinggian pada paras kelasa.[3] Muncungnya sama panjang atau lebih pendek sedikit daripada tengkorak. Stopnya tidak begitu ketara. Gigitannya kuat dan berkembang sebagai gigitan gunting; geraham kecil hilang dan/atau gigitan penyepit ditoleransi. Telinga terletak pada paras mata atau ke bawah sedikit, tepi hadapannya melingkar sedikit ke luar. Hujungnya mesti mencapai sekurang-kurangnya pangkal hidung. Terdapat gelambir di tekak. Perut tertarik ke atas sedikit. Ekor terletak rendah-rendah dan terangkat tinggi-tinggi apabila bekerja.[3]
Lapis bulu pendek berwarna merah seakan-akan bata, dengan lapis bulu hitam atau tanpa lapis buluhitam.[1] Sedikit putih pada kaki, hujung ekor, dada, dan dahi dapat diterima tetapi tidak diutamakan.[3] Jantan adalah setinggi 50–55 sentimeter (20–22 in); betina pula adalah setinggi 44–50 sentimeter (17–20 in).[5] Purata berat ialah 18–27 kilogram (40–60 lb).[6]
Perangai
Anjing pemburu Provence ialah anjing pemburu berani, cekap, dan berdaya tahan yang digunakan terutamanya terhadap babi hutan dan arnab.[3] Ia mempunyai pembawaan ramah dan patuh yang menjalin ikatan kukuh dengan pemiliknya dan perlu bergaul dengan baik dengan anjing lain.[5][6] Ia mempunyai suara perburuan jelas yang dikhususkan untuk perburuan.[6][3] Anjing pemburu Provence ialah anjing bertenaga dan pantas yang memerlukan senaman banyak, kerana ia tidak cepat letih.[6]
Kesihatan
Anjing pemburu Provence hidup selama hampir-hampir 11–13 tahun.[6] Tiada penyakit dan keadaan kesihatan yang dikaitkan dengan baka ini.[6]
Catatan
^Jawi: انجيڠ ڤمبورو ڤروۏنسcode: ms is deprecated ; Perancis: briquet de Provencecode: fr is deprecated