Sloughi

Sloughi
Nama lainUskay (oska)
Grehaun Barbar
Grehaun Arab
Sloughi Mughrabi
Negara asalAfrika Utara
Trait
Berat Jantan 22–28 kg (49–62 lb)
Betina 18–24 kg (40–53 lb)
Tinggi Jantan 66–72 cm (26–28 in)
Betina 61–68 cm (24–27 in)
Anjing (Canis lupus familiaris)

Sloughi,[a][1] atau grehaun Arab,[b] ialah satu baka anjing bela jinak purba yang khususnya merupakan anggota keluarga anjing pemburu penglihatan. Ia berasal dari Afrika Utara dan terdapat di Algeria, di Tunisia, di Maghribi, dan di Libya.[2][3][4][5]

Sejarah

Grehaun Arab sekitar 1915

Sloughi telah wujud selama berabad-abad di Afrika Utara, terutamanya di Algeria, di Maghribi, di Tunisia, di Libya, dan di Mesir.[6] Perkataan sloughi berkemungkinan merupakan sebutan bahasa Barbar bagi saluki bahasa Arab, iaitu anjing pemburu penglihatan Arab yang kelihatan dan berkelakuan serupa; kedua-dua baka berkemungkinan mengongsi leluhur bersama.[6] Lukisan batu Neolitik Algeria, ditambah dengan lukisan makam dan hieroglif di Mesir, telah ditemukan sejelasnya menggambarkan anjing langsing dengan telinga terkelepai, membayangkan asal usul lebih awal baka ini.[6] Sloughi masih digunakan untuk perburuan di negara-negara Afrika Utara, serta menjadi anjing penjaga yang boleh dipercayai untuk keluarga. Sloughi diterima ke dalam FCI pada tahun 1998 dan menerima pengiktirafan oleh American Kennel Club selewat 1 Januari 2016 serta dapat bertanding dalam Kumpulan Hound AKC.[7][4][5]

Penampilan

Kepala sloughi adalah panjang dan anggun, dengan telinga terkelepai, yang berpenampilan serupa dengan grehaun yang lebih pendek dan bertubuh lebih tebal. Tubuh dan tungkai menunjukkan struktur tulang jelas yang menyokong otot kuat dan langsing. Garis atasnya, pada asasnya, mendatar dan bersepadu dengan krup yang mencondong dengan lancar. Ekornya panjang dan terangkat rendah-rendah, seperti banyak anjing pemburu penglihatan, dengan lengkung ke atas di hujungnya.[8][9]

Walaupun serupa secara fizikal dan luaran, sloughi tidak patut dikelirukan dengan anjing pemburu penglihatan lain yang berasal dari Afrika Utara, Laut Tengah atau Asia Selatan, seperti anjing pemburu Ibiza, saluki, atau grehaun, mahupun dikelirukan dengan anjing pemburu Afghan dan borzoi Rusia yang berasal lebih jauh. Walau bagaimanapun, sama seperti baka berkaitan ini, sloughi dibiakbakakan secara tradisional untuk coursing dan untuk mengejar buruan seperti kelinci, rubah, jakal, gazel, antelop, rusa, atau burung darat (seperti grouse pasir), antara haiwan bersaiz kecil atau sederhana.[7][10]

Sloughi ialah baka purba yang dihargai di Afrika Utara kerana dorongan pemangsa semula jadi, kemahiran coursing, kelajuan, ketangkasan, dan daya ketahanannya di sepanjang jarak jauh. Ia merupakan anjing pemburu penglihatan teguh, namun anggun dan racy dengan anggota, belakang, dan ekor berperkadaran sekata. Seperti kebanyakan anjing pemburu penglihatan lain, sloughi menyesuaikan diri dengan baik terhadap lokasi gersang dengan "toleransi kemarau" semula jadi yang meningkatkan nilai keseluruhannya. Demikian juga, sloughi tidak dibiakbakakan untuk menjadi anjing rapuh atau kecut. Keperibadian keseluruhannya ialah keperibadian mulia, namun agak menyendiri, dengan kesan "kelas" agung; ekspresi mata gelapnya adalah lemah lembut, penuh fikiran, dan melankolik.[7][11] Di tempat yang masih menyaksikan penggunaannya sebagai anjing pemburu penglihatan coursing, penampilannya dapat berbeza-beza menurut tempat, berdasarkan situasi pembiakbakaan, penghibridan dan penyesuaian iklim atau persekitaran unik.[6]

Perangai

Sloughi ialah baka pemburu primitif yang menjalin ikatan sangat rapat dengan pemilik atau keluarganya sejak usia muda. Ia tidak bermungkinan terlebih malu atau agresif. Sloughi yang dibiakbakakan dengan baik dan tersosialisasi dengan baik ialah anggota keluarga stabil, penuh perhatian, dan terlebih penyayang.[12][6]

Piawaian American Sloughi Association menyatakan bahawa, "Sloughi ialah anjing yang mempunyai kelas dan keanggunan. Sikapnya mulia dan agak menyendiri."[12]

Oleh sebab asal usulnya sebagai pemburu dan penjaga bagi kaum nomad Sahara dan orang Badwi, sloughi menyendiri terhadap orang asing dan mengambil sedikit masa untuk bermesra dengan sahabat baharu. Sloughi juga mengharapkan pembatasan diri daripada orang dijumpai dan mungkin tidak menghargai mereka yang terlalu biasa. Sloughi juga terkenal kerana naluri primitifnya, kerana tidak seperti baka anjing pemburu penglihatan lain, ia sangat berwaspada dan bersifat teritorial yang menjadikannya dihargai oleh orang Barbar, bukan sahaja sebagai pemburu, tetapi sebagai anjing penjaga yang tidak takut.[12][13]

Sloughi yang tersosialisasi dengan tidak betul dapat menjadi pemalu dan atau agresif terhadap anjing lain dan pembiak baka perlu mempertimbangkan perangai dalam keputusan pembiakbakaan mereka dan anak anjing perlu menerima sosialisasi sesuai sejak usia muda supaya anak anjing matang menjadi dewasa yang tersesuai dengan baik. Sosialisasinya mesti termasuk bukan sahaja orang baharu, tetapi juga situasi baharu, persekitaran, dan anjing lain.[12]

Sloughi yang terbiasa dengan kanak-kanak adalah sangat baik dengan kanak-kanak. Seperti semua baka, kanak-kanak perlu diajar untuk menghormati anjing dan tidak menganiayanya.

Ia memerlukan senaman harian cukup untuk memenuhi keperluan fizikal, emosi, dan mentalnya. Ini bukan baka yang sangat sesuai untuk kehidupan pangsapuri tanpa rejimen senaman harian terancang termasuk derapan bebas.

Sloughi telah dibiakbakakan selama beribu-ribu tahun untuk meng-course dan, sebagai hasil, mempunyai dorongan pemangsa sangat tinggi. Ia dapat menjadi hebat dengan kucing, anjing kecil, dan haiwan lain jika ia diperkenalkan pada usia awal dan belajar bahawa haiwan peliharaan lain ini bukan mangsa.

Perwatakan sloughi juga lembut dan cerdas dan ia sensitif terhadap pembetulan. Ia mesti dilatih dengan kaedah yang juga cerdas dan sensitif. Kaedah pelatihan tangan tegas atau melibatkan tubuh tidak berkesan untuk mana-mana baka, tetapi ia amat memudaratkan terhadap perwatakan anjing pemburu penglihatan.[12]

Kesihatan

Hanya sedikit keadaan genetik telah disahkan pada baka ini. Ini termasuk gangguan autoimun tertentu, seperti penyakit Addison dan sindrom usus rengsa dan atrofi retina progresif. Sloughi ialah salah satu baka yang ujian genetik untuk atrofi retina progresif untuknya telah dibangunkan dengan ujian darah ringkas. Seperti semua anjing pemburu penglihatan, sloughi sangat peka terhadap anestesia dan dapat menjadi peka terhadap vaksin, ubat cacing, dan ubat-ubatan lain—jadi, rawatan rutin ini patut dijarakkan antara satu sama lain dan bukannya diberikan sekaligus. Baka ini cenderung untuk menikmati kesihatan cemerlang sehingga usia tua.[14]

Lihat juga

Catatan

  1. ^ Jawi: سلوݢي, Sebutan bahasa Melayu: [slugi]; Arab: سلوقي, rumi: salūqiyy; bahasa Inggeris: sloughi, /ˈslɡi/
  2. ^ Jawi: ݢريهاءون عرب; bahasa Inggeris: Arabian greyhound

Rujukan

  1. ^ "Sloughi" [Sloughi]. Encarta (dalam bahasa Inggeris). Microsoft Corporation. 1997–2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Mei 2024. Dicapai pada 24 Januari 2024.
  2. ^ Gibeault, Stephanie (29 Disember 2016). "The Sloughi is a Cherished Dog of North Africa – American Kennel Club" [Sloughi Ialah Anjing yang Dihargai dari Afrika Utara – American Kennel Club]. American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 24 Januari 2024.
  3. ^ Fernandez, Amy (2 Januari 2009). "The Sloughi – An Ancient Hound Whose DNA Predates Christ" [SloughiHound Purba yang DNA-nya Mendahului Kristus]. Canine Chronicle (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 24 Januari 2024.
  4. ^ a b "Standard FCI N°188 SLOUGHI" [Piawaian FCI No. 188 Sloughi] (pdf) (dalam bahasa Perancis). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 8 Januari 1998. Dicapai pada 24 Januari 2024.
  5. ^ a b "FCI-Standard N° 188 SLOUGHI" [Piawaian FCI No. 188 Sloughi] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Moreau-Sipiere, Ermine; Triquet, Raymond. Dikemaskinikan oleh Jean-Maurice Paschoud. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 27 April 1998. Dicapai pada 24 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  6. ^ a b c d e Bamford, Susan (Disember 2011). "The Sloughi – Slougui – Arabian Greyhound" [SloughiSlougui – Grehaun Arab] (PDF). Journal of the International Society for Preservation of Primitive Aboriginal Dogs (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Anjing Primitif dan Peribumi. 28: 4–23.
  7. ^ a b c "Sloughi Dog Breed Information" [Maklumat Baka Anjing Sloughi]. American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris).
  8. ^ "Official Standard of the Sloughi" [Piawaian Rasmi Sloughi] (PDF) (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club.
  9. ^ Haddam, Hadi Youssouf; Mennani, Achour; Hamel, Wissam; Benhamadi, Mohamed Amine; Labbaci, Madani; Gaouar, Semir Bechir Suheil (25 Januari 2021). "Morphological characterization of an Algerian Sighthound known as The Sloughi raised in the Wilaya of Tlemcen, Northwest of Algeria" [Pencirian morfologi anjing pemburu penglihatan yang dikenali sebagai sloughi yang diternak di Wilayah Tlemcen, Barat Laut Algeria]. Genetics & Biodiversity Journal (dalam bahasa Inggeris). Universiti Tlemcen. 5 (1): 74–86. doi:10.46325/gabj.v5i1.172. ISSN 2588-185X. S2CID 247186414 Check |s2cid= value (bantuan).
  10. ^ "Ocerico Sloughis – Top Winning AKC Sloughis" (dalam bahasa Inggeris).
  11. ^ "ShowSight Presents The Sloughi" [ShowSight Mempersembahkan Sloughi]. www.showsightonline.com (dalam bahasa Inggeris).
  12. ^ a b c d e "Temperament" [Perangai] (dalam bahasa Inggeris). American Sloughi Association. 3 Julai 2017.
  13. ^ Cosgrove, Nicole (28 Mac 2018). "Sloughi | Breed Info: Pictures, Characteristics, Facts, Traits" [Sloughi | Maklumat Baka: Gambar, Ciri, Fakta, Trait]. Hepper (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 11 Mac 2024.
  14. ^ "Sloughi Health Statement" [Pernyataan Kesihatan Sloughi] (PDF) (dalam bahasa Inggeris). American Sloughi Association.

Pautan luar