Zulkifli Ariffin[1] (lahir 25 Oktober 1986)[2] ialah seorang pelakon dan model lelaki Malaysia.[3] Beliau mula bergiat aktif dalam bidang lakonan pada 2008 menerusi watak pembantu dalam siri drama Awan Dania dan kemudiannya beralih ke watak utama sebagai Inspektor Ashraf dalam siri drama kepolisan paling lama bersiaran di RTM, Gerak Khas sehingga drama itu direhatkan pada 2011. Beliau membuat kemunculan filem pertamanya menerusi watak ASP Zam dalam filem Evolusi KL Drift 2 pada 2010.[4]
Namanya mula menjadi perhatian ramai menerusi gandingannya bersama Ayda Jebat dalam Rindu Awak 200% yang disiarkan di Slot Akasia TV3. Kejayaan drama ini membawa gandingan kali kedua beliau bersama Ayda menerusi drama M.A.I.D di Astro Ria. Menerusi Festival Filem Malaysia ke-26, beliau memenangi Pelakon Harapan Lelaki menerusi persembahannya dalam filem Penanggal.
Kehidupan awal
Beliau dilahirkan pada 25 Oktober 1986 di Taiping, Perak dan merupakan anak bongsu daripada empat beradik kepada ibu bapanya, Ariffin Hassan dan Robiah Nasir,[5] beliau mempunyai dua kakak dan seorang abang serta berdarah kacukan Melayu dan Belanda. Bercita-cita untuk menjadi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tetapi malangnya beliau tidak layak akibat kecederaan patah di bahu. Beliau meninggalkan kampung halamannya di Taiping bagi mencari kerja di ibukota Kuala Lumpur dan ditawarkan bekerja sebagai barista di sebuah kafe bernama Dome Café di ibu negara, pada usia 18 tahun. Beliau kemudiannya mengikuti kursus peragaan dan mula mengambil bahagian dalam beberapa pertunjukan fesyen dan iklan komersil.[6]
Kerjaya
Bakat beliau dikesan oleh seorang pencari bakat dan mula muncul dalam iklan-iklan di televisyen. Beliau mendapat watak lakonan pertamanya pada 2008 menerusi drama Awan Dania lakonan Scha Al-Yahya. Pada tahun 2009, beliau memegang watak utama sebagai Inspektor Ashraf dalam drama aksi kepolisan Gerak Khas terbitan Yusof Haslam, bagaimanapun, 'jodoh' beliau bersama Gerak Khas tidak berkekalan apabila drama itu direhatkan sementara dua tahun kemudian. Zul melangkah ke layar lebar dengan membintangi filem sulung lakonannya, Evolusi KL Drift 2 arahan Syamsul Yusof yang mana beliau memegang watak sebagai ASP Zam, bersama Remy Ishak sebagai Inspektor Kamal. Filem ini ditayangkan pada 25 Mac 2010 dan mencapai kutipan pecah panggung.[7]
Zul aktif membintangi telefilem pada awal 2010an, antaranya melakonkan watak peninju dalam "Anak Rintih", anak jalanan Chow Kit dalam "Mendongak Ke Langit" dan komedi romantik bersama penyanyi Misha Omar dalam "Antara Dua" yang mana sedikit sebanyak menonjolkan kebolehan lakonan beliau. Selepas Gerak Khas "direhatkan" dengan episod terakhirnya disiarkan pada 22 Julai 2011, beliau membintangi drama Nora Elena bersama Aaron Aziz dan Siti Saleha yang disiarkan di Slot AkasiaTV3, beliau dikatakan telah mengalami kesuraman pada 2012, pada ketika beliau mencapai berat badan yang berlebihan. Pada masa itu, beliau tidak menerima tawaran kerja selama setahun setengah. Pada tahun 2013, Zul berlakon dalam satu-satunya drama TV lakonannya pada tahun itu, Luluhnya Sebuah Ikrar bersama Sara Ali dan Ryzal Jaafar.
Pada tahun yang sama, beliau memegang watak sebagai Airil dalam siri televisyen waktu perdana Slot Akasia TV3, Istikharah Cinta bersama heroinnya, Faye Kusairi yang memegang watak sebagai Dina Alia, seterusnya melakonkan watak ketua mafia dalam filem aksi Balistik bersama pelakon utamanya, Rosyam Nor dan Rita Rudaini. Bekerja di bawah arahan Pierre Andre, beliau bersama Mon Ryanti membintangi filem seram, Jin terbitan Empat Samudera.[10]
Pada tahun 2015, beliau memenangi kategori Pelakon TV Meletop di Anugerah MeleTOP Era 2015 menerusi lakonannya dalam Rindu Awak 200%. Beliau digandingkan sekali lagi bersama Siti Saleha menerusi drama Uda & Dara yang diadaptasi daripada novel dengan judul sama karya Allahyarham Usman Awang yang memulakan tayangan perdana di Astro Ria dari 24 Februari hingga 6 Mac 2016.[11]
Pada tahun 2017, filem lakonannya, J Revolusi ditayangkan di pawagam pada 2 Mac, beliau memegang watak sebagai Jay Zulkarnain, seorang ketua pegawai Unit Tindakan Khas (UTK).[12] Zul dilaporkan telah membeli motosikal jenama Ducati Hypermotard untuk digunakan dalam beberapa babak aksi dalam filem berkenaan.[13][14][15] Beliau berlakon bersama Nur Fathia menerusi drama Menanti Februari yang disiarkan di TV3, mengisahkan tentang tiga rakan karib iaitu Arie, Fiza dan Edi bersama-sama menaruh hati terhadap Fiza.[16]
Beliau bersama Izara Aishah kemudiannya menjayakan peranan utama dalam drama Mr. London Ms. Langkawi di Astro Warna, memegang watak sebagai Aidid.[24] Projek filem beliau seterusnya ialah filem seram komedi Hantu Kak Limah arahan Mamat Khalid yang ditayangkan pada 9 Ogos 2018.[25][26] Zul bersama penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan membintangi filem seram thriller, Misteri Dilaila arahan Syafiq Yusof yang ditayangkan pada 21 Februari 2019, beliau memegang watak sebagai Jefri.[27][28][29]
Zul muncul kembali sebagai Inspektor Ashraf dalam Gerak Khas selepas lebih 8 tahun. Beliau ialah salah seorang dari barisan pelakon Gerak Khas musim 19 termasuk Mustaqim Bahadon dan dua pelakon asalnya, Farid Amirul dan Abby Abadi. Beliau memegang watak sebagai atlet seni bela diri campuran Adam "The Ace" Abdullah dalam filem aksi sukan Sangkar arahan Kabir Bhatia yang menggandingkan beliau bersama Remy Ishak dan Mira Filzah. Ditayangkan pada 29 Ogos 2019, ia mengisahkan tentang permusuhan dan penebusan antara dua pejuang MMA tempatan, serta perjuangan mereka demi maruah dan keluarga.[30][31] Ini merupakan kerjasama kedua Zul dan Remy dalam tempoh 9 tahun sejak Evolusi KL Drift 2.
Zul kembali digandingkan bersama Mira dalam drama Bidadari Kiriman Tuhan yang bersiaran di Astro Ria, memegang watak sebagai Yusof, seterusnya berlakon di samping Raysha Rizrose dalam drama Ryan Aralyn di TV3, memegang watak sebagai Ryan.[32] Selain itu, beliau bakal membintangi sebuah filem biopik terbitan Rosyam Nor yang bertajuk Juang yang turut dibintangi oleh Zizan Razak dan Jack Lim.[33]
Beliau kembali bekerja di bawah arahan Syafiq Yusof menerusi filem Penunggang Agama dengan memegang watak sebagai Amir. Ia kembali menggandingkan beliau bersama Azira Shafinaz yang memegang watak sebagai Anna. Ini juga merupakan gandingan pertama Zul dan Azira dalam tempoh 3 tahun sejak Seribu Rindu.[34] Selepas Penunggang Agama, beliau kembali menjayakan watak Jay Zulkarnain dalam filem J2: J Retribusi, kesinambungan dari filem J Revolusi. Filem ini ditayangkan secara eksklusif di Disney+ Hotstar bermula 1 Jun. Zul digandingkan bersama Uyaina Arshad dalam drama Love Elsa yang bersiaran di Astro Ria, yang mana beliau memegang watak sebagai Ridza Kim. Beliau juga berlakon di samping Ruhainies Farehah dalam drama WiFi Sebelah Rumah dengan memegang watak sebagai Ghaz.
Pada September 2021, Zul mengumumkan telah menarik diri daripada dicalonkan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-34. Pengumuman itu dibuat melalui satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Instagram.[35] Pada tahun 2022, beliau berlakon bersama Nelissa Nizam dalam drama Tarik Aku Ke Syurga dengan memegang watak sebagai Zamri, seorang perunding hartanah yang berjaya.[36]
Penajaan
Perkembangan kualiti dan populariti Zul Ariffin dalam bidang lakonan sering tampak konsisten dan juga berkualiti telah memberikan suatu impak positif serta sedikit sebanyak menjadi sebab, mengapa beliau secara tidak lansung telah berjaya menarik minat serta perhatian daripada pelbagai syarikat pengeluar produk-produk berjenama di pasaran tempatan dan juga antarabangsa dan di mana ia kini berkhidmat sebagai duta dan juga jurucakapnya, justeru itu ia kini berkhidmat sebagai duta, Fisherman's Friend, Nescafe (bersama Maya Karin) dan Senheng.[37] Beliau kini dilantik sebagai duta bagi syarikat automotif negara, PROTON.[38] Produk lain termasuk Gatsby, Lipton (bersama Nur Fathia), Systema, Mont Cabana dan Code 10.
Kehidupan peribadi
Kehidupan peribadi Zul banyak diperkatakan oleh media kerana sebelum ini beliau dikatakan pernah dikaitkan menjalin hubungan dengan pelakon seangkatannya dalam Gerak Khas, Abby Abadi pada ketika pelakon itu memfailkan perceraiannya dengan Norman Hakim pada 2009, bagaimanapun hubungan mereka berakhir pada 2012 dan masing-masing membawa haluan.[39][40][41] Beliau dikaitkan pula dengan penerbit filem terkenal Gayatri Su-Lin Pillai, bos syarikat Tayangan Unggul dan dikatakan sering berhubungan dengan penerbit filem itu dan hubungan mereka juga tidak kesampaian, Zul memilih untuk memutuskan perhubungannya dengan Gayatri yang masih membujang dan belum berkahwin.[42][43][44]
Pada tahun 2015, beliau dikhabarkan menjalin hubungan dengan pelakon baru, Zahirah MacWilson yang juga anak kepada bekas penyampai berita TV3, Zainol MacWilson.[45] Beliau lebih suka tidak bercerita berkenaan hal peribadinya berbanding dengan kerjayanya.[46][47] Bagaimanapun, hubungan mereka berakhir pada 2018 dan masing-masing membawa haluan. Ibu beliau, Robiah Nasir meninggal dunia pada 5 Disember 2017 akibat penyakit jantung.[48]
Beliau juga bersahabat baik dengan pelakon Ashraf Sinclair (Allahyarham). "Saya kenal arwah sudah lama, sebelum kami terjun dalam industri seni. Selepas lama berkawan, kami berpeluang berlakon bersama dalam filem J Retribusi. Saya lihat arwah periang dan sangat baik. Beruntung siapa yang dapat mengenali dirinya,".[49][50]