Yang HormatDato'Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie (lahir 24 November 1968) ialah penyanyi, pemuzik, pelakon, pengacara, penerbit dan pengarah lelaki Malaysia. Beliau terkenal sebagai penyanyi utama kumpulan Wings.
Dilahirkan pada 24 November 1968 di Datuk Keramat, Kuala Lumpur, kerjaya muzik Awie sebagai artis bermula pada 1987 bersama kumpulan Wings dengan muncul album pertama berjudul Belenggu Irama. Ketika popular bersama Wings, beliau memperkembangkan bakatnya yang semula jadi dalam bidang lakonan menerusi filem pertamanya Pemburu Bayang pada tahun 1993.[1][2] Awie kemudiannya mengambil langkah untuk meninggalkan Wings akibat ketagihan dadah, putaw, kokain dan heroin dan memulakan kerjayanya sebagai penyanyi solo bermula pada 1993 apabila beliau melancarkan album solo eponim pertamanya pada 1994 dan telah terjual sebanyak 220,000 unit menjadikan album tersebut sebagai pemegang rekod penjualan album tertinggi bagi artis solo lelaki di Malaysia sehingga kini,[3] yang sebelum itu diungguli oleh Saleem (Iklim) menerusi album solo pertamanya yang berjudul Gabungan Dua Insan Seni - Saleem & Wan Zul yang mempertaruhkan single popular "Aduhai! Seribu Kali Sayang" pada tahun 1993 yang terjual sebanyak 80,000 unit.
Sepanjang kerjaya solonya, beliau telah menghasilkan lima album solo tidak termasuk album kompilasi, langsung dan lain-lain. Selain itu juga, Awie pernah menyertai kumpulan Search pada tahun 1998 dan muncul dengan satu album bertajuk Bikin Wilayah setelah Amy meninggalkan kumpulannya itu dan seterusnya menubuhkan kumpulannya tersendiri yang diberi nama Dragon Malaya pada tahun 2000. Sehingga kini Dragon Malaya masih aktif dalam beberapa untuk konsert sahaja. Pada penghujung tahun 2000, beliau dengan bantuan terapi perubatan Cina, Awie menjauhkan diri dan tidak menyentuh barang terlarang itu lagi. Pada tahun 2001, beliau kembali bersama kumpulan Wings yang kekal sehingga kini. Awie masih mengekalkan kerjaya sebagai pelakon filem. Antara filem terkenal beliau termasuk Baik Punya Cilok (2005), Sumolah (2007), Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) dan Lebuhraya Ke Neraka (2017). Selain itu, Awie juga ialah seorang pengacara rancangan realiti seperti Tunggu Sekejap,[4] juri Maharaja Lawak Mega 2012 dan banyak lagi.
Kerjaya
Penglibatan awal
Pada usia 7 tahun, Awie bekerja sebagai seorang seorang penala piano. Pada usia 17 tahun, Awie bekerja di Panggung Aniversary, Kuala Lumpur. Tugasnya membolehkan Awie mendampingi beberapa selebriti popular ketika itu seperti Search, Bloodshed, Ella & The Boys dan Sweet Charity.[perlu rujukan]
Bersama Syam, Eddie dan Jojet Awie ikut menubuhkan kumpulan muzik Wings pada awal tahun 1985. Oleh Eddie yang merupakan ketua kumpulan, Awie segera dilantik sebagai penyanyi utama sejak awal penubuhan kumpulan itu.[5] Mereka memulakan debutnya dengan album Belenggu Irama pada tahun 1987. Album berikutnya, Hukum Karma menampilkan lagu "Misteri Mimpi Syakilla" (yang dikarang oleh J.S. Kevin) dan "Taman Rashidah Utama" (ditulis oleh penerbit Bob Lokman). Pelbagai album studio seterusnya diikuti dengan album Teori Domino, Jerangkung Dalam Almari dan Bazooka Penaka termasuk gandingan bersama kumpulan Search yang tampil dengan album berjudul Double Trouble. Sejumlah hits Wings dikarang oleh penyanyi-penulis lagu M. Nasir dan Loloq.[perlu rujukan]
Awie meninggalkan kugiran itu akibat ketagihan dadah, putaw, kokain dan heroin pada tahun 1993 selepas melaporkan perselisihan dengan anggota Wings yang lain, dan mengejar kerjaya sebagai artis solo dan pelakon. Selain kumpulan asalnya Wings, Awie pernah menggantikan seketika tempat Amy Search sebagai penyanyi utama kumpulan Search dengan muncul satu album berjudul Bikin Wilayah pada tahun 1998, megecapi kemenangan album tersebut dan seterusnya beliau menubuhkan kumpulan tersendirinya yang dinamakan Dragon Malaya pada tahun 2000. Beliau dengan bantuan terapi perubatan Cina, Awie menjauhkan diri dan tidak menyentuh barang terlarang itu lagi untuk menyertai kembali bersama Wings pada penghujung tahun 2000 selepas respon penggemar suam untuk penggantinya Mus (dahulunya daripada May) dan Mel (penyanyi kelab). Penampilan dan rakaman konsert baru-baru ini termasuk Wings Alive 2006 dan Wings Live In KL 1991.[perlu rujukan]
Kerjaya solo
Selepas meninggalkan Wings pada tahun 1994, Awie telah merakamkan lima album sebagai artis solo. Album solo pertama berjudul Awie telah membuat kejutan apabila album tesebut telah mencapai jualan melebihi 220,000 unit. Sehingga kini album Awie solo itu kekal sebagai pemegang rekod jualan tertinggi album artis Malaysia lelaki solo manakala kedua tertinggi selepas album Ella USA mencecah jualan tertinggi album artis solo Malaysia yang terjual lebih 350, 000 unit.[6]
Kerjaya filem
Awie memulakan kerjaya lakonannya sebagai watak hero pada tahun 1993 dengan filem Pemburu Bayang arahan Yusof Haslam ketika masih bersama Wings.[1][2] Selepas keluar dari Wings, beliau muncul dalam filem yang lebih menonjol seperti Sembilu dan Bara. Baru-baru ini Awie menumpukan perhatian kepada peranan komedi.[7] Sehingga kini Awie masih mengekalkan kerjayanya sebagai pelakon watak hero.
Awie melengkapkan portfolionya dalam kerjaya filem dengan menubuhkan syarikat Rumah Produksi Merah lakonannya sekaligus menggalas sebagai penerbit filem menerusi filem sulung terbitannya, 10 Tips Tipu Bini arahan Azizi "Chunk" Adnan dengan Armada Al-Haq menulis skrip. Beliau sendiri turut berlakon dengan melakonkan watak sebagai Brother Love. Ia ditayangkan di Astro First pada 7 Januari 2021. Antara barisan pelakon termasuk Ropie Cecupak, Khir Rahman dan Elizabeth Tan.[8][9][10]
Bakat
Profil Penyanyi
Jenis vokal Awie ialah "Serak-serak Basah" Lirik Cahaya dengan nota pertengahan rendah seperti yang kedengaran bersama Wings dalam lagu "Intan Ku Kesepian" (C3), "Misteri Mimpi Syakilla" (Eb3) dan "Sejati" (F3). Nota serak tingginya sebagai artis solo juga kedengaran dalam lagu "Tragedi Oktober" (F5), "Ukiran Jiwa" (F#5), "Di Bayang Awan" (G5), "Ratuku" (B5) dan "Dipenjara Janji" (G6). Julat vokalnya ialah 4 oktaf.
Kehidupan peribadi
Perkahwinan pertama Awie adalah dengan Arni Nazira, juga seorang penyanyi pada 10 Disember 1998[11][12] dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Putri Aleeya Antasha (lahir pada 13 September 2001) dan Putri Aleefa Antasha (lahir pada 11 November 2003). Tetapi pada 17 September 2006, Arni telah membuat tuntutan cerai selepas terbongkarnya perkahwinan kedua Awie yang dilangsungkan secara rahsia di Thailand.[13] Awie mendapat hak penjagaan ke atas anak-anaknya.[14][15][16][17]
Isteri kedua Awie ialah Rozana Misbun, adik kepada pelakon Haliza Misbun. Pada 16 Oktober 2006, Awie dan Arni sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah KuantanPahang di hadapan Hakim Syarie Abdul Wahid Md Ali.[18][19] Bersama Rozana pula, Awie telah dikurniakan tiga orang lagi cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah (lahir pada 5 April 2005), Putra Ahmad Rezzki (lahir pada 8 Ogos 2008) dan Putri Qasseh Antasha (lahir pada 19 April 2013). Pada 1 November 2014, talak antara penyanyi Awie dan Rozana Misbun gugur selepas Rozana berjaya mendapatkan tuntutan fasak secara taklik daripada Pejabat Majlis Agama Islam, SongkhlaThailand.[20][21] Pada 7 Oktober 2016, Awie mendirikan rumah tangga bersama Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin.[22][23] Beliau dikurniakan anak keenam pada 12 November 2020.[24][25]
APM 2001: (Pencalonan) kategori Artis Lelaki Serantau Paling Popular.
APM 2007: (Pencalonan) kategori Artis Lelaki Paling Popular
BOH Cameronian Arts Awards
8th BOH Cameronian Arts Awards 2009:
Best Performance in a Leading Role - Awie for Cuci, the Musical; written by Douglas Lim, Harith Iskander & Hans Isaac, musical direction by Rudi Muhamad, directed by Dato’ Zahim Albakri & Harith Iskander, presented by Tall Order Productions Sdn Bhd
9th BOH Cameronian Arts Awards 2012:
Best Performance in a Leading Role - Awie for Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal, written by Harith Iskander Musa, co-written by Kuah Jenhan, musical direction by Michael Veerapen, directed by Harith Iskander Musa and Hans Isaac, presented by Institute Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) and Tall Order Productions
Darjah Kebesaran
• Darjah Indera Mahkota Pahang membawa gelaran 'Dato'