Merah ialah sebuah filem aksi romantik Malaysia 1996 arahan dan skrip oleh pemuzik tersohor negara, M. Nasir dalam penampilan sulungnya di kerusi pengarah.[2][3][4] Dibintangi oleh Awie, Ziana Zain dan M. Nasir sendiri, filem ini berkisarkan tentang Merah yang ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana terbabit dalam kes rompakan bersama dua rakannya. Selepas dibebaskan, dia bertemu dengan Kasih dalam program kaunseling. Kasih memberi kekuatan dan keazaman baharu kepada Merah untuk mengubah hidupnya. Filem ini ditayangkan pada 19 Disember 1996 dan menerima ulasan positif.[5][6]
Sinopsis
Merah bersama dua rakannya, Hassan dan Salleh masing-masing terperangkap dalam permainan dunia. Asalnya ketiga-tiga watak ini berkiblatkan pada kebenaran dan kesucian, tetapi atas cabaran suratan nasib, mereka berubah. Mereka bertiga melakukan satu rompakan nekad untuk membantu nenek Salleh yang terlantar di hospital (memerlukan wang yang banyak untuk mendapatkan rawatan pakar - kebetulan miskin). Bertembung dengan sekatan jalan polis, Merah berkorban, mencadangkan kepada Hassan dan Salleh untuk melarikan diri, sementara dia memancing polis mengejarnya. Merah tertangkap, dipenjarakan lima tahun. Keluar - dipilih untuk menjalani program kaunseling - di sini bertemu dengan Kasih kaunselar sukarelawan. Kasih - anak sulung sepasang suami isteri yang kaya raya mahu mengenal erti hidup yang sebenarnya, lantas melakukan kerja ini - tinggal sendiri, jauh dari ibu bapanya dan memiliki sebuah kilang batik (tapi merahsiakan segala latar belakangnya). Dengan kehadiran Kasih, Merah seperti mendapat kekuatan baru, bertekad untuk berjalan di jalan yang lurus dan mereka sering memendamkan rasa sayang.
Kumpulan hip hop, Nico membuat penampilan khas sebagai penyanyi undangan di Kelab Rok Tatu.
Penerbitan
Merah ialah percubaan sulung penyanyi, M. Nasir sebagai pengarah dan merupakan filem pertama terbitan syarikat miliknya, Luncai Emas. Nasir turut berkhidmat sebagai penerbit, penulis skrip dan pengarah muzik.[11][12] Menurut Nasir, Merah bukan lanjutan daripada muzik video lagu "Mentera Semerah Padi" nyanyiannya, tetapi ialah nama watak utama filem pertamanya.[13] Untuk filem ini, beliau menggunakan sepenuhnya khidmat pelakon lelaki[14] dan yakin bahawa karya sulung arahannya akan memberikan kelainan berbanding filem tempatan lain yang pernah diterbitkan.[15]
Penggambaran dijalankan pada November 1995 hingga Januari 1996,[24][25] manakala pasca-penerbitan dijalankan di Hong Kong pada Jun 1996.[26][27]Merah telah menjalani proses penilaian dan mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) dengan sedikit potongan membabitkan dialog yang dianggap kurang sesuai.[28][29]
Merah: Original Soundtrack ialah album runut bunyi filem Merah, yang dikeluarkan pada 18 November 1996 oleh Luncai Emas. Sebanyak 11 lagu dimuatkan dalam runut bunyi ini, dengan "Senja Nan Merah" nyanyian Awie dan Ziana Zain dikeluarkan sebagai single utama.[30][31][32]
Bagi mempromosikan filem ini, tayangan amal filem Merah diadakan di Auditorium Majlis Perbandaran Shah Alam (MPSA) pada 23 November 1996,[34] diikuti oleh majlis tayangan perdana filem ini diadakan pada 28 November di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),[35] manakala majlis tayangan amal Merah diadakan pada 30 November di Dewan Tunku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang dan dihadiri oleh barisan pelakon filem ini.[36][37]
Merah dikeluarkan untuk tayangan tengah malam pada 14 Disember 1996 dan untuk tayangan umum di 31 pawagam seluruh Malaysia pada 19 Disember,[38] dengan tayangan perdana rasminya di panggung Odeon.[39][40][41]
Kutipan
Filem ini menjadi kejayaan komersial apabila berjaya memperoleh kutipan pecah panggung sederhana sebanyak RM1.5 juta dalam tempoh tayangan perdana selama sebulan.[42]
Ulasan kritis
Ulasan yang diterima terhadap filem ini rata-ratanya positif. Azian Adnan dari Berita Minggu memuji percubaan sulung M. Nasir sebagai pengarah dan menulis bahawa filem ini "penuh saspens".[43] Marina Abdul Ghani dari The Malay Mail menyatakan kepujiannya terhadap filem ini sambil berkata "sememangnya hebat".[44] Charon Mokhzani, menulis untuk New Straits Times juga memuji karya sulung M. Nasir dengan menulis "filem sulung yang bergaya" sambil berkata: "Merah ialah arahan sulung yang mengagumkan dan contoh lakonan filem Malaysia yang terbaik [...] Apa yang penting ialah Merah menunjukkan adanya jalan ke hadapan dalam sebuah filem Melayu secara artistik dan teknikal".[45]
Anugerah
Pada malam Anugerah Skrin dan Bintang Popular 1996 yang diadakan pada 24 Ogos 1997, Merah telah memenangi Filem Terbaik sekaligus membawa pulang wang tunai sebanyak RM70,000 dan trofi.[46][47][48] Pada 27 Ogos, filem ini terpilih sebagai salah satu daripada 10 filem yang disenarai pendek untuk penyertaan ke Anugerah Mutiara di Festival TV dan Filem Asia Timur Pertama (EAFTAB) yang berlangsung di Pulau Pinang.[49][50]