Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah I ibni Sultan Mahmud Riayat Shah II Zilullah fil-Alam Khalifat ul-Muminin atau juga (Raja Kecil) merupakan sultan Johor ke-12 sekali gus pendiri Kesultanan Siak Sri Indrapura.
Menurut buku "Leaves of the Same Tree: Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka", karangan Leonard Y. Andaya. Beliau merujuk kepada Hikayat Siak bahawa Raja Kecil atau Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah merupakan anakanda Sultan Mahmud Shah II.[1] Ketika usia kecil, baginda Raja Kecil telah dilarikan oleh pembesar baginda ke Pagar Ruyung. Anak perempuan pembesar itu telah diperisterikan oleh Sultan Mahmud Shah II dan mendapat Raja Kecil ini. Oleh kerana haru-biru dalam istana gara-gara perilaku ganjil sultan maka pembesar itu menyelamatkan cucunya (Raja Kecil). Di Pagar Ruyung, Raja Kecil telah disusukan oleh Puteri Jamilan, iaitu ibu kepada pemerintah Pagar Ruyung ketika itu.[2] Secara tidak langsung Raja kecil merupakan saudara sesusu dengan pemerintah Pagar Ruyung (namanya dipercayai Yang Dipertuan Pagar Ruyung Raja Alam Indermashah, kemudian mendirikan Kesultanan Siak Sri Inderapura). Puteri Jamilan sewaktu mengambil Raja Kecil sebagai anak angkat pernah seraya berkata: "terlalu kasihan aku akan dia, kerana tiada bapaknya".[3]
Pada usia 13 tahun, Raja Kecil telah meminta keizinan Puteri Jamilan untuk keluar mencari ilmu. Baginda telah berkhidmat dengan pemerintah Palembang dan kembali semula ke Pagar Ruyung.[4] Setibanya pulang, Puteri Jamilan bertanya kepadanya, seraya berkata "Mengapa engkau lama di laut?", Raja Kecil menjawab "menengok cupak gantang orang". Balasan perkataan ini menggambarkan refleksi atau metafora bahawa baginda terlibat dalam aktiviti sukat imbang perdagangan laut, menguatkan bukti bahawa pemerintah Pagar Ruyung mempunyai hubung akrab perdagangan dengan kerajaan serantau khususnya Minangkabau dan Palembang. [5]
Puteri Jamilan menasihatkan supaya Raja Kecil pergi mengembara lagi, kali ini mencadangkan baginda pergi ke Siak untuk merampas Johor dan membalas dendam bagi pihak ayandanya Sultan Mahmud Shah II.[6] Baginda Raja Kecil kemudiannya ditabalkan sebagai pemerintah Pagar Ruyung dan mendapat kemuliaan alat kebesaran Minangkabau. Kemudian, Raja Kecil ini telah menggunakan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah dan memerintah Johor antara tahun 1718–1722.[7]
Bukti catatan dokumen
Terdapat satu catatan Belanda pada tahun 1674, yakni telah datang seorang utusan dari Johor untuk mencari bantuan bagi Raja Minangkabau berperang melawan Raja Jambi. Kemudian berdasarkan surat dari Raja Jambi, Sultan Ingalaga kepada Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) pada tahun 1694, menyebutkan bahawa Sultan Abdul Jalil dari Pagar Ruyung, hadir menjadi saksi perdamaian perselisihan mereka.[8]
Selain itu, pada masa pemerintahan Sultan Indermashah, pada tahun 1677 para perantau Minangkabau yang bermukim di Rembau, Sungai Ujong dan Naning, meminta kepada Yang Dipertuan Pagar Ruyung untuk dikirim raja bagi mereka dan waktu itu dikirim salah seorang kerabat Raja yang bernama Raja Ibrahim.[9]
Pada tahun 1716, Sultan Indermasyah mengutus saudaranya yang bernama Abdul Jalil Rahmat Shah I dari Siak untuk mewakili dirinya dalam menyelesaikan kesepakatan dagang dengan pihak VOC. Pada awalnya pihak Belanda menolaknya, namun kemudian kembali datang surat daripada Yang Dipertuan Pagar Ruyung, yang menegaskan status daripada Sultan Abdul Jalil tersebut.[10]
Keberadaan Sultan Indermashah ini masih dapat diketahui berdasarkan kaitannya dengan pihak Belanda merujuk surat yang diterima regen VOC pada tahun 1724, 1727, dan yang terakhir pada 1730.[11][12][13][14]
Dalam Syair Perang Siak, Raja Kecil putera Pagar Ruyung, didaulat menjadi penguasa Siak atas muafakat masyarakat di Bengkalis, sekaligus melepaskan Siak daripada pengaruh Johor. Berdasarkan Hikayat Siak, Raja Kecil merupakan putera Sultan Mahmud Shah II, (Al-Marhum mangkat dijulang). Daripada suratnya kepada VOC, Raja Kecil dari Pagar Ruyung memberitahu bahawa beliau akan menuntut balas atas peristiwa pembunuhan Sultan Mahmud Shah II.
Pemerintahan
Sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Jalil IV, keadaan agak kucar-kacir kerana pembesar-pembesar kerajaan bersikap tamak, khianat dan cemburu. Keadaan ini memberi peluang kepada Raja Kecil menyerang Johor. Pada tahun 1717, Raja Kecil dan askar dari Siak menyerang Johor. Pada 21 Mac 1718, Raja Kecil menawan Panchor. Raja Kecil melantik sendiri dirinya sebagai Yang Dipertuan Johor dan bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah. Walaupun begitu, beliau masih membenarkan Sultan Abdul Jalil IV menetap di Johor tetapi tiada kuasa memerintah dan diberi jawatan Bendahara. Kemenangan Raja Kecil adalah atas bantuan pembesar Johor sendiri kerana yakin Raja Kecil ialah pewaris Sultan Mahmud Shah II.
Raja Kecil telah berpindah ke Riau dan mentadbir Johor dari Riau. Sultan Abdul Jalil IV berpindah dari Kuala Pahang ke Kuala Terengganu dan pada tahun 1720 balik semula ke Kuala Pahang. Raja Kecil telah menitahkan Laksamana Nakhoda Sekam ke Kuala Pahang membunuh Sultan Abdul Jalil IV. Raja Sulaiman dan Tun Abas dibawa ke Riau tetapi Raja Sulaiman dan Tun Abas tidak mahu tunduk kepada Raja Kecil dan berpakat dengan Bugis Lima Bersaudara dan berjaya mengalahkan Raja Kecil dan menghalaunya balik ke Siak pada 1723.
Perluasan kuasa dan kematian
Pada tahun 1724–1726 Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah melakukan perluasan wilayah, dimulai dengan memasukan Rokan ke dalam wilayah Kesultanan Siak, membangun pertahanan armada laut di Bintan bahkan pada tahun 1740-1745 menaklukkan beberapa kawasan di Kedah. Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah mangkat pada tahun 1746 dan dimakamkan di Buantan yang kemudian diberi gelaran dengan Marhum Buantan. Kemudian, kedudukannya digantikan oleh puteranya, yang bernama Sultan Mahmud Abdul Jalil Shah.
^Andaya, L.Y., (1971), The Kingdom of Johor, 1641-1728: a study of economic and political developments in the Straits of Malacca, s.n.
^Andaya, L.Y. (1971). The Kingdom of Johor, 1641-1728: a study of economic and political developments in the Straits of Malacca. s.n.
^Coolhaas, W.P. (1964). "Generale Missiven der V.O.C.". Journal of Southeast Asian History. 2 (7). doi:10.1017/S0217781100003318.
^ Robert Van Niel (1966). Review of W. PH. Coolhaas 'Generale Missiven der V.O.C.' Journal of Southeast Asian History, 7, pp 150-151. doi:10.1017/S0217781100003318.
Donald James Goudie, Phillip Lee Thomas, Tenas Effendy, (1989), Syair Perang Siak: a court poem presenting the state policy of a Minangkabau Malay royal family in exile, MBRAS.
Christine E. Dobbin, (1983), Islamic revivalism in a changing peasant economy: central Sumatra, 1784-1847, Curzon Press, ISBN 0-7007-0155-9.
Journal of Southeast Asian studies, Volume 17, McGraw-Hill Far Eastern Publishers, 1986.
* Walaupun Sultan Hussein Muhammad Shah diangkat menjadi Sultan Johor, baginda tidak diiktiraf oleh Bendahara Tun Ali yang kekal bertuankan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dan baginda tidak mempunyai kuasa politik di Johor. ** Walaupun Sultan Ali Iskandar Shah diangkat menjadi Sultan Johor, baginda hanya memerintah di daerah Kesang manakala Temenggung Tun Daeng Ibrahim memerintah seluruh negeri Johor kecuali daerah Kesang. *** Temenggung Tun Daeng Ibrahim menjadi pemerintah Johor selepas beliau dan Sultan Ali Iskandar Shah menandatangani Perjanjian Setia 1855, namun perjanjian tersebut tidak menjadikan beliau sebagai Sultan Johor dan beliau kekal sebagai Temenggung Johor.