Laporan Barnes 1950 (nama rasmi laporan: Report of the Committee of Malay Education 1950) ialah laporan pendidikan yang disediakan oleh sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh L. J. Barnes[1], iaitu seorang Pengarah Latihan Sosial di Universiti Oxford, sekitar tahun 1950[2]. Laporan ini dihasilkan akibat desakan orang Melayu pada ketika itu yang mahu pihak British mengkaji serta memperbaiki sistem pendidikan untuk orang Melayu[1]. Laporan Barnes ini merupakan percubaan awal ke arah sistem pendidikan kebangsaan, di mana pendidikan itu sendiri akan membentuk perpaduan di antara kaum[3]. Antara intipati di dalam laporan ini ialah penggunaan satu sekolah sahaja bagi semua kaum di Persekutuan Tanah Melayu untuk pendidikan rendah[4], bahasa Melayu dan bahasa Inggeris merupakan bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan bahasa lain hanya akan dijadikan sebagai salah satu subjek yang diajar di dalam kelas[5].
Pihak British mencadangkan satu aliran pendidikan bagi semua kaum melalui Laporan Barnes kerana ingin mengekang pengaruh Komunis yang semakin berleluasa pada ketika itu[6], di mana tumpuan terarah kepada sekolah-sekolar vernakular terutamanya sekolah-sekolah Cina[7]. Namun begitu, laporan ini ditolak oleh mereka yang memperjuangkan pendidikan berasaskan kaum masing-masing; seperti sebahagian orang Melayu yang berpendapat pendidikan Melayu tidak diberikan perhatian sewajarnya dan masih menumpang kepada pendidikan Inggeris[8] serta layanan tidak sama rata terhadap penggunaan bahasa Melayu di sekolah[9]. Selain itu, sebahagian daripada orang Cina yang memperjuangkan pendidikan Cina turut menolak laporan ini[7] kerana cadangan penghapusan sekolah vernakular dan meminggirkan bahasa Mandarin.
Kesan daripada Laporan Barnes ini wujudnya Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Se-Malaya (Jiao Zong)[7], dan Laporan Fenn-Wu 1951 diterbitkan[4] bagi mempertahankan pendidikan Cina serta panduan mengintergrasikan pendidikan Cina dengan persekitaran di Persekutuan Tanah Melayu.
Sejarah
Latar belakang
Sewaktu penjajahan British di Malaya, imigran-imigran dari China dan India dibawa bersama dan menetap di rantau ini[10]. Kesan daripada penghijrahan ini, komposisi kaum di Tanah Melayu berubah secara drastik dengan kaum Cina dan India membentuk tiga kaum utama[11], selain daripada kaum Melayu. Sebelum Malaya mencapai kemerdekaan, kaum-kaum ini dilihat berpecah dan tidak berinteraksi antara satu sama lain. Ini disebabkan pihak British pada ketika itu tidak berminat untuk membangunkan Malaya, dan hanya berminat kepada hasil bumi yang terdapat di sini[10]. Terdapat empat jenis sistem persekolahan yang masing-masingnya terletak berjauhan di antara satu sama lain; sekolah Melayu, sekolah Cina, sekolah India dan sekolah Inggeris[12]. Sekolah-sekolah ini terletak di kawasan utama kaum tersebut seperti sekolah Melayu terletak di kawasan luar bandar[13], sekolah Cina terletak di kawasan perlombongan dan bandar[14] dan sekolah India terletak di kawasan perladangan[14]. Manakala, sekolah Inggeris pula terletak di bandar-bandar dan biasanya kaum Cina dan India yang berpendapatan tinggi menghantar anak-anak mereka di sini[14].
Selepas Perang Dunia Kedua dan pengunduran tentera Jepun dari Malaya, pihak British kembali ke rantau ini dengan tugas baru iaitu menyatupadukan semua kaum melalui sistem pendidikan yang bersepadu[11]. Pada ketika itu, semangat nasionalisma dari kalangan orang Melayu semakin memuncak yang ingin menuntut kemerdekaan dari pihak British[8]. Terdapat juga beberapa orang Melayu yang memperjuangkan pendidikan Melayu mendesak pihak British agar tidak meminggirkan pendidikan untuk orang Melayu dan kepentingan bahasa Melayu[9]. Selain daripada masyarakat Melayu, masyarakat Cina juga semakin giat menubuhkan dan memperkembangkan sekolah berpendidikan Cina[15], kesan daripada revolusi menyebabkan terbentuknya Republik China di mana mereka memansuhkan sistem kerajaan Diraja[15]. Ramai guru yang dihantar dari negara China ke Malaya untuk mengajar murid-murid di sekolah Cina, menyebabkan terbentuknya identiti masyarakat Cina yang masih setia kepada negara asal mereka[10].
Perubahan dasar pendidikan
Bagi mengawalselia polisi pendidikan di Malaya, dan mengehadkan pengaruh ideologi politik luar, pihak British mula mewujudkan beberapa polisi seperti Enakmen Pendaftaran Sekolah pada tahun 1920[10]. Enakmen ini diwujudkan bertujuan untuk mengawal perkembangan sekolah Cina[10], di mana pihak British melihat sekolah-sekolah ini dijadikan tempat untuk mengembangkan pengaruh ideologi politik kerajaan Republik China. British juga memperkenalkan Kanun Buruh, yang memaksa pihak pengurusan ladang menyediakan sekolah vernakular untuk masyarakat India sekiranya terdapat lebih daripada 10 orang anak buruh yang berumur di antara 7 tahun hingga 14 tahun. Tidak seperti sekolah Cina yang mendapat sokongan dari negara China, sekolah India memiliki mutu pendidikan yang agak mundur kerana kekurangan guru-guru terlatih dan keadaan fizikal sekolah yang tidak terurus[4].
Pada tahun 1945, pihak British menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh H.R Cheeseman, seorang Timbalan Pengarah Pendidikan di bawah pemerintahan Malayan Union pada ketika itu[9], dan menghasilkan Laporan Pelajaran Cheeseman 1946. Objektif laporan ini dihasilkan ialah untuk menyusun kembali sistem pendidikan di Malaya supaya ianya dapat dikembangkan pada masa akan datang[8]. Antara cadangan di dalam laporan ini ialah pendidikan asas secara percuma dalam semua bahasa pengantar dan bahasa Inggeris diajar kepada murid-murid di peringkat rendah. Namun begitu, dasar pendidikan di bawah Laporan Pelajaran Cheeseman ini tidak dapat dilaksanakan, berikutan kekurangan guru bahasa Inggeris untuk mengendalikan dasar ini[1] dan kurangnya sokongan daripada kaum Melayu kerana mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris di sekolah[11].
Jawatankuasa Barnes
Pada 1 Februari1948, kerajaan Malayan Union yang telah ditubuhkan oleh penjajah British telah dibatalkan akibat tentangan hebat daripada orang Melayu pada ketika itu, dan digantikan dengan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Kegagalan Laporan Pelajaran Cheeseman serta semangat nasionalisma orang Melayu yang semakin memuncak[16] akibat protes terhadap Malayan Union menyebabkan pihak British mencadangkan satu sistem pendidikan yang bersepadu dan mencakupi kesemua kaum. Terdapat juga golongan Melayu yang mempertahankan pendidikan Melayu mendesak pihak British untuk mengambil langkah untuk memperbaiki mutu sistem pendidikan Melayu[17]. Hasilnya, satu jawatankuasa telah dibentuk dan diketuai oleh L. J. Barnes pada tahun 1950 bagi meneliti dan memberi cadangan untuk menyelesaikan masalah ini. Selain itu, jawatankuasa Barnes ini juga diwujudkan bagi melihat permasalahan berkaitan isu perpecahan kaum yang sedang berlaku di Tanah Melayu serta langkah membentuk satu bangsa yang memiliki identiti tersendiri[6].
Jawatankuasa Barnes ini terdiri daripada sembilan wakil daripada kaum Melayu dan lima wakil orang Inggeris[1] seperti berikut:
Tuan Leonard Barnes, Pengarah Latihan Sosial di Universiti Oxford (Pengerusi)
Tuan Syed Esa bin Alwee, Nazir Sekolah-Sekolah Melayu, Batu Pahat, Johor
Tuan Syed Nasir bin Ismail, Penolong Nazir Sekolah-Sekolah Melayu, Johor Bahru, Johor
Encik Mohamed Nor bin Suleiman, wakil kumpulan guru-guru Johor
Salah seorang daripada ahli jawatankuasa Barnes ini ialah Aminuddin Baki[19], seorang tokoh pendidikan dan presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada ketika itu. Beliau mencadangkan kepada jawatankuasa bahawa perlunya ditubuhkan sistem sekolah kebangsaan untuk semua kaum bagi menggantikan sistem sekolah vernakular atau sekolah berasaskan perkauman[19]. Selain itu, jawatankuasa Barnes mencadangkan pelajar-pelajar akan mengikuti pendidikan rendah percuma di sekolah kebangsaan selama enam tahun[20], dan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang boleh meneruskan pengajian mereka di peringkat menengah di sekolah Inggeris[20].
Intipati laporan
Pada bulan Jun 1951, Laporan Barnes diterbitkan kepada umum. Laporan ini pada asalnya bertujuan untuk memperbaiki mutu sistem pendidikan Melayu, namun begitu kandungannya lebih kepada cadangan untuk merombak kembali sistem pendidikan di Tanah Melayu yang akan meliputi semua kaum[21].
Objektif
Tujuan utama Laporan Barnes ini disediakan adalah untuk menyiasat keadaan dan kemudahan pendidikan yang disediakan untuk orang Melayu. Berdasarkan kepada tujuan utama ini, Laporan Barnes menghuraikan dengan lebih mendalam syor-syor berkaitan dengan sistem sekolah vernakular Melayu, pemilihan pelajar-pelajar untuk diserap ke kolej perguruan Melayu, bagaimana untuk meningkatkan pencapaian akademik dan kemahiran pedagogi pelajar kolej perguruan ini, menambahbaik kemahiran bahasa Inggeris di kalangan orang Melayu, dan menambahbaik pengurusan organisasi[22].
Selain itu, Laporan Barnes turut menyebut mengenai tiga tujuan utama pendidikan Melayu yang dirumuskan seperti berikut.
"Kami percaya pendidikan Melayu akan:
Memupuk seseorang individu untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keperibadian yang perlu dimiliki.
Menggalakkan dan membolehkan komuniti Melayu berada di kedudukan yang sepatutnya berhubung dengan kumpulan komuniti yang lain dalam masyarakat majmuk di Tanah Melayu.
Membantu dalam pembentukan masyarakat yang bersatu, atau negara yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat."
Cadangan
Bagi mencapai objektif ini, Laporan Barnes menyarankan agar diwujudkan sekolah kebangsaan untuk semua kaum[23] dan menggunakan hanya satu sistem pendidikan sahaja[16]. Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dijadikan sebagai bahasa pengantar di sekolah berpendidikan rendah[24], sementara bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar di sekolah berpendidikan menengah[24]. Bahasa-bahasa lain akan dijadikan matapelajaran di sekolah yang hanya akan diajar jika terdapat keperluan.
Laporan Barnes berpendapat bahawa sistem pendidikan sekolah kebangsaan ini mampu melahirkan pelajar-pelajar yang mahir bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris[17], serta pelajar cemerlang akan diserap masuk ke sekolah menengah Inggeris. Ibubapa pelajar dari kaum lain digalakkan untuk bersama-sama terlibat dalam pembentukkan identiti satu kaum melalui sistem pendidikan ini[25]; dan mereka berhak diberikan layanan yang adil oleh kaum Melayu sebagai warganegara yang setaraf[25].
Ringkasan cadangan dan idea yang terdapat dalam Laporan Barnes ini ialah:
Sistem sekolah kebangsaan yang mengumpulkan pelajar dari semua kaum, menggantikan sistem sekolah vernakular[26].
Pendidikan rendah di sekolah kebangsaan menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Pendidikan menengah masih lagi menggunakan bahasa Inggeris sahaja sebagai bahasa pengantar.
Untuk mengurangkan jumlah sekolah vernakular di seluruh Tanah Melayu termasuklah sekolah vernakular Melayu[17], Laporan Barnes mencadangkan agar kerajaan pusat dan kerajaan tempatan tidak perlu lagi membiayai kewangan kepada sekolah-sekolah ini[21]. Ini akan memaksa sekolah vernakular ditutup akibat kekurangan dana untuk menampung operasi[21]. Sekolah kebangsaan yang dicadangkan ini membolehkan pelajar-pelajar dari semua kaum dapat berinteraksi antara satu sama lain, sekaligus memupuk perpaduan di antara mereka[2]. Walaubagaimana pun, Laporan Barnes ini tidak mengetengahkan cadangan atau idea untuk mengendalikan sistem pendidikan Cina dan India yang digunakan oleh kaum-kaum tersebut sebelum ini[5]. Terdapat juga cadangan kurikulum yang akan digunakan di sekolah kebangsaan sekiranya ia dilaksanakan seperti pembelajaran subjek Sains, Sains Rumahtangga dan Kemahiran Hidup[5].
Kekangan
Laporan Barnes turut menyebut mengenai beberapa kekangan untuk melaksanakan cadangan-cadangan yang telah dijelaskan sebelum ini. Terdapat empat kekangan yang dikenalpasti, iaitu kewangan, jumlah guru, buku-buku teks dan fasiliti sekolah.
Sambutan
Reaksi bercampur-baur ditunjukkan oleh masyarakat umum pada ketika itu, terutamanya mereka yang memperjuangkan sistem pendidikan kaum masing-masing. Bagi kaum Cina dan India, mereka berpendapat bahawa Laporan Barnes ini berat sebelah kerana tiada cadangan untuk memelihara sistem pendidikan mereka masing-masing[21] dan merasakan pihak British ingin menghapuskan tradisi dan kebudayaan mereka[17]. Selain itu, kaum Cina dan India yang membentuk antara kaum terbesar di Tanah Melayu ini juga perlu diberi perhatian oleh pihak British bagi pembentukan identiti negara Malaya[26]. Sesetengah daripada kaum Melayu juga membantah Laporan ini kerana mereka merasakan bahasa Melayu masih lagi tidak dimartabatkan sepenuhnya dan pelajar terikat dengan pembelajaran dalam bahasa Inggeris[9].
Kesatuan Persekutuan Guru-guru Melayu Semenanjung (KPGMS) telah ditubuhkan pada bulan April 1946[27]. Kesatuan ini giat memperjuangkan sistem pendidikan Melayu agar setanding dengan sistem pendidikan lain dan relevan mengikut peredaran zaman[27]. KPGMS membantah saranan di dalam Laporan Barnes kerana laporan ini dilihat lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris[28], terutamanya di peringkat menengah dan tinggi. Persatuan Guru Melayu Kedah (PGMK) juga senada dengan KPGMS yang membantah cadangan sekolah kebangsaan kerana pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu hanya digunapakai di peringkat rendah bermula dari tahun satu hingga tiga sahaja[18], dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bermula dari tahun empat hingga enam[18].
Terdapat juga sebahagian daripada kaum Melayu yang menyokong Laporan Barnes ini. Presiden UMNO pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman menyatakan sokongan beliau kepada laporan ini semasa berucap dalam majlis Perhimpunan Agung UMNO[29].
Cina
Kebanyakkan masyarakat Cina di Tanah Melayu antara yang paling lantang membantah Laporan Barnes ini[4]. Mereka berpendapat bahawa Laporan Barnes ini secara tidak langsung akan menghapuskan sistem pendidikan mereka serta kebudayaan dan tradisi yang telah mereka ikuti selama ini[5]. Mereka juga beranggapan bahawa Laporan Barnes ini berat sebelah kerana ketiadaan wakil dari kaum Cina dalam jawatankuasa yang terlibat dalam menyediakan laporan ini.
Beberapa orang yang memperjuangkan sistem pendidikan Cina ini membentuk satu gabungan yang diberi nama Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Se-Malaya (Jiao Zong)[30] pada bulan Disember 1951. Presiden pertama pertubuhan ini ialah Lim Lian Geok, iaitu generasi pertama migran dari negara China[30]. Gabungan ini terdiri daripada persatuan guru-guru sekolah Cina yang telah ditubuhkan di peringkat negeri. Beberapa tuntutan Jiao Zong kepada pihak British antaranya ialah sekolah vernakular harus diberi layanan sama rata seperti sekolah kebangsaan[28] dan memudahkan kemasukkan guru-guru ke sekolah Cina bagi membendung masalah kekurangan guru di Tanah Melayu[28].
^ abAbu Bakar, Anna Lynn; Mohd. Esa, Sohaimi; Ationg, Romzi; Jawing, Esther (30 November 2021). "THE ENGLISH LANGUAGE IN THE MALAYSIAN EDUCATION SYSTEM"(PDF). International Journal Of Education, Psychology And Counselling (IJEPC). 6 (43 (November 2021)): 122–130. ISSN0128-164X. Dicapai pada 9 Disember 2022.