Kampung (کامڤوڠ) atau desa (ديسا) menurut takrifan universal, ialah sebuah penempatan manusia di kawasan luar bandar. Biasanya ia lebih kecil daripada pekan.
Pengelasan desa
Menurut Rouceck dan Warren, desa boleh dikelaskan berdasarkan berbagai-bagai kriteria:
Luas wilayah
Kampung terkecil, antara 0-2 km² luasnya
Kampung kecil, antara 2 - 4 km² luasnya
Kampung sederhana, antara 4 - 6 km² luasnya
Kampung besar, antara 6 - 8 km² luasnya
Kampung terbesar, antara 8 - 10 km² luasanya
Kepadatan penduduk
Kampung terkecil, dengan kepadatan penduduk di bawah 100 orang /km²
Kampung kecil, dengan kepadatan penduduk antara 100 - 500 orang /km²
Kampung sederhana, dengan kepadatan penduduk antara 500 - 1,500 orang /km²
Kampung besar, dengan kepadatan penduduk antara 1,500 - 3,000 orang /km²
Kampung terbesar, dengan kepadatan penduduk antara 3,000-4,500 orang /km²
Tingkat perkembangan
Kampung kurang maju: Desa yang belum memanfaatkan potensi yang ada kerana keterbatasan kemampuan masyarakatnya
Kampung membangun: Desa yang baru memanfaatkan potensi yang ada tetapi kekurangan kewangan
Desa maju: Desa yang sudah memanfaatkan semua potensi yang ada secara maksimum.
Mata pencarian
Kampung pertanian, iaitu desa yang sebahagian besar penduduknya hidup bergantung kepada sektor pertanian
Kampung perindustrian, iaitu desa yang sebahagian besar penduduknya bekerja dalam sektor perindustrian
Kampung perikanan, iaitu desa yang sebahagian besar penduduknya bekerja sebagai nelayan.
Di Brunei, kampung secara rasmi ialah pembahagian pentadbiran peringkat ketiga dan yang terakhir. Kampung merupakan sub-pembahagian mukim, yang mana mukim pula merupakan sub-pembahagian daerah. Komuniti kampung diketuai oleh ketua kampung. Biasanya kampung mempunyai kemudahan komuniti asas seperti sekolah rendah dan agama, masjid, dan balai raya atau dewan kemasyarakatan.
Malaysia
Di Malaysia, istilah kampung dirujukkan pada satu petempatan yang penduduknya kurang daripada 1,000 orang di sesebuah kawasan terutamanya di luar bandar atau mana-mana petempatan penduduk masih mengekalkan identiti asalnya seperti organisasinya dan cara pemilikan tanah bagi penduduknya. Dalam organisasi sesebuah kampung, ia terdiri daripada Penghulu(ketua), Naib Penghulu, imam, bilal, setiausaha, bendahari dan dibantu oleh beberapa ahli jawatankuasa yang dilantik mengikut tugas dan peranannya dalam menentukan hal ehwal serta kebajikan penduduk terutamanya.