Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin (lahir 22 Disember 1993)[a] ialah seorang penyanyi, penulis lagu, model, pelakon, penulis dan pengacara wanita Malaysia.[1] Beliau mula mendapat perhatian meluas menerusi telefilem pertama lakonannya yang bertajuk Dee,[2][3] dan sejak itu, beliau telah muncul dalam pelbagai kredit lakonannya dalam televisyen dan filem termasuk Sejuta Rasa Buat Adelia (2018) dan Busker (2018).[4]
Bagi kerjayanya dalam bidang muzik, Daiyan telah merakamkan sejumlah lagu yang telah menjadi kejayaan komersial termasuk "Cinta Suka Sayang Kamu", "Kita Manusia" dan "If I".[5] Beliau juga terkenal dengan lagu single dalam genre balada, "Penat", watak sebagai Aaida dalam Projek: Anchor SPM dan Mia dalam Projek: High Council. Daiyan ialah seorang ikon milenial muda yang sangat berpengaruh di kalangan generasi muda dan juga ialah seorang duta bagi pelbagai jenama, termasuk Samsung. Daiyan telah menerbitkan buku beliau sendiri yang bertajuk Tulisan pada 26 Ogos 2023.
Kehidupan awal
Daiyan Trisha dilahirkan pada 22 Disember 1993 di Bangi, Selangor.[6] Beliau ialah anak kedua daripada lima beradik kepada pasangan Samsiah Mohd Nor, seorang penulis novel terkenal[1] dan Mohd Nasaruddin Mohamed. Daiyan pernah bekerja sebagai pelayan restoran dalam tempoh jangka pendek semasa menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).[7] Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Dee[1] gemar membaca dan bersenam di waktu lapang. Daiyan merupakan pemegang Diploma Perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Ijazah Sarjana muda pentadbiran perniagaan di Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL).[8][9]
Kerjaya
Daiyan mula memuat naik klip video beliau menyanyikan lagu saduran di YouTube pada usia 16 tahun.[10] Empat tahun kemudian, iaitu pada 2013, beliau mula bergiat aktif dalam dunia hiburan tanah air ketika berusia 20 tahun. Beliau pertama kali mendapat perhatian umum menerusi telefilem bertajuk Dee yang disiarkan di Astro Ceria.[11][2][12] Telefilem ini turut menghasilkan sebuah siri TV bertajuk sama yang disiarkan pada 2015.[13]
Pada tahun yang sama, Daiyan memulakan kerjaya muziknya dengan melancarkan single pertama, "Kerana Kau", ia kemudian diikuti oleh single kedua, "Cinta Suka Sayang Kamu" (2014) menampilkan duet bersama juara Akademi Fantasia musim ke-10, Faizul Sany.
Pada tahun 2015, beliau telah dilantik sebagai duta dan jurucakap produk kecantikan Fair & Lovely.[14][15] Pada tahun yang sama juga, beliau bersama Marsha Londoh dipilih sebagai Puteri Disney.[16]
Filem kedua beliau, Busker (2018) yang menggandingkan beliau bersama Hafeez Mikail ditayangkan pada 11 Januari 2018, yang mana Daiyan memegang watak sebagai Vera.[20][21] Ia turut dibintangi oleh Mas Khan, Lia Natalia dan Anas Ridzuan. Beliau menerima pencalonan bagi kategori Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia ke-30 bagi persembahannya dalam filem ini.
Daiyan menjadi bintang utama bersama Aliff Aziz dalam drama Sejuta Rasa Buat Adelia, yang diadaptasi daripada novel Ulam Kasih Sambal Cinta karya Norzailina Nordin. Beliau memegang watak sebagai Adelia Naurah, seorang cef di Malay Kitchen.[22] Beliau seterusnya melancarkan lagu "Brutal" yang mana muzik videonya telah difilemkan di Los Angeles, California, A.S..[23]
Pada Ogos 2018, Daiyan Trisha bersama komposer muda, Nik Qistina bekerjasama dengan HP Malaysia untuk menerbitkan lagu dan video muzik yang memberi fokus kepada ekspresi diri dalam kalangan remaja, yang mana mereka mencipta lagu yang bercerita tentang ekspresi diri dengan merangkul keperibadian dan mengatasi kesukaran untuk meraih kejayaan.[24] Beliau telah diberi kepercayaan menyanyikan lagu tema siri TV Disney Channel, Wizards of Warna Walk yang bertajuk "There's Magic Here".
Daiyan kemudian muncul dengan lagu "I Wanna See Ya" pada Oktober 2019, lagu ini ialah hasil nukilan bersama Daiyan dan Juan Ariza.[25][26] Beliau mengadakan konsert jelajah Asia Tenggara bersama penghibur kelahiran Amerika Syarikat (AS), Sam Tsui pada hujung 2019.[27][28]
Daiyan menerbitkan album studio pertamanya, yang menggunakan namanya sebagai tajuk album, dikeluarkan pada November 2019 yang mana ia diterbitkan olehnya sendiri tanpa kerjasama dengan mana-mana syarikat rakaman.[29] Pada Julai 2020, beliau muncul dengan single terbaharu, "On My Way".[30][31]
Kemudian pada Oktober 2020, Daiyan muncul dengan lagu bertajuk "Cahaya", yang diterbitkan bagi meraikan ulang tahun ke-10 jenama penjagaan kulit Jepun, Hada Labo.[32][33]
Daiyan juga menceburi bidang pengacaraan, dengan mengacarakan rancangan Renovate yang bersiaran di Naura HD. Selain itu, beliau juga muncul dalam drama pendidikan Projek: Anchor SPM yang berkisarkan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekitar 2000. Drama arahan Razaisyam Rashid itu turut dibintangi oleh Aedy Ashraf dan Shasha Abedul.[34][35] Dalam drama ini, beliau memegang watak sebagai Aaidaa. Pada Mac 2021, Daiyan bersama Alif Satar menjadi pengacara baharu Muzik Muzik.[36][37] Bagaimanapun hanya selepas 6 bulan, beliau telah tamat kontrak sebagai pengacara Muzik Muzik dan tempatnya digantikan oleh Sissy Imann.[38]
Daiyan melancarkan single terbaharunya, "Penat" ciptaan beliau sendiri pada 20 Ogos 2021.[39][40] Beliau berlakon bersama Aiman Hakim Ridza dalam Semanis Senyumanmu dengan memegang watak sebagai Azra. Drama ini disiarkan di Disney+ Hotstar bermula 1 Jun 2021 dan TV3 bermula 7 Oktober.
Daiyan juga telah menerbitkan sebuah buku yang bertajuk Tulisan by Daiyan Trisha terbitan Nukilan Biruni Publication.[47] Dikeluarkan pada 26 Ogos 2023, buku ini memuatkan sebanyak 222 puisi dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang ditulisnya sejak 2018.[48][49]
Beliau berlakon bersama Hun Haqeem dalam drama W: Two Worlds yang memulakan tayangan perdana di platform penstriman, Viu bermula 30 November 2023.[50][51] Beliau memegang watak sebagai Izara, seorang doktor dan anak kepada seorang pelukis komik.[52]
Pada 7 Jun 2024, Daiyan muncul bersama single terbaharu, "My Home Is In Your Arms" hasil nukilan sepenuhnya oleh beliau. Muzik videonya telah diterbitkan bagi mempromosikan single ini, diarahkan oleh Nadhir Nasar dan dibintangi oleh Meerqeen.[53][54][55]
Album kedua Daiyan, Lovelorn dikeluarkan pada 4 Oktober 2024 di bawah Celeste Studio. Album ini mengandungi 11 lagu ciptaan beliau sendiri yang mana salah satunya ialah lagu yang ditulisnya pada tahun 2019. Selain itu, beliau juga muncul dengan persembahannya di Daiyan Trisha Live in Surround Sound pada 1 dan 2 November di Aurum Theatre TRX Kuala Lumpur.[56][57][58][59]
Bakat
Sebagai penyanyi, Daiyan lebih suka menyanyikan lagu ciptaan sendiri dan kurang berminat menyanyikan lagu ciptaan komposer lain. Beliau berkata kepada mStar Online pada Februari 2022: "Mungkin sebab saya penyanyi dan penulis lagu. Jadi, saya tak berapa suka untuk nyanyi lagu yang orang lain cipta. Semua lagu yang saya nyanyikan memang ciptaan saya sendiri. Mungkin itu cara saya dan nak teruskan apa yang saya suka".[60]
Beliau memetik penyanyi Amerika Syarikat, Taylor Swift sebagai idola dan pengaruhnya dalam bidang muzik.[1]
Kehidupan peribadi
Daiyan mendedahkan dalam satu temubual pada Oktober 2017 bahawa beliau pernah berdepan dengan kemurungan dan pelbagai masalah berkaitan pelajaran, kerjaya, peribadi dan keluarga sehingga gagal mencari jalan penyelesaian dan tempat untuk mengadu.[61]
Pada Mac 2019, Daiyan mengumumkan dalam satu klip video di akaun Instagram miliknya bahawa impiannya untuk memiliki rumah sendiri pada usia 25 tahun tercapai.[62][63]
Beliau berkongsi dalam satu rakaman video di YouTube bahawa beliau telah menghadiahkan kereta Mercedes-Benz untuk ibu bapa sebagai kejutan ulang tahun perkahwinan ibu bapanya pada November 2020.[64]
Aktivisme
Pada Mac 2020, Daiyan menderma sebanyak RM7,000 kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), keluarga serta individu yang memerlukan bantuan susulan penularan pandemik COVID-19 di Malaysia.[65][66] Pada tahun 2021, beliau mendaftarkan diri sebagai sukarelawan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Daiyan berkata: "Sebenarnya memang sudah lama teringin hendak menjadi sukarelawan untuk program vaksinasi dan rasanya ini masa yang tepat. Jika dilihat sebelum ini pun, saya memang kerap sebarkan kesedaran dan bersuara tentang kepentingan pengambilan vaksin. Akhirnya impian untuk membantu masyarakat sepanjang musim pandemik tercapai juga,".[67]