Bengkulu terletak di Sesar Sunda yang cenderung mengalami gempa bumi dan tsunami. Pada bulan Jun 2000, sebuah gempa bumi mengakibatkan kerosakan serta kematian sekurang-kurangnya 100 orang. Pada bulan September 2007 pula, satu siri gempa bumi melanda Bengkulu dan membunuh 13 orang. [1]
Suatu laporan yang terkini meramalkan bahawa Bengkulu akan mengalami "risiko pembanjiran pada beberapa dekad yang akan datang, akibat gempa bumi bawah laut yang diramalkan di sepanjang pantai Sumatera" [5]
Sejarah
Syarikat Hindia Timur Inggeris mengasaskan sebuah pusat perdagangan lada hitam dan garison yang dapat bertahan lama di Bengkulu (Bencoolen) pada tahun 1685. Pada tahun 1714, mereka membina "Kubu Marlborough" di kota itu, dengan kubu itu kini masih wujud. Bagaimanapun, pusat perdagangan tersebut tidak pernah mendatangkan sebarang untung kepada pihak British, dengan kawasan itu didapati tidak selesa kepada orang Eropah. Lebih penting lagi, mereka tidak berupaya mendapat lada hitam yang mencukupi untuk membeli.
Walaupun kesukaran tersebut, pihak British masih gigih berusaha dan mengekalkan kehadiran di sana selama 150 tahun sebelum menyerahkannya kepada Belanda sebagai sebahagian Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 untuk menumpukan perhatian kepada Melaka.[6] Seperti dengan bahagian-bahagian Indonesia yang lain, Bengkulu merupakan sebuah tanah jajahan Belanda sehingga selepas Perang Dunia II.
Semasa pemenjaraan Sukarno oleh pihak Belanda pada awal dekad 1930-an, bakal presiden Indonesia yang pertama itu tinggal di Bengkulu buat tempoh yang singkat. Di sini, beliau bertemu dengan bakal isterinya, Fatmawati, dengan pasangan itu dikurniakan banyak cahaya mata. Yang termasyhur antara anak-anak mereka ialah Megawati Sukarnoputri, Presiden Indonesia wanita yang pertama.