Zaman Gelap Yunani (s.1200–800 SM) dahulu dianggap sebagai dua tempoh berterusan dalam sejarah Yunani: Zaman Gangsa Pascapuri (sekitar 1200–1050 SM)[1] dan Zaman Besi Prasejarah atau Zaman Besi Awal (sekitar 1050–800 SM), dengan Zaman Besi Awal merangkumi semua fasa gaya seramik dari Protogeometrik hingga Geometrik Pertengahan[1] dan berlangsung sehingga permulaan Zaman Besi Protosejarah sekitar 800 SM.[2][3] Pada masa kini, istilah Zaman Gelap Yunani semakin ditinggalkan, dan kedua-dua tempoh tersebut tidak lagi dianggap "kabur" atau tidak jelas.[4]
Pada permulaan Zaman Gangsa Pascapuri, ketika berlakunya keruntuhan tamadun-tamadun Zaman Gangsa Lewat di Laut Mediterranean Timur sekitar 1200–1150 SM, apabila istana-istana dan kota-kota besar tamadun Mykenai dimusnahkan atau ditinggalkan. Pada masa yang sama, tamadun Het turut tergendala, dengan bandar-bandar dari Troia hingga Gaza dimusnahkan. Di Mesir, Kerajaan Baru terjerumus dalam huru-hara, membawa kepada Tempoh Peralihan Ketiga Mesir. Selepas keruntuhan ini, terdapat lebih sedikit penempatan-penempatan yang lebih kecil, yang mencadangkan berlakunya kebuluran besar dan pengurangan populasi. Di Yunani, tulisan Linear B yang digunakan oleh birokrat-birokrat Mykenai untuk menulis bahasa Yunani tidak lagi digunakan, dan abjad Yunani hanya berkembang pada permulaan Zaman Besi Protosejarah, sekitar 800 SM.[5]
Peperangan Mediterranean dan Bangsa Laut
Kejatuhan orang Mykenai dalam keruntuhan Zaman Gangsa dipercayai adalah kerana pencerobohan bangsa Doria atau Laut, tetapi Bangsa Laut mungkin cuma lanun-lanun yang bersatu akibat keruntuhan tersebut, dan berasal dari pelbagai tempat, seperti kelasi, pekerja, atau askar upahan, yang berasal dari etnik-etnik seperti dari tanah Lukka, tetapi tidak semestinya atau secara khususnya cuma orang Akhaia (Ekwesh).[6]
Pada masa ini, s. 1200–1150 SM, pemberontakan berskala besar berlaku di beberapa bahagian timur Mediterranean. Menulis pada tahun 2013, Jonathan Hall menganggap bahawa: "Keruntuhan sistem politik dan ekonomi yang berpusat di istana-istana Mykenai menimbulkan iklim ketidakstabilan dan ketidakamanan dan sesetengah orang—sama ada atas sebab keselamatan atau keperluan ekonomi—memutuskan untuk meninggalkan tempat tinggal mereka dahulu dan mencari rezeki di tempat lain."[7]
Zaman Gangsa Pascapuri
Istana-istana Mykenai mula jatuh sekitar 1200 SM, dan proses itu berakhir beberapa dekad kemudian, disebabkan oleh ketegangan dalaman di dalam kota-kota yang menolak kuasa dan pentadbiran istana, dibuktikan dengan pelenyapan tulisan Linear B dan seni bina istana. Terdapat juga konflik, di wilayah Boeotia, antara politi-politi Mykenai seperti Orchomenos, Gla dan Thebai. Walaupun Thebai dan Eleon masih penting ketika zaman Pertengahan Helladik IIIC Lewat, s. 1170–1100 SM, iaitu semasa tapak-tapak lain yang lebih kecil di sekelilingnya mula berkembang, istana-istana sudah tidak wujud lagi di samping seni dan istiadat pengebumiannya.[8]
Sebaliknya, di pulau Euboea, tapak Lefkandi berkembang pesar dalam tempoh Pascapuri ini (1200–1050 SM) dan menjadi tempat penting kerana ia mengawal dua teluk dan kapal-kapal yang melaluinya.[9] Selain itu, bukti telah muncul tentang kehadiran baru orang Hellene di Cyprus sub-Mykenai (s. 1100–1050 SM) dan di pantai Syria di Al-Mina. Walau bagaimanapun, orang yang bertutur dalam bahasa Yunani tiba di Cyprus pada akhir abad ke-13 hingga ke-11 SM, tetapi mereka tidak menjajah pulau tersebut. Mereka berasimilasi dalam masyaraka sebagai "pendatang ekonomi dan budaya dari kawasan pinggiran ke pusat."[10]
Pengakhiran
Rekod arkeologi di banyak tapak menunjukkan bahawa pemulihan ekonomi Yunani telah berkembang pesat menjelang awal abad ke-8 SM. Tanah perkuburan, seperti Kerameikos di Athens atau Lefkandi, serta tempat-tempat pemujaan seperti Olympia, yang baru diasaskan di Delphi atau Heraion di Samos, kuil berdiri bebas pertama yang besar, dipenuhi dengan persembahan—termasuk barangan dari Timur Dekat, Mesir, dan Itali yang diperbuat daripada bahan eksotik seperti ambar dan gading.[perlu rujukan] Eksport tembikar Yunani menunjukkan hubungan dengan pantai Levant di tapak seperti Al-Mina dan dengan wilayah budaya Villanova di utara Rom.[11]
Hiasan tembikar menjadi lebih halus dan menunjukkan adegan berfigura yang selari dengan kisah-kisah Epik Homerik. Alat dan senjata besi juga bertambah baik. Perdagangan Mediterranean yang diperbaharui membawa bekalan baru tembaga dan timah untuk menghasilkan pelbagai objek gangsa yang halus, seperti kaki tripod yang dijadikan hadiah dalam permainan pengebumian yang diraikan oleh Akhilleus untuk Patroklos.[perlu rujukan] Kawasan pantai lain di Yunani selain Euboea sekali lagi menjadi peserta aktif dalam pertukaran komersial dan budaya di Mediterranean timur dan tengah, dan komuniti berkembang dengan pemerintahan oleh sekumpulan elit bangsawan, bukannya oleh seorang basileus atau ketua suku seperti pada zaman sebelumnya.[12][halaman diperlukan]
^"The History of Greece". Hellenicfoundation.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-12-07. Dicapai pada 2024-04-21.: "Tempoh dari 1100 hingga 800 B.C. dikenali sebagai Zaman Gelap Yunani. Seperti yang diterangkan dalam Thesaursus Yunani Purba: Di seluruh tempat terdapat tanda-tanda kemerosotan budaya yang mendadak. Beberapa tapak, yang dahulunya didiami, kini ditinggalkan."
^Martin, Thomas R., (3 Oktober 2019). "The Dark Ages of Ancient Greece"Diarkibkan 2020-10-26 di Wayback Machine: "... Timur Dekat kembali pulih lebih cepat daripada Yunani, menamatkan Zaman Gelapnya sekitar 900 SM ... Penghujung Zaman Kegelapan Yunani secara tradisinya diletakkan kira-kira 150 tahun selepas itu, sekitar 750 SM. ..." Dicapai 24 Oktober 2020.
^Knodell 2021, p. 11: "[T]he pejorative notions and interpretive bias that the term 'Dark Age' introduces have led to the adoption of the more neutral 'Early Iron Age' as the predominant referent".
^Middleton, Guy D., (2018). "‘I would walk 500 miles and I would walk 500 more’..."Diarkibkan 2024-04-25 di Wayback Machine, in: Change, Continuity, and Connectivity, pp. 109-110: "[T]he Sea Peoples [were] pirate bands that developed out of the circumstances of collapse. These groups, Hitchcock and Maeir note, could be ethnically diverse […] coming from […] the Lukka, for example […] others relatively new c. 1200 BC . [And if] Ekwesh do refer to Achaeans […] there is still no necessary reason […] to assume they were all, or even predominantly Greek."
^Knodell 2021, p. 118: "Palace destructions at Orchomenos, Gla, and Thebes may be the direct or partial result of conflicts between two polities represented by these three centers. The proximity of Thebes and Orchomenos would have been a source of tension between these two polities [...] Not all palatial and palace-connected sites were destroyed at the end of LH IIIB, and several were reoccupied after a hiatus. Both Thebes and Eleon, for example, have significant occupation until LH IIIC Middle, when other centers in their vicinity start to thrive".
Chew, Sing C. (2001). "3, The second-millennium Bronze Age: Crete and Mycenaean Greece 1700 BC – 1200 BC". World Ecological Degradation: Accumulation, Urbanization and Deforestation 3000 BC ‒ AD 2000. Rowman Altamira. ISBN0-7591-0031-4.
Langdon, Susan (2010). Art and Identity in Dark Age Greece, 1100–700 BC. Cambridge University Press.
Latacz, J. (1994). "Between Troy and Homer : The so-called Dark Ages in Greece". Storia, Poesia e Pensiero nel Mondo antico. Studi in Onore di M. Gigante. Rome: Bibliopolis.