Upacara pembukaan ini diarahkan oleh pengarah dan penerbit filem Zhang Yimou, yang juga pernah mengarahkan upacara pembukaan dan penutupan Sukan Olimpik Musim Panas 2008.[4] Beliau telah menjadi individu pertama yang mengarahkan upacara pembukaan Sukan Olimpik Musim Panas dan Musim Sejuk.[5] Upacara ini telah melibatkan 3,000 orang pelakon yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda.[6]
Kebetulan upacara pembukaan diadakan bersempena dengan Lichun, salah satu musim pertanian dalam kalender tradisional Cina, maka upacara ini bermula dengan sebuah persembahan mengenai permulaan musim bunga. Persembahan artistik yang lain termasuklah pembentukan cincin Olimpik daripada "kuib ais" serta penghormatan kepada rakyat dan petugas barisan hadapan COVID-19. Emping salji turut merupakan satu unsur yang amat penting dalam upacara ini dan telah muncul dalam reka bentuk papan tanda yang tertera nama delegasi, lagu tema upacara ini serta reka bentuk kawah Olimpik.
Upacara pembukaan ini turut terkesan dengan beberapa kontroversi, antaranya termasuklah pemboikotan secara diplomatik oleh beberapa pemimpin negara. Tindakan pihak penganjur memilih Dinigeer Yilamujiang, seorang atlet berbangsa Uygur, sebagai penyala kawah Olimpik dilihat oleh ramai sebagai balasan kerajaan China terhadap pemboikotan negara Barat.
Moto Olimpik "lebih cepat, lebih tinggi, lebih kuat - bersama-sama"
Slogan Sukan Musim Sejuk Beijing "Bersama untuk masa depan bersama"[7]
Persediaan
Persiapan terakhir bagi upacara tersebut di Sarang Burung telah tamat pada Oktober 2021.[8] Raptai berskala penuh telah diadakan pada 22 Januari 2022, dengan kira-kira 4000 peserta yang menyertainya.[9] Tiga raptai turut diadakan pada 27 Januari 2022, 28 Januari 2022 dan 2 Februari 2022.
Upacara
Hitung undur
Uoacara pembukaan Sukan Olimpik 2022 diadakan bersempena dengan Lichun (Bahasa Cina: 立春) yang bermaksud "permulaan musim bunga". Lichun merupakan musim pertanian yang pertama antara 24 musim dalam kalender tradisional Cina. Oleh itu, upacara bermula dengan hitung undur yang berasaskan 24 musim tersebut, bermula dengan "air hujan" (Bahasa Cina: 雨水, Pinyin: yǘshuǐ) dan berakhir dengan Lichun. Sukan Olimpik 2022 juga merupakan Sukan Olimpik Musim Sejuk yang ke-24.[10] Menurut pengarah upacara pembukaan Zhang Yimou, Lichun merupakan satu simbol kebudayaan yang amat baik dan upacara pembukaan ini merupakan satu peluang baik untuk memperkenalkan budaya Cina ini kepada masyarakat global. Beliau turut berkata bahawa idea ini tercetus apabila mereka mengetahui bahawa hari upacara pembukaan diadakan kebetulan bersempena dengan Lichun. Pasukan pembidaan Sukan Olimpik 2022 sebenarnya tidak menyedarinya apabila mereka menentukan tarikh upacara pembukaan.[11]
Upacara diteruskan dengan persembahan daripada 450 pelakon yang membawa lampu batang bercahaya berwarna hijau.[12] Mereka membentuk formasi-formasi yang menyerupai pertumbuhan rumput. Lampu batang bercahaya kemudian berubah kepada warna putih dan membentuk dandelion. Wajah seorang kanak terbentuk pada pentas LED. Kanak tersebut seterusnya meniup dandelion tersebut dan benih-benihnya tersebar. Bunga api berwarna putih yang menandakan benih-benih dandelion dilepaskan, dan seterusnya membentuk perkataan “立春” dan “SPRING”.[13][14]
Pengibaran bendera
Bendera kebangsaan China dibawa masuk oleh 12 orang kanak-kanak, diiringi dengan lagu "Tanah Airku dengan Saya" (Bahasa Cina: 我和我的祖国) yang ditiupkan oleh seorang peniup trompet kanak yang bernama Zhu De En.[15] Seterusnya, bendera tersebut diberikan kepada 176 wakil dari bidang-bidang yang berbeza. Antaranya termasuklah angkasawan, pegawai polis, mahasiswa, pegawai perubatan, penghantar makanan dan sebagainya.[16] Mereka menghulurkan bendera tersebut satu demi satu dan akhirnya memberikannya kepada anggota Tentera Pembebasan Rakyat. Mereka mengkibarkan bendera dengan iringan lagu kebangsaan China.
Pembentukan lima cincin
Persembahan bermula dengan setitik dakwat yang turun dari atas, dan dakwat itu kemudiannya berubah menjadi air Sungai Kuning yang bergelora. Imej ini berilham daripada rangkap puisi Li Bai, "Air Sungai Kuning turun dari langit" (Bahasa Cina: 黄河之水天上来). Seterusnya, air sungai tersebut membeku dan pentas LED berubah menjadi satu lapisan ais yang besar. Sebuah kuib ais muncul di tengah-tengah stadium dan 24 alur laser yang mewakili 24 edisi Sukan Olimpik Musim Sejuk mengukir nama-nama bandar yang pernah menganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk padanya, akhirnya bertamat dengan Beijing 2022.[1]
Enam pemain hoki ais memukul sebuah cakera hoki maya yang terbentuk pada pentas LED, cakera tersebut melanggar kuib ais tersebut secara berulang, akhirnya menyebabkan kuib ais tersebut pecah dan memperlihatkan cincin Olimpik yang berwarna putih.[17] Pemecahan kuib ais membawa maksud menghapuskan halangan antara satu sama lain dan bersatu padu.[18][19]
Perarakan atlet
Perarakan atlet diketuai oleh pasukan Yunani, dan diikuti oleh pasukan-pasukan negara lain mengikut bilangan coret yang ada pada perkataan pertama nama pasukan tersebut.[20][21] Perarakan tersebut berakhir dengan kontigen Itali, yang merupakan tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk yang seterusnya, dan tuan rumah Sukan Olimpik 2022, China. Mereka diiringi dengan 19 buah lagu klasikal sebagai tanda orang China menghormati budaya lain dari seluruh dunia.[22]
Atlet-atlet masuk dari "Gerbang China", yang terbentuk daripada ukiran ais yang berilham reka bentuk pintu tradisional Cina, dan berjalan di atas "Jendela China" yang menunjukkan pemandangan negara China. Plakad yang berukir nama pasukan negara berbentuk emping salji, serasi dengan tema upacara pembukaan.[23] Pembawa-pembawa plakad memakai topi yang berwarna biru dan putih untuk melambangkan salji dan ais, dan mempunyai imej harimau lantaran tahun 2022 merupakan Tahun Harimau mengikut zodiak Cina.[24]
Pembentukan emping salji
Pembawa-pembawa plakad menari dengan plakad berbentuk emping salji yang ditulis nama JOK. Pada masa yang sama, kesan penurunan plakad-plakad berbentuk emping salji dari langit telah diwujudkan dengan menggunakan teknologi realiti berperantara (AR).[25] Plakad-plakad tersebut kemudiannya diletakkan di atas pentas LED oleh pembawa-pembawa plakad. Plakad tersebut akhirnya disambungkan oleh sebatang ranting pohon zaitun dan membentuk sebuah emping salji yang besar (yang sebenarnya merupakan sebahagian daripada kawah Olimpik).[26] Bahagian ini merupakan satu-satunya persembahan yang melibatkan pelakon profesional, yakni penari dari Akademi Tarian Beijing.[27]
Every rise, every fall, every victory - we're in it together
Video pendek ini menggambarkan rakyat biasa dari seluruh pelosok dunia menonton Sukan Olimpik Musim Sejuk dan meniru pergerakan-pergerakan atlet. Apabila mereka terjatuh bersama, mereka bangkit semula dan memperoleh kejayaan bersama. Video pendek ini menekankan hubungan antara atlet dan penyokongnya dan merupakan sebahagian daripada kempen "Stronger Together" IOC yang bertujuan untuk menyanjung kekuatan kepercayaan seseorang kepada orang lain. Video ini diarahkan oleh Salomon Ligthelm, seorang pengarah dari Afrika Selatan, dengan kerjasama daripada Uncommon Creative Studio.[28]
Ucapan
Cai Qi - Presiden Jawatankuasa Pengelola Sukan Olimpik dan Paralimpik Beijing 2022
Xi Jinping mengistyharkan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 dibuka secara rasmi.
Penghormatan kepada rakyat
Dengan iringan lagu "Biar Dunia Ini Dipenuhi dengan Kasih Sayang" (Bahasa Cina: 让世界充满爱), 76 mahasiswa China dan mahasiswa asing berjalan merentasi pentas LED. Di bawah kaki mereka, imej-imej yang menunjukkan wajah individu dari seluruh dunia dipaparkan. Bahagian ini tamat dengan slogan Sukan Olimpik 2022, "Bersama untuk masa depan bersama", dipaparkan.
Upacara diteruskan dengan 24 orang atlet luncur ais meluncur di atas pentas LED dengan iringan lagu "Imagine" yang digubal oleh John Lennon dan Yoko Ono.[29][30] Pada masa yang sama, seorang atlet lompat ski dilihat melayang merentasi stadium.[31] Moto Olimpik, "Lebih cepat, lebih tinggi, lebih kuat - bersama-sama" turut terpapar pada pentas LED.[29]
Atlet ski rentas desa, Wang Qiang dan atlet luncur papan salji, Liu Jiayu mengangkat Ikrar Olimpik sebagai wakil atlet, manakala Tao Yongchun, hakim ski gaya bebas dan jurulatih luncur papan salji China, Ji Xiao'ou masing-masing mewakili hakim dan jurulatih dalam upacara angkat Ikrar Olimpik.[10]
Video: Juara masa depan
Video pendek ini menggambarkan kanak-kanak cuba bermain sukan musim sejuk. Menurut penganjur, video ini menggambarkan dasar negara China untuk menggalakkan 300 juta rakyat untuk melibatkan diri dalam sukan musim sejuk.[34]
Emping salji
Dalam persembahan ini, 155 anggota Koir filharmonik Beijing mempersembahkan lagu tema upacara ini, "Emping salji" (Bahasa Cina: 雪花) yang digubal oleh profesor Zhang Shuai dari Pusat Konservatori Muzik Beijing.[35][36] Pada masa yang sama, beratus-ratus kanak-kanak berlari di pentas LED dengan membawa tanglung berbentuk burung merpati. Dengan menggunakan teknologi tangkapan gerakan, imej emping salji dan bintang membentuk di kawasan yang dilalui oleh kanak-kanak.[37] Mereka juga memakai kasut tradisional dari kawasan utara Hebei yang mempunyai imej harimau.[24]
Penyalaan kawah Olimpik
Pembawa bendera delegasi China pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 1980, Zhao Weichang membawa masuk api Olimpik. Obor tersebut kemudian diberikan kepada Li Yan, jurulatih dan atlet luncur ais balapan pendek yang terkenal, Yang Yang, atlet luncur ais balapan pendek dan Naib Presiden WADA, Su Bingtian, pemegang rekod Asia lari 100 m, dan Zhou Yang, atlet luncur ais yang terkenal. Obor Olimpik akhirnya dinyala oleh Dinigeer Yilamujiang, atlet ski rentas desa berbangsa Uygur,[38] dan Zhou Jiawen, atlet China yang pertama dalam acara gabungan Nordik. Keputusan penganjur Beijing 2022 untuk melantik Yilamujiang sebagai penyala Olimpik dilihat oleh ramai media Barat sebagai simbol politik yang dilakukan oleh kerajaan China untuk membalas keputusan negara-negara Barat untuk memboikot upacara ini secara diplomatik.[39][40][41][42][43][44]
Lagu kebangsaan
Pembawa bendera kebangsaan yang terdiri daripada 56 buah kumpulan etnik China dan pekerja barisan hadapan - Lagu Kebangsaan China
Jepun – Seiko Hashimoto, Presiden Jawatankuasa Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020;[57]Yasuhiro Yamashita, Presiden Jawatankuasa Olimpik Jepun[58] dan Kazuyuki Mori, Ketua Jawatankuasa Paralimpik Jepun[59]
Andrew Parsons asalnya dijadualkan untuk menghadiri upacara ini tetapi beliau telah disahkan positif COVID-19 seminggu sebelum upacara pembukaan berlangsung. [89]
Negara-negara berikut telah mengesahkan mereka akan memboikot temasya tersebut secara diplomatik lantaran pencabulan hak asasi manusia yang berterusan di China seperti pembunuhan beramai-ramai Uyghur.[96] Oleh itu, mereka tidak akan menghantar perwakilan diplomatik ke upacara pembukaan tersebut.
Pada 26 Januari 2022, jurucakap Pejabat Hal Ehwal Taiwan negara China tersilap memanggil pasukan Chinese Taipei (Taiwan) sebagai "Taipei, China".[107] Kemudian pada hari itu, Taiwan mengumumkan bahawa mereka akan memboikot temasya tersebut secara diplomatik.
Pada 28 Januari 2022, seorang pegawai Taiwan menyatakan bahawa sebagai tambahan kepada boikot diplomatik, delegasi China Taipei tidak akan mengambil bahagian dalam upacara pembukaan atau penutupan secara rasmi kerana peraturan anti-COVID-19 dan penerbangan tertunda.[108] Pegawai tersebut juga menyatakan kebimbangan mereka terhadap susunan delegasi Chinese Taipei (中华台北) dan Hong Kong, China (中国香港) yang bersebelahan antara satu sama lain dalam perbarisan atlet sebagai satu tanda "menurunkan" status Taiwan.[109]
Pada 1 Februari 2022, berdasarkan "interaksi yang baik dan persefahaman bersama" antara IOC dan CTOC, Taiwan membenarkan empat atlet menyertai upacara pembukaan dan penutupan.[110]
Bantahan oleh atlet Olimpik
Menurut Washington Post, beberapa atlet telah menyatakan bahawa mereka akan memboikot upacara pembukaan Olimpik atas sebab "masalah hak asasi manusia". Pertubuhan "Students for a Free Tibet" mendakwa bahawa atlet daripada sekurang-kurangnya dua pasukan Barat telah mengesahkan bahawa mereka tidak akan menghadiri upacara pembukaan.[111]