Siklon tropika

Hurikan Isabel pada tahun 2003 dari pandangan Stesen Angkasa Antarabangsa.
Struktur awan ribut taufan

Siklon tropika ialah sistem ribut berputar dengan pantas yang dicirikan oleh pusat tekanan rendah, peredaran atmosfera tahap rendah tertutup, angin yang kuat serta susunan pilin ribut petir yang menghasilkan hujan lebat dan badai. Bergantung pada lokasi dan kekuatan, suatu siklon tropika dirujuk dengan nama yang berlainan termasuklah hurikan, taufan, ribut tropika, ribut siklon, lekukan tropika atau kadang kala siklon sahaja.

Struktur fizikal

Struktur utama bagi sesebuah taufan ataupun ribut tropika adalah seperti berikut:-

  • Mata taufan - Mata taufan adalah "pusat" utama bagi sesuatu sistem taufan. Kawasan tersebut merupakan kawasan dengan tekanan udara paling rendah, oleh itu ia menjadi tumpuan bagi angin kencang di sekelilingnya. Dengan itu, kawasan mata taufan biasanya tenang dan bebas daripada awan (ciri tersebut memudahkan taufan dikesan melalui satelit) tetapi angin di sekelilingnya adalah paling kencang serta awan yang mengelilingi mata taufan juga tebal.
  • Dinding mata - Jaluran awan paling tebal yang mengelilingi mata taufan. Pada bahagian dinding mata, hujan turun paling lebat serta kekerapan ribut petir juga paling kerap.
  • Jalur hujan - Jalur hujan adalah barisan awan hujan yang tersusun secara berpilin mengelilingi mata taufan. Jalur hujan membawa hujan yang lebat dan berkemungkinan menghasilkan puting beliung tetapi ruang antara jalur hujan boleh jadi tenang.

Peringkat taufan

Sesebuah taufan boleh diklasifikasikan mengikut keamatan angin seperti berikut:-

  1. Lekukan tropika - Sistem ribut petir yang tertumpu di kawasan bertekanan rendah dengan kelajuan angin kencang kurang daripada 60 km/j. Mata taufan tidak terbentuk pada peringkat ini.
  2. Ribut tropika - Sistem ribut petir kuat dengan kitaran permukaan tertentu serta kelajuan angin maksimum antara 60–120 km/j. Bentuk siklon sudah mula terbentuk, tetapi mata taufan biasanya masih belum terbentuk.
  3. Taufan - Ribut tropika dengan angin kencang melebihi 120 km/j. Mata taufan mula terbentuk, memudahkan taufan dikesan melalui imej satelit.

Kesan siklon tropika

Kesan serangan Taufan Katrina di Gulfport, Mississippi. Taufan Katrina adalah siklon tropika yang mengakibatkan kerugian paling besar dalam sejarah Amerika Syarikat.
  • Siklon tropika yang berlaku di tengah lautan menyebabkan hujan lebat, angin kencang serta ombak besar, menjejaskan aktiviti perkapalan antarabangsa serta boleh menenggelamkan kapal.
  • Di daratan pula, angin kencang boleh merosakkan atau memusnahkan bangunan dan harta benda, menjadikan puing-puing kepada objek terbang yang boleh membunuh. Selain itu, taufan juga mengakibatkan banjir besar.
  • Sejak dua kurun yang lalu, taufan bertanggungjawab menyebabkan kematian lebih kurang 1.9 juta mangsa di seluruh dunia.

Lokasi, badan penjejak, dan skala angin yang digunakan

Terdapat lapan lembangan (tempat) utama yang menjadi tempat pembentukan siklon tropika, iaitu utara Lautan Atlantik, timur Lautan Pasifik, barat Lautan Pasifik, tenggara Lautan Pasifik, utara Lautan Hindi, timur laut Lautan Hindi, tenggara Lautan Hindi dan tengah Lautan Pasifik (diasingkan atas sebab siklon tropika jarang-jarang terbentuk di kawasan ini). Setiap satu lembangan telah ditetapkan satu Pusat Meteorologi Khusus Serantau (Regional Specialized Meteorological Center, RSMC), dan beberapa Pusat Amaran Siklon Tropika (Tropical Cyclone Warning Centre, TCWC), untuk memberikan maklumat, nasihat cuaca, dan amaran cuaca, seperti yang telah dipersetujui dalam konsensus Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO PBB).

Rajah lembangan-lembangan utama beserta pusat meteorologi yang diberi kuasa dalam sesuatu lembangan. Berikut ialah senarai nama semua lembangan:

1. Utara Lautan Atlantik
2. Timur laut Lautan Pasifik
3. Barat laut Lautan Pasifik
4. Utara Lautan Hindi
5. Barat daya Lautan Hindi
6. Tenggara Lautan Hindi
7. Selatan Lautan Pasifik.

Nota: Lembangan Tengah Lautan Pasifik berada di antara kawasan 2 dan 3.
Lembangan dan Institusi Pemantauan WMO[1]
Lembangan RSMC dan TCWC yang dipertanggungjawabkan
Utara Lautan Atlantik Pusat Hurikan Kebangsaan
Timur Laut Lautan Pasifik Pusat Hurikan Kebangsaan
Tengah Lautan Pasifik Pusat Hurikan Pasifik Tengah
Barat Laut Lautan Pasifik Agensi Meteorologi Jepun
Utara Lautan Hindi Jabatan Meteorologi India
Barat Daya Lautan Hindi Météo-France
Selatan dan Barat Laut Lautan Pasifik Perkhidmatan Meteorologi Fiji
Perkhidmatan Meteorologi New Zealand
Perkhidmatan Meteorologi Kebangsaan Papua New Guinea
Biro Meteorologi (Australia)
Tenggara Lautan Hindi Biro Meteorologi (Australia)
Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia
: Menunjukkan Pusat Amaran Siklon Tropika

Lautan Atlantik dan timur laut Lautan Pasifik

Skala Hurikan Saffir-Simpson
Kategori Kelajuan angin Pusuan ribut
km/j
(b/j)
m
(kaki)
Hurikan
kategori
5
≥252
(≥157)
>5.5 (>18)
Hurikan
kategori
4
209–251
(130–156)
4.0–5.5
(13–18)
Hurikan
kategori
3
178–208
(111–129)
2.7–3.7
(9–12)
Hurikan
kategori
2
154–177
(96–110)
1.8–2.4
(6–8)
Hurikan
kategori
1
119–153
(74–95)
1.2–1.5
(4–5)
Pengelasan lain
Ribut
tropika
63–118
(39–73)
0–0.9
(0–3)
Lekukan
tropika
< 63
< (39)
0.2
(0)


Semua jejak siklon tropika di utara Lautan Atlantik dari tahun 1851 hingga tahun 2005
Semua jejak siklon tropika di utara Lautan Atlantik dari tahun 1980 hingga tahun 2005

Kawasan ini dipantau oleh Pusat Hurikan Kebangsaan (National Hurricane Center, NHC), Miami, Amerika Syarikat.

Bagi lembangan Lautan Atlantik, kawasan ini juga merangkumi utara Lautan Atlantik, Laut Karibia, dan Teluk Mexico. Setiap tahun, bilangan siklon tropika yang terbentuk di dalam kawasan ini adalah tidak tetap. Secara purata kira-kira 10 ribut tropika terbentuk setiap tahun daripada data yang dikumpulkan antara tahun 1950 dan tahun 2005. 6 daripadanya mencapai status hurikan, dan 3 ribut mencapai status hurikan major iaitu hurikan kategori 3 dan ke atas.[2] Sekurang-kurangnya satu ribut terbentuk pada tahun 1914, manakala pada tahun 2005 telah mencatatkan rekod dengan terbentuknya 28 sistem ribut. Musim hurikan bagi lembangan ini diisytiharkan bermula pada 1 Jun dan berakhir pada 30 November setiap tahun. [3]

Acap kali, pesisir Amerika Syarikat dari Texas ke Maine, Mexico, Amerika Tengah, Kepulauan Karibia, dan Bermuda menerima kesan langsung daripada ribut-ribut tropika yang terbentuk di kawasan ini. Venezuela, tenggara Kanada dan Kepulauan Macaraonesia juga kadangkala menerima tempias ribut-ribut ini.

Manakala di lembangan timur Lautan Pasifik pula, kawasan yang berada bawah tanggungjawab NHC meliputi kawasan 140°T sehinggalah pesisir benua Amerika Utara. Di sini, secara purata, 16 ribut berlaku setiap tahun, dengan 9 daripadanya menjadi hurikan dan 4 hurikan major. Musim hurikan bermula dengan rasminya pada 15 Mei dan berakhir pada 30 November setiap tahun.[3] Ribut yang terbentuk di kawasan ini sering memberi ancaman kepada Mexico, dan juga kadang kala negara-negara Amerika Tengah, tetapi amat-amat jarang membadai bandar-bandar Amerika Syarikat seperti California.

Di kedua-dua lembangan ini, NHC menggunakan Skala Hurikan Saffir-Simpson bagi mengelaskan siklon tropika mengikut kelajuan angin.

Tengah Lautan Pasifik

Jejak semua siklon tropika di Lautan Pasifik di sebelah timur Garisan Tarikh Antarabangsa bahagian hemisfera utara. Garisan melintang putih menandakan sempadan di antara lembangan tengah Lautan Pasifik (bawah seliaan CPHC) dan timur laut Lautan Pasifik (bawah kawasan seliaan NHC).

Lembangan ini pula dipantau oleh Pusat Hurikan Pasifik Tengah (Central Pacific Hurricane Center, CPHC), merangkumi kawasan 140°T hingga Garis Tarikh Antarabangsa. Jangka masa rasmi musim hurikan di sini ditakrifkan antara 1 Jun dan 30 November. Kekerapan terbentuknya ribut-ribut di sini sangatlah rendah dan jarang-jarang. Secara puratanya, hanya kira-kira 4 hingga 5 ribut yang terbentuk di sini setiap tahun.[4] Atas sebab yang demikian, lembangan ini diwujudkan di antara lembangan barat laut Lautan Pasifik dan timur laut Lautan Pasifik, yang jauh lebih banyak aktiviti ributnya. CPHC turut menggunakan Skala Hurikan Saffir-Simpson untuk mengelaskan kelajuan angin ribut.

Barat laut Lautan Pasifik

Skala kekuatan siklon tropika
Agensi Kaji Cuaca Jepun
Kategori Angin
Taufan >64 knot
>118 km/j
Ribut tropika
kencang
48-63 knot
89 km/j - 117 km/j
Ribut tropika 35-48 knot
62 km/j - 88 km/j
Lekukan
tropika
<33 knot
<61 km/j
Semua jejak siklon tropika di barat Lautan Pasifik dari tahun 1980 hingga tahun 2005
Semua jejak siklon tropika di barat Lautan Pasifik dari tahun 1980 hingga tahun 2005

RSMC yang telah ditetapkan bagi lembangan barat laut Lautan Pasifik ialah Agensi Meteorologi Jepun. Skala angin yang digunakan adalah seperti yang dipaparkan di sebelah.[5] Pusat Amaran Taufan Bersama Amerika Syarikat (JTWC) turut memantau lembangan ini. Secara tidak rasmi, JTWC menggunakan Skala Hurikan Saffir-Simpson dengan pengelasan tambahan – taufan super; yakni siklon tropika berkelajuan sekurang-kurangnya 130 knot (240 km/j).[6] JMA menggunakan kelajuan angin purata berterusan selama 10 minit manakala JTWC menggunakan tempoh 1 minit. Hal ini menyebabkan kelajuan angin yang dicatatkan oleh JTWC kelihatan lebih tinggi daripada JMA.[7]

Lembangan ini merupakan lembangan teraktif di muka bumi ini kerana secara puratanya 26 ribut tropika terbentuk setiap tahun. Manakala purata 16 taufan dicatatkan bagi tempoh antara tahun 1968 dan 1989.[8] Kawasan yang dicakupi dalam lembangan ini ialah kawasan ke utara Khatulistiwa dan barat Garis Tarikh Antarabangsa, termasuklah Laut China Selatan. Ribut boleh terbentuk sepanjang tahun di lembangan ini. Walau bagaimanapun, bulan Februari dan Mac mencatatkan aktiviti terendah bagi pembentukan ribut.[9]

Ribut-ribut tropika yang terbentuk di sini lazimnya melanda China, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Filipina, dan Taiwan, serta negara-negara di Asia Tenggara seperti Vietnam, Thailand dan Malaysia. Malaysia menerima kesan tidak langsung daripada ribut-ribut tropika ini, terutamanya negeri Sabah dan di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia. Hal ini tidaklah mustahil apabila ribut-ribut berdekatan Filipina atau Vietnam terbentuk, "ekornya" mampu memberi kesan terhadap kawasan-kawasan tadi. Namun begitu, Malaysia turut pernah dilanda ribut tropika, walaupun jarang-jarang sekali, seperti Ribut Tropika Greg yang membadai Sabah pada 1996 dan juga Ribut Tropika Vamei yang bertemu daratan di Johor pada tahun 2001.[10]

Utara Lautan Hindi

Skala kekuatan siklon tropika
Jabatan Kaji Cuaca India
Kategori Angin
(purata 3 minit)
Ribut siklon super >120 knot (kt)
>222 km/j
Ribut siklon
sangat kencang
64–119 knot (kt)
118–221 km/j
Ribut siklon
kencang
48–63  knot (kt)
88–117 km/j
Ribut siklon 34–47 knot (kt)
62–87 km/j
Lekukan dalam 28–33 knot (kt)
52–61 km/j
Lekukan ≤27 knot (kt)
≤51 km/j
Semua jejak siklon tropika yang terbentuk dalam lembangan ini di antara tahun 1980 dan 2005.

Agensi Meterologi India (India Meteorological Department, IMD) merupakan RSMC yang dipertanggungjawabkan untuk memantau lembangan ini yang mencakupi kawasan di antara 45° Timur dan 100° Timur, di hemisfera utara. Lebih dikenali sebagai RSMC New Delhi, India, IMD menggunakan pengelasan enam tahap kelajuan angin ribut sejak tahun 1998. RSMC New Delhi menggunakan kelajuan angin purata berterusan selama 3 minit.[11]

Lembangan ini dibahagikan kepada Teluk Bengal dan Laut Arab. Hanya kira-kira empat hingga enam ribut sahaja yang terbentuk secara purata setiap tahun. Aktiviti pembentukan ribut lebih tertumpu di Teluk Bengal daripada Laut Arab, kira-kira 5 ke enam kali ganda dari segi perbandingan. Puncak musim ribut di lembangan ini berlaku pada sekitar bulan April-Mei (sebelum mulanya musim monsun) dan Oktober-November.[12]

Kategori lekukan merupakan kategori terendah yang digunakan oleh RSMC New Delhi untuk mengelaskan siklon tropika yang berkelajuan 51 km/j dan ke bawah. Sekiranya kelajuan angin mencapai dalam lingkungan 52–61 km/j, siklon tropika tadi diberi status lekukan dalam. Apabila kelajuan angin lekukan dalam tadi telah mencapai di antara 62 km/j dan 87 km/j, ia akan dikenali sebagai ribut siklon, dan diberi nama oleh RSMC New Delhi.[11]

Kadangkala ribut siklon mampu bertambah kelajuan anginnya. Apabila angin mencecah kelajuan 88–117 km/j maka ribut siklon tadi akan bertukar menjadi ribut siklon kencang. Pengelasan ribut siklon sangat kencang hanya ditetapkan pada mana-mana siklon tropika setelah kelajuan angin 118–221 km/j dicatatkan dan pengelasan tertinggi iaitu ribut siklon super, hanya diberi apabila kelajuan angin dilaporkan selaju 222 km/j dan ke atas.[11]

Walaupun lembangan ini menghasilkan hanya sedikit aktiviti ribut, namun, kerap kali ribut siklon meragut korban nyawa yang besar. Misalnya ribut siklon yang melanda Bhola pada tahun 1977, telah mengorbankan setengah juta nyawa. Kawasan-kawasan yang sering terjejas akibat ribut siklon ialah India, Bangladesh, Sri Lanka, Myanmar, Pakistan dan Thailand. Jarang-jarang ribut siklon mengancam Semenanjung Arab dan juga Somalia; namun begitu Siklon Gonu telah membadai Oman pada tahun 2007, menyebabkan kerosakan harta-benda yang sangat teruk.

Barat laut Lautan Hindi

Skala kekuatan siklon tropika
barat laut Lautan Hindi
Kategori Angin
Siklon tropika
sangat kencang
>115 knot
>212 km/j
Siklon tropika
kencang
90-115 knot
166–212 km/j
Siklon
tropika
64-89 knot
118–165 km/j
Ribut tropika
kencang
48-63 knot
89–117 km/j
Ribut tropika
sederhana
34-47 knot
63–88 km/j
Lekukan
tropika
28-33 knot
51–62 km/j
Lekukan
tropika
<28 knot
<50 km/j
Semua jejak siklon tropika di barat laut Lautan Hindi dari tahun 1980 hingga tahun 2005

Mana-mana siklon tropika yang terbentuk di Lautan Hindi sebelah hemisfera selatan, di antara 90° Timur dan benua Afrika berada bawah seliaan RSMC La Reunion yang dipertanggugnjawabkan atas Météo-France. Kawasan yang kerap dibadai siklon tropika di kawasan ini ialah Madagascar, Mozambique, Mauritius, Réunion, Comoros, Tanzania, dan Kenya.[13] Secara purata, setiap tahun kira-kira 10 siklon tropika yang terbentuk di lembangan ini. Dan lembangan ini juga mencatatkan korban tertinggi akibat siklon tropika setiap tahun, sehingga 80 kematian dicatatkan.[8]

RSMC La Reunion mengelaskan siklon tropika kepada tujuh kategori berbeza mengikut kelajuan angin. Tidak seperti Skala Hurikan Saffir-Simpson yang menggunakan ukuran kelajuan angin purata berterusan selama 1 minit, RSMC La Reunion pula mengukur kelajuan angin purata berterusan selama 10 minit, seperti kebanyakan RSMC lain.[13] Jadual di sebelah kanan menunjukkan pengelasan yang digunakan oleh RSMC LA Reunion.

Siklon tropika di lembangan ini hanya diberi nama oleh Pusat Sub Serantau di Mauritius atau di Madagascar sekiranya mencapai status sebagai suatu ribut tropika sederhana, iaitu berkelajuan minimum 48 knot (89 km/j).[14]

Tenggara Lautan Hindi (Australia)

Skala siklon tropika kawasan Australia
dan selatan Lautan Pasifik
Kategori Angin Langkisau
Lima >107 knot
>200 km/j
>151 knot
>279 km/j
Empat 86-107 knot
160-200 km/j
122-151 knot
225-279 km/j
Tiga 64-85 knot
118-159 km/j
90-121 knot
165-224 km/j
Dua 48-63 knot
89-117 km/j
68-89 knot
125-164 km/j
Satu 34-47 knot
63-88 km/j
49-67 knot
91-125 km/j
Lekukan
Tropika
<34 knot
<63 km/j
<49 knot
<91 km/j
Semua jejak siklon tropika di Tenggara Lautan Hindi dari tahun 1980 hingga tahun 2005

Ribut-ribut siklon yang terbentuk di sini sering memberi ancaman terhadap Australia dan tidak kurang juga kepada Indonesia. Menurut Biro Meteorologi Australia, Exmouth, Australia Barat dan Broome, Australia Barat sering dibadai siklon tropika.[15] Setiap tahun, kira-kira tujuh siklon tropika terbentuk di kawasan ini, dan bilangan ini boleh bertambah apabila siklon tropika terbentuk di lembangan bersebelahan (iaitu lembangan barat daya Lautan Hindi) dan merentasi lembangan ini.[8] Purata sebanyak lima siklon tropika mampu mencapai kelajuan angin Kategori 5 setiap tahun.[16][17]

Selatan Lautan Pasifik

Semua jejak siklon tropika di selatan Lautan Pasifik dari tahun 1980 hingga tahun 2005

Lembangan ini pula dipantau oleh RSMC Nadi, Fiji, yang dipertanggungjawabkan atas Perkhidmatan Meteorologi Fiji. RSMC Nadi turut menggunakan skala siklon tropika Australia.[18] Umumnya ribut sering mengancam Australia Timur dan Oceania. Manakala Brisbane, Australia dan juga New Zealand jarang-jarang dibadai ribut, itupun hanya setelah siklon tropika berubah menjadi ribut luar-tropika.[19]

Purata setiap tahun, kira-kira sembilan siklon tropika yang terbentuk di lembangan ini.[8] Siklon tropika di kawasan ini juga sangat-sangat jarang-jarang mencapai kelajuan Kategori 5, misalnya Siklon Tropika Larry yang membadai Queensland, Australia, pada tahun 2006.[20]

Kawasan-kawasan samudera lain

Siklon Catarina yang berpusar di pesisiran Santa Catarina dan Rio Grande do Sul di Brazil.

Kawasan-kawasan selain lembangan utama yang telah dijelaskan, seringkali tiada pembetukan siklon tropika yang dapat diperhatikan. Maka kawasan tadi tidak diiktiraf sebagai lembangan rasmi. Namun begitu beberapa siklon tropika dilaporkan telah terbentuk di kawasan tadi, misalnya di selatan Lautan Atlantik. Pada tahun 2004, suatu siklon tropika yang diberi jolokan Siklon Catarina telah berpusar dan mencapai kekuatan Kategori 2 pada Skala Hurikan Saffir-Simpson. Siklon Catarina bertemu daratan di Brazil. Tahun 2010 juga menyaksikan siklon tropika yang diberi identiti Ribut Tropika Anita, terbentuk di pesisiran Rio Grande do Sul, Brazil. Terdapat juga beberapa sistem siklon tropika dan siklon subtropika lain yang lemah terbentuk pada Mac 1974[21], April 1991[22] , Januari 2004[23], Februari 2006[24] dan Januari 2009[25].

Kadangkala di Laut Mediterranean juga, sistem ribut seakan-akan siklon tropika juga terbentuk. Namun begitu, sistem tekanan rendah ini mencetuskan perdebatan dalam kalangan ahli cuaca, sama ada sistem-sistem tadi lebih bertepatan dengan ciri-ciri sistem tekanan udara rendah yang lain seperti siklon subtropika ataupun siklon luar-tropika. Kajian telah dijalankan terhadap fenomena sebegini yang dilaporkan terjadi pada September 1947, September 1969, Januari 1982, September 1983, dan Januari 1995. Walaupun sistem-sistem tekanan rendah ini mempunyai persamaan dari segi struktur dengan siklon tropika, namun, ia terbentuk dengan keadaan suhu permukaan laut 61 °F (16 °C), maka berkemungkinan ia merupakan suatu tekanan rendah kutub.[26]

Rujukan

  1. ^ Atlantic Oceanographic and Meteorological Laboratory, Hurricane Research Division. "Frequently Asked Questions: What regions around the globe have tropical cyclones and who is responsible for forecasting there?" (dalam bahasa Inggeris). NOAA. Dicapai pada 25 Julai 2006.
  2. ^ Expert Assessments. "Background Information: The North Atlantic Hurricane Season" (dalam bahasa Inggeris). Climate Prediction Center. Dicapai pada 2 September 2010.
  3. ^ a b "Tropical Cyclone Climatology" (dalam bahasa Inggeris). National Hurricane Center. Dicapai pada 2 September 2010.
  4. ^ Central Pacific Hurricane Center. "CPHC Climatology" (dalam bahasa Inggeris). National Oceanic and Atmospheric Administration. Dicapai pada 2 Mac 2007.
  5. ^ Typhoon Committee (2008). "Typhoon Committee Operational Manual" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). World Meteorological Organization. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 22 September 2012. Dicapai pada 23 Disember 2008.
  6. ^ Joint Typhoon Warning Center (2008-03-31). "What are the description labels used with tropical cyclones by JTWC?" (dalam bahasa Inggeris). Joint Typhoon Warning Center. Dicapai pada 22 Disember 2008. Text "Frequently Asked Questions (FAQ)" ignored (bantuan)
  7. ^ "How are JTWC forecasts different than forecasts issued by tropical cyclone warning centres (TCWCs) of other countries?" (dalam bahasa Inggeris). Joint Typhoon Warning Center. 2008-03-31. Dicapai pada 26 Disember 2008.
  8. ^ a b c d Atlantic Oceanographic and Meteorological Laboratory, Hurricane Research Division. "Frequently Asked Questions: What are the average, most, and least tropical cyclones occurring in each basin?" (dalam bahasa Inggeris). National Oceanic and Atmospheric Administration. Dicapai pada 30 November 2006.
  9. ^ Atlantic Oceanographic and Meteorological Laboratory, Hurricane Research Division. "Frequently Asked Questions: When is hurricane season?" (dalam bahasa Inggeris). NOAA. Dicapai pada 25 Julai 2006.
  10. ^ "IOC Sub-Commission for the Western Pacific" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). INTERGOVERNMENTAL OCEANOGRAPHIC COMMISSION.
  11. ^ a b c "Tropical Cyclone Operational plan for the Bay of Bengal and the Arabian Sea" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). World Meteorological Organization. 2008. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2012-09-22. Dicapai pada 2008-12-23.
  12. ^ Joint Typhoon Warning Center (2004). "1.2: North Indian Tropical Cyclones". 2003 Annual Tropical Cyclone Report (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2006-11-29.
  13. ^ a b World Meteorological Organization. "Tropical Cyclone RSMC / South-West Indian Ocean" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2006-09-08. Dicapai pada 2006-11-29.
  14. ^ "Tableau de définition des cyclones" (dalam bahasa Perancis). Météo-France. 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-09-22. Dicapai pada 2009-01-14.
  15. ^ "Tropical Cyclones in Western Australia – Climatology" (dalam bahasa Inggeris). Bureau of Meteorology. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-09-22. Dicapai pada 2006-08-08.
  16. ^ "BoM — Severe Weather Event". Bureau of Meteorology. Dicapai pada 2008-10-19.
  17. ^ (Inggeris) "Tropical Cyclone Trends" (dalam bahasa Inggeris). Bureau of Meteorology. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-09-22. Dicapai pada 2008-10-19.
  18. ^ } "Tropical Cyclone Operational plan for the South Pacific & South-east Indian Ocean" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). World Meteorological Organization. 2008. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2012-09-22. Dicapai pada 2008-07-03.
  19. ^ Mark Sinclair (Mac 2002). "How often is New Zealand hit by tropical cyclones?" [Apakah bilangan kekerapan siklon tropika melanda New Zealand?]. Air & AtmosferaWater & Atmosphere (dalam bahasa Inggeris). NIWA Science. 10 (1). Dicapai pada 2006-12-01.
  20. ^ "Siklon Tropika Larry" (dalam bahasa Inggeris). Biro Meteorologi (Australia). Dicapai pada 19 Oktober 2008.
  21. ^ McTaggart Cowan, Ron; Bosart, Lance; Davis, Christopher; Atallah, Eyad; Gyakum, John; Emanual, Kerry. "Analysis of Hurricane Caterina (2004)". Monthly Weather Review (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Meteorologi Amerika. 134 (11): 3048–9.
  22. ^ Chris Landea (July 13, 2005). "FAQ: Why doesn't the South Atlantic Ocean experience tropical cyclones?" (dalam bahasa Inggeris). NOAA. Dicapai pada May 14, 2009.
  23. ^ Gary, Padgett. "Monthly Global Tropical Cyclone Summary January 2004" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2010-04-15.
  24. ^ Padgett, Gary. "February 2006 Tropical Weather Summary" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2009-01-28.
  25. ^ Padgett, Gary (April 7, 2009). "January 2009 Tropical Weather Summary" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2010-04-15.
  26. ^ DR. JACK BEVEN'S IMAGES OF THE MEDITERRANEAN 'HURRICANE' (1995) Diarkibkan 2011-06-05 di Wayback Machine