Proton Perdana pertama kali diperkenalkan pada tahun 1995 untuk menyelamatkan nic segmen pasaran mewah Malaysia yang terdiri daripada kenderaan dengan sesaran enjin 2,000 cc dan ke atas. Perdana generasi pertama menggunakan nadi enjin 2.0L 4G63 DOHC I4.[2] Kereta tersebut merupakan model pertama Proton yang menawarkan sistem brek cegah kunci dan pengawal luncur. Model ini dibina berasaskan Mitsubishi Galant Eterna.
Pada tahun 1998, Proton memperkenalkan generasi kedua Perdana bernadikan enjin 2.0L 6A12 DOHC V6.[3]Sistem gantungannya turut ditala semula oleh Lotus untuk pengendalian yang lebih baik. Pada tahun 2000, Perdana V6 diberikan gril baharu yang menyerupai gaya Alfa Romeo. Logo kedua Perdana mencontohi logo Kia Sephia. Terdapat juga versi mewah Proton Perdana V6 dengan tapak roda ditambah sebanyak 25 cm, dikenali sebagai Proton Perdana V6 Executive. Varian Executive ini dilakukan oleh Automotive Conversion Engineering (ACE), anak syarikat EON.[4][5] Dua varian Perdana V6 Limousine turut dikeluarkan oleh ACE dengan tambahan panjang masing-masing 66 cm dan 91 cm, serta dilengkapi lebih banyak ciri-ciri mewah daripada varian Executive.[4]
Pada 11 Disember 2013, Proton Perdana generasi ketiga telah dilancarkan dengan menampilkan dua varian iaitu Perdana 2.0 L dan 2.4 L serta ciri-ciri keselamatan dan keselesaan yang telah dipertingkatkan.[6] Perdana generasi ini dibina berasaskan Honda Accord serta masih mengekalkan enjin yang diambil terus dari Accord iaitu enjin R20A3 SOHC i-VTEC untuk varian 2.0 liter berkuasa 154 hp/189 Nm dan enjin K24Z2 DOHC i-VTEC untuk varian 2.4 liter berkuasa 177 hp/222 Nm.[7] Sekitar 3,000 unit Perdana baru yang akan dihasilkan pada mulanya untuk menggantikan Perdana V6 yang digunakan oleh penjawat awam.[8]
Pada 14 Jun 2016, Perdana generasi keempat telah dilancarkan.[9] Perdana yang berwajah baharu ini juga berasaskan Honda Accord di mana Proton telah menukar sepenuhnya rupa luaran. Walaupun ia berdiri di atas platform sama dengan generasi ketiga. Terdapat justifikasi berkaitan perkara itu. Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Proton telah melakukan perubahan yang besar pada bahagian kosmetik tanpa menyentuh bahagian mekanikal.[10]