* Gol dan kemunculan untuk kelab senior hanya untuk liga domestik
Mohammad Shakir Shaari (lahir 29 September 1986 di Kota Bharu, Kelantan) merupakan bekas pemain bola sepak Malaysia dan jurulatih bola sepak. Sebagai pemain beliau beraksi sebagai pemain tengah bertahan.
Kerjaya
MPPJ FC
Shakir memulakan kerjaya sebagai pemain bola sepak bersama skuad Piala Presiden Kelantan pada 2004 semasa berumur 18 tahun. Pada 2005, dia menyertai pasukan MPPJ FC untuk semusim dan telah meninggalkan pasukan yang dilanda masalah kewangan itu pada musim berikutnya.
My Team
Seterusnya, dia menandatangani kontrak bersama UPB-MyTeam FC yang beraksi dalam Liga Super Malaysia pada 2006. Pada 2009, kelab itu dikeluarkan dari beraksi di Liga Super Malaysia akibat masalah kewangan.
Kelantan FA
Selepas melihat potensi besarnya sebagai midfielder yang berpotensi, jurulatih Kelantan Peter James Butler membawa Shakir ke skuad kendaliannya. Dia secara rasmi bersama skuad Kelantan FA pada 2010.[1][2]
Dia adalah tonggak penting pasukan juara Piala Malaysia 2010, juara Liga Super 2011 dan meraih treble pada 2012. Sepanjang bersama Kelantan, Shakir beraksi sebanyak 166 perlawanan dan menjaringkan 3 gol dalam semua pertandingan kompetitif yang disertai Kelantan.
Johor Darul Takzim
Pada musim 2013, Shakir akan bermain untuk pasukan selatan tanah air Johor Darul Takzim FC dan diberi jersi nombor 16. Pencapaian terbesarnya bersama kelab ini adalah ketika menjuarai Piala AFC 2015. Shakir beraksi sebanyak 69 perlawanan dalam semua pertandingan kompetitif yang disertai JDT selain 53 perlawanan keseluruhan bersama JDT II.
Kerjaya Antarabangsa
Shakir menganggotai skuad negara mengalahkan Myanmar 2-0 pada aksi antarabangsa pada 18 Jun 2011. Dia juga dipanggil oleh jurulatih Malaysia Datuk K. Rajagobal untuk perlawanan persahabatan menentang Filipina dan Singapura pada Jun 2012
Shakir menerima Pingat Setia Mahkota Kelantan (PS) sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan ke 43 pada 11 November 2012. [3]
Keluarga
Pada 9 Disember 2010, Shakir telah memperisterikan Nurul Fatiha Abd Hamid, bekas atlet gimnastik artistik negara. Mereka telah dikurniakan seorang anak lelaki selepas dua tahun berkahwin.[4]