Kerajaan Pahang Tua[4] ialah sebuah pusat sejarah yang berpusat di rantau Pahang di pantai timur Semenanjung Melayu. Negerinya muncul dalam rekod asing dari seawal abad ke-5[5] dan pada kemuncaknya, ia meliputi sebahagian besar kawasan negeri Pahang moden dan seluruh kawasan selatan semenanjung.[6] Sepanjang sejarah pra-Melaka, Pahang diasaskan sebagai mueang[7] atau naksat[8] dari beberapa mandala Melayik serantau utama termasuk Langkasuka,[9]Sriwijaya[10] dan Ligor.[11] Sekitar pertengahan abad ke-15, ia dinaungi Kesultanan Melaka dan kemudiannya ditukar kepada Kesultanan Muslim pada tahun 1470, berikutan penobatan cucu bekas Maharaja sebagai Sultan Pahang yang pertama.[12]
Nama-nama
Penamaan negeri Pahang dikaitkan dengan amalan kuno menentukan sempadan wilayah dan pecahan tanah mengikut pecahan air.[13] Negeri 'Pahang' dipercayai dinamakan sempena nama Sungai Pahang.[14] Terdapat banyak teori tentang asal-usul nama Pahang. Menurut legenda Melayu, nama sungai Pahang dinamakan sempena pokok mahang besar yang tumbuh di seberang sungai dari Kampung Kembahang. Legenda ini konsisten dengan tradisi suku Jakun bahawa nenek moyang mereka memanggil negeri Mahang.[15]
Satu lagi teori menarik dikemukakan oleh William Linehan mengaitkan penubuhan Pahang Tua dengan kaum peneroka dari tamadun Khmer purba, di mana nama Pahang dipetik dari saamnbahang (សំណប៉ាហាំងcode: km is deprecated ) yang bermaksud 'timah' kerana penemuan lombong timah prasejarah dalam negeri.[16]
Terdapat banyak variasi nama Pahang dalam sejarah. Ia disebut Pohuang or Panhuang oleh Pustaka Song,[17]Pong-fong oleh pembabad Cina Zhao Rugua, Siam-lao thasi oleh Wenxian Tongkao karya Ma Duanlin. Bangsa Arab dan Eropah pula menggelarnya Pam, Pan, Paam, Paon, Phaan, Phang, Paham, Pahan, Pahaun, Phaung, Phahangh.[18]
Sejarah
Prasejarah
Hasil pencarian kaji purba membuktikan kewujudkan penempatan manusia dari seawal zaman Paleolitik di kawasan yang kini Pahang. Di Gunung Senyum ditemui bahan-bahan peninggalan tamadun Mesolitik yang menggunakan peralatan Paleolitik. Di Sungai Lembing, Kuantan pula ditemui artefak-artefak Paleolitik yang bersumbing dan tiada kesan gilap, hasil peninggalan tamadun 6,000 tahun dahulu.[19] Tapak-tapak gua batu kapur menandakan peninggalan kebudayaan Hoabinh.[20] Banyak juga tinggalan Neolitik seperti perkakas bergilap, cakera relang, including polished tools, quoit discs, tangkal rantai batu, gelang rantai batu, dan penumbuk kulit kayu and bergaris silang.[21] Menjelang 400 SM, terciptanya acuan gangsa membangunkan budaya Đông Sơn yang terkenal dengan pembuatan gendang perang gangsa.[22]
Tamadun besi purba di Pahang yang bermula sekitar awal takwim Masihi, dikaitkan dengan budaya akhir Neolitik oleh para ahli prasejarah. Banyak terdapat bahan-bahan peninggalan dari zaman ini ditemui di sepanjang sungai-sungai di Lembah Tembeling yang pernah dijadikan jalan perhubungan utama di bahagian utara. Barang emas purba di Pahang juga dipercayai datang dari awal zaman besi.[23]
Awal zaman
Kawasan sekitar Segenting Kra di utara Semenanjung Malaysia diiktiraf para sejarawan sebagai tempat bermulanya tamadun-tamadun Melayik.[24] Kerajaan-kerajaan Melayik terawal digambarkan oleh sumber Cina abad kedua sebagai negeri ufti Funan.[25]
Penempatan purba dapat dikesani dari Tembeling ke sejauh Merchong di selatan. Kesan-kesannya juga didapati di pedalaman Jelai, sepanjang Tasik Chini, dan hingga ke hulu air Rompin.[26] Pada abad ke-3 Masihi mekarnya sebuah negeri yang bergelar Koli dalam Geographia atau Kiu-Li, berpusatkan di muara Sungai Pahang di selatan negeri Langkasuka. Ia memiliki sebuah pelabuhan antarabangsa terkemuka yang disinggahi banyak kapal-kapal asing untuk berdagang secara tukar barang dan mengisi bekalan.[27] Seperti kebanyakan negeri-negeri semenanjung ketika itu, Kiu-Li menjalin hubungan dengan Funan. Catatan Cina menyebut tentang sebuah rombongan perwakilan yang dihantar ke Funan oleh Raja India Murunda berlayar dari pelabuhan Kiu-Li (dalam 240-245 M) untuk mempersembahkan empat ekor kuda dari ladang pembaka Yuezhi (Kushan) kepada Raja Funan Fan Chang.[28]
Menjelang pertengahan abad kelima, satu lagi negeri yang dipercayai Pahang Tua dihuraikan dalam Pustaka Song sebagai "Pohuang" atau "Panhuang" (婆皇code: zh is deprecated ). Dicatatkan bahawa Raja Pohuang, She-li- Po-luo-ba-mo ('Sri Bhadravarman') telah menghantar perwakilan ke Istana Liu Song pada 449-450 bersama 41 jenis barangan. Pada tahun 456-457, satu lagi perwakilan dari negeri sama yang diketuai oleh Senapati tiba di ibu kota Cina, Jiankang.[29] Negeri Pahang Tua ini dipercayai diasaskan kemudian sebagai mueang[30] di dalam lingkungan of Langkasuka-Kedah berpusatkan kawasan Patani yang bangkit ekoran pengunduran Funan dari abad keenam.[31] Kerajaan Langkasuka-Kedah dengan negeri-negeri kotanya yang menguasai kedua-dua pantai Semenanjung menjadi sebuah negeri terkemuka dalam rangkaian perdagangan yang melibatkan Rom, India dan China.[32] Dengan kegiatan perdagangan yang rancak ini masuklah pengaruh budaya asing ke dalam negara-negara kota tersebut. Penemuan batu bersurat mentera Buddha dan berhala-berhala Hindu yang banyak jumlahnya menandakan pengaruh India di kala ini.[33]
Menjelang awal abad kelapan, Langkasuka-Kedah ditundukkan oleh Sriwijaya, tetapi bukan secara peperangan biasa, malah tidak wujud catatan serangan tentera laut yang ketara. Sebaliknya, Langkasuka-Kedah tunduk secara rela kepada kekuasaan Sriwijaya demi kepentingan sendiri selaku pusat perdagangan yang dirasakan wajar berikat dengan negara yang cukup kuat tentera lautnya sebagai perlindungan.[34]
Zaman klasik
Pada abad-abad menjelang kemerosotan Sriwijaya, Langkasuka-Kedah merupakan antara sekutu terdekat, malah Kedah bangkit sebagai pelabuhan utama dan juga ibu negara Maharaja Srivijayan. Oleh itu, nasib Langkasuka-Kedah terkait rapat dengan Sriwijaya, dan kejatuhan Langkasuka-Kedah hanya menyusuli kejatuhan Sriwijaya akibat serangan Chola dari India Selatan pada abad ke-11.[35] Lompang kuasa yang tertinggal akibat kejatuhan Sriwijaya diisi oleh kebangkitan Kerajaan Nakhon Si Thammarat atau Ligor yang berjaya menyerap sebahagian besar Semenanjung termasuk Pahang ke dalam lingkungannya hingga abad ke-13. Ketika ini, Pahang digelar Muaeng Pahang[36] dan dijadikan salah sebuah negeri kota naksat Ligor.[37][38] Pada abad ke-14, Ligor dibayangi kebangkitan bangsa Thai beragama Buddha sehingga diserap oleh kerajaan Sukhothai di bawah pemerintahan Ram Khamhaeng.[39]
Pada abad ke-14 timbulnya bukti catatan terawal kehadiran agama Islam di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu.[40][41] Pada masa yang sama, kerajaan Pahang Tua mula mengembangkan pengaruh ke selatan semenanjung. Pahang diperikan oleh sejarawan Portugis, Manuel Godinho de Erédia sebagai Pam, salah satu daripada dua kerajaan "Malayos" di semenanjung, sebagai pewaris Pattani yang mekar sebelum penubuhan Melaka pada abad ke-15. Maharaja Pahang juga dipertuankan oleh negeri-negeri "Hujung Tanah" iaitu bahagian selatan semenanjung termasuk Temasek (Singapura).[42] Malahan, babad Majapahit Nagarakretagama juga menyebut nama Pahang sebagai gelaran bagi seluruh Semenanjung, menandakan kesohoran Pahang Tua di rantau terbabit.[43]
Catatan Sejarah Ming menyebut tentang beberapa perwakilan dari Pahang ke istana Ming pada abad-abad ke-14 dan ke-15. Pada tahun 1378, Maharaja Tajau menghantar duta dengan warkah daun emas dan enam hamba asing dan hasil negara sebagai ufti. Pada tahun 1411, sewaktu pemerintahan Maharaja Pa-la-mi-so-la-ta-lo-si-ni (dialih aksara oleh sejarawan sebagai 'Parameswara Teluk Chini', jangan disamakan dengan Parameswara pengasas Melaka), baginda juga menghantar duta bersama ufti, dibalas oleh pihak Cina dengan penghantaran Laksamana Zheng He pada 1412 selaku duta ke Pahang, dan pada tahun 1414, Pahang sekali lagi menghantar ufti ke China. Pada tahun 1416, kerajaan Pahang Tua menghantar ufti bersama duta-duta Kozhikode dan Jawa, dibalas jasa dengan penghantaran semula Zheng He ke Pahang.[44]
Penyerapan ke dalam Melaka
Abad ke-15 menyaksikan kebangkitan Kesultanan Melaka di bawah wangsa Sang Sapurba yang meluaskan pengaruh secara agresif di pantai barat Semenanjung. Sebelum itu pada hujung abad ke-13, wangsa tersebut merampas sebuah kota kara perdagangan kecil di Temasek dari Pahang lalu menubuhkan Kerajaan Singapura yang tidak kekal lama dan akhirnya diserbu oleh Majapahit seabad kemudian. Raja terakhir Parameswara kemudian menubuhkan Melaka untuk menggantikan Singapura.
Muzaffar Syah, Sultan Melaka kelima yang memerintah dari tahun 1445 hingga 1458, enggan mengiktiraf ketuanan Ligor ke atas negaranya. Maka Ligor cuba menegaskan tuntutannya dengan menghantar tentera pimpinan Awi Cakri untuk menyerang Melaka melalui jalan darat. Tentera penyerang itu menerima bantuan Pahang menelusuri laluan lama sungai-sungai Tembeling, Pahang dan Bera. Mereka dikalahkan dengan mudah dan berpatah balik mengikut jalan yang sama. Sekali lagi Ligor menyerang melalui lait, itu pun dipatahkan juga.
Muzaffar Shah kemudian berikhtiar untuk membendung gugatan Ligor dengan menyerang Pahang negeri naungan Ligor. Putera Muzaffar, Raja Abdullah membentuk sebuah bala tentera penyerang untuk dipimpin BendaharaTun Perak, dilengkapi dua ratus kapal layar kecil mahupun besar, untuk menyerang dan menawan Pahang pada tahun 1454. Maharaja Dewa Sura, pemerintah ketika itu melarikan diri ke pedalaman sementara puterinya Wanang Seri ditawan. Demi memuaskan hati Bendahara, Tentera Melaka bergegas untuk memburu Dewa Sura sehingga berjaya ditangkap dan diheret ke Melaka bersama Wanang Seri.[45]
Pada tahun tawannya Pahang, Raja Abdullah dinikahkan dengan Puteri Wanang Seri yang ditukarkan namanya sempena masuk Islam, kepada Puteri Lela Wangsa. Mereka mempunyai dua putera iaitu Raja Ahmad dan Raja Muhammad.[46]
Pentadbiran
Tidak banyak yang diketahui tentang sistem pentadbiran Pahang Tua, namun ada beberapa gelaran pemerintah yang sempat dicatatkan dalam sejarah. Kerajaan diketuai oleh seorang raja mutlak bergelar Maharaja,[47] gelaran serupa dengan pemerintah negeri Ligor yang dipertuannya.[48] Menjelang akhir era Pahang Tua, Maharaja dicatatkan oleh de Erédia sebagai sama wangsa dengan Ligor.[49] Dalam Pustaka Song tercatatnya pembesar gelaran Senapati (ketua tentera dalam bahasa Sanskrit) yang pernah mengetuai rombongan kedutaan ke negara Cina.[50] Di samping itu, diketahui akan seorang syahbandar Pahang yang memerintah pulau Temasek sebelum dirampas oleh wangsa Sang Sapurba.[51]
Istana purba bergelar Inderapura, manakala ibu kotanya sentiasa dipanggil Pekan oleh orang Melayu setempat, Pura oleh masyarakat pra-Melaka, a Cidade oleh ̠Portugis, dan Pekan Pahang oleh masyakarat Rompin dan Bebar. Pekan ini dipercayai lebih besar daripada bandar Pekan masa kini. Selain daripada Pekan moden, ia dipercayai terdiri daripada tanah-tanah di tebing Sungai Pahang sejauh Tanjung Langgar.[52]
Budaya
Budaya Pahang Tua merupakan hasil gabungan pelbagai budaya Mon-Khmer dan Melayik.[53][54] Penduduk setempat pra-Melaka bersama dengan suku-suku tamadun Segenting di utara, semuanya sekali digelar 'Siam' dalam Sulalatus Salatin,[55] tetapi dikira orang Melayu oleh sejarawan Portugis de Erédia.[56] Sebaliknya, de Erédia menggunakan istilah 'Siam' untuk memaksudkan negara yang dipertuan oleh orang Siam tersebut, iaitu kerajaan Thai Ayutthaya.[57] Penggunaan gelaran Siam ini dilanjutkan sebagai gelaran luar bagi kerajaan-kerajaan Thai yang berikutnya oleh penulis Eropah.
Hikayat Hang Tuah menceritakan bahawa sungguhpun orang Pahang menganggap dirinya Melayu, tetapi mereka bertutur dan bernyanyi dalam suatu bahasa yang jauh berbeza dengan bahasa Melayu yang dituturkan di Melaka, menandakan percampuran bahasa dan kaum.[58] Orang Pahang pra-Melaka disifatkan oleh Fei Xin sebagai penganut agama Buddha Mahayana, tetapi juga mengamalkan orgi tantrik yang melibatkan upacara pengorbanan manusia. Biarpun pudar setelah kemasukan Islam, namun pengaruhnya berkekalan di Pahang sehingga awal abad ke-17.[59]
Ekonomi
Hasil pendapatan utama negeri Pahang Tua ialah emas. Terkenal dengan lombong-lombong emas yang dianggap terunggul di seluruh semenanjung, dari sinilah datangnya hubungan perdagangan dengan Iskandariah yang berteraskan hasil emas.[60] Semenanjung Melayu ketika itu dikenali sebagai sumber emas sehingga Ptolemy menggelarnya Chrysḗ Chersónēsos (semenanjung emas).[61] Menurut Fei Xin, Pahang juga menghasilkan beras, garam yang dibuat dengan mendidih air laut, dan arak yang dihasilkan dengan menapai air pokok kelapa. Fei Xin juga menyebut tentang hasil hutan yang nadir dan berharga seperti kapur barus, kemenyan, gaharu, cendana, kayu sepang, lada dan sebagainya, manakala yang diimport termasuk, sutera celup, batik, barang perak, tembaga dan besi, gong dan papan.[62]
Linehan, William (1973), History of Pahang, Malaysian Branch Of The Royal Asiatic Society, Kuala Lumpur, ISBN978-0710-101-37-2
Milner, Anthony (2010), The Malays (The Peoples of South-East Asia and the Pacific), Wiley-Blackwell, ISBN978-1444-339-03-1
Mishra, Patit Paban (2010), The History of Thailand, Greenwood, ISBN978-0313-340-91-8
Munoz, Paul Michel (2007), Early Kingdoms of The Indonesian Archipelago and the Malay Peninsula, Didier Millet, ISBN978-9814155670
Rajani, Chand Chirayu (1987), Towards a history of Laem Thong and Sri Vijaya (Asian studies monographs), Institute of Asian Studies, Chulalongkorn University, ISBN978-9745-675-01-8
Zakiah Hanum (1989), Asal-usul negeri-negeri di Malaysia (The Origin of States in Malaysia), Times Books International, ISBN978-9971-654-67-2