Tom Cruise (lahir Thomas Cruise Mapother IV; 3 Julai 1962) merupakan seorang pelakon dan penerbit filem Amerika Syarikat.[1][2][3][4] Beliau terkenal dengan filem-filem aksi terutamanya siri filem Mission: Impossible dan juga ialah penyokong kuat fahaman Gereja Scientology.[5] Popularitinya cukup terserlah dan enam dari filem lakonannya telah mengutip lebih ASD 100 juta bagi setiap filem. Beliau telah berkahwin sebanyak tiga kali dan dikurniakan 3 anak.[6][7][8][9]
Tom Cruise telah dilahirkan pada 3 Julai 1962, di Syracuse, New York. Bapanya, Thomas Cruise Mapother III adalah seorang jurutera yang sering berpindah-randah, ibunya ialah Mary Lee Pfeiffer. Akibatnya, pada usia 14 tahun dia telah memasuki 15 sekolah yang berlainan di Amerika Syarikat dan juga Kanada. Akhirnya keluarganya telah menetap di Glen Ridge, New Jersey. Tom mempunyai empat adik beradik dan kesemuanya adalah perempuan. Sebagai anak lelaki yang tunggal, dia sangat dimanjai oleh ibunya. Manakala, bapanya pula adalah seorang yang sangat bengis dan kejam. Tom mengakui bahawa dia sering didera oleh bapanya. Pada usia 11 tahun, bapanya telah meninggalkan keluarganya dan enggan membayar nafkah kepada mereka. Akibatnya, keluarga Tom Cruise telah hidup dalam kemiskinan sehingga ibunya terpaksa mengambil 3 pekerjaan untuk menampung kehidupan mereka.
Faktor-faktor ini telah menjadikan Tom seorang pemalu yang kerap dibuli di sekolah. Tambahan pula, dia menghidapi masalah dyslexia dan ini telah menjejaskan pelajarannya. Sewaktu menghadiri sebuah sekolah mubaligh di Cincinnati, dia mula bercita-cita menjadi seorang paderi Katolik. Walaupun begitu sewaktu di sekolah tinggi, minatnya berubah kepada dunia lakonan apabila berjaya mendapat watak utama dalam persembahan muzikal yang bertajuk Guys and Dolls.
Pada usia 18 tahun, dia telah meninggalkan alam persekolahan untuk berhijrah ke Hollywood untuk mencapai cita-citanya sebagai pelakon terkenal. Setahun kemudian dia berjaya mendapat watak yang kecil dalam filem Endless Love di samping pelakon popular Brooke Shields. Pada tahun yang sama dia juga berlakon dalam filem remaja Taps. Walaupun begitu, filem yang berjaya melonjakkan namanya sebagai pelakon remaja terkenal ialah filem Risky Business pada tahun 1983. Adegan dimana dia menyanyi dengan hanya memakai seluar dalamnya telah menarik minat ramai remaja generasi-X ketika itu. Kejayaannya di layar perak telah memberinya dorongan untuk mengasahkan bakatnya sebagai pelakon yang berkaliber. Lalu dengan hasil titik peluhnya sendiri, dia telah mendaftar untuk belajar drama di sekolah lakonan berprestij iaitu Neighborhood Playhouse School of the Theatre di New York. Sewaktu disana dia telah berguru dengan beberapa pelatih lakonan yang terkenal termasuklah guru lakonan tersohor Sanford Meisner.
Dengan ilmu yang diperolehinya, lakonannya telah bertambah mantap. Filem-filem lakonannya mula mencapai box-office pada pertengahan 1980an, bermula dengan filem drama Top Gun (1986), The Color of Money (1986), Rain Man (1988) dan Born on the Fourth of July (1989). Walaupun tubuhnya agak rendah dengan ketinggian 5 kaki 7 inci, wajahnya yang kebudak-budakan telah berjaya menambat hati ramai penonton wanita.
Setelah sekian lama berlakon, Tom Cruise telah mencuba nasibnya sebagai Pengarah filem. Pada 1996, dia telah mengarah dan berlakon dalam pembuatan semula siri TV popular Mission Impossible.
Isteri pertama Tom ialah Mimi Rogers seorang pelakon yang baru menceburi dunia lakonan. Walaupun perkahwinan ini tidak lama iaitu antara 1987 dan 1990, Mimi ialah orang utama yang memperkenalkan Church of Scientology (Gereja Saintologi) kepada Tom Cruise. Dia begitu terpikat dengan ajaran ini, sehingga mengakui bahawa ajaran ini telah membantunya mengatasi masalah dyslexia yang menghantuinya sejak kecil lagi. Pada tahun 1990, dia telah mengisytiharkan dirinya keluar daripada agama Katoliknya dan memeluk fahaman Gereja Saintologi.
Pada akhir tahun yang sama, dia berkahwin dengan pelakon daripada Australia, Nicole Kidman. Sebelum ini, dia telah digandingkan dengan Nicole dalam dua filem iaitu Days of Thunder dan Far and Away. Perkahwinan ini telah berterusan selama lebih 10 tahun. Walaupun tidak mendapat cahaya mata, mereka telah mengambil dua orang anak angkat seorang lelaki dan seorang perempuan iaitu Connor dan Isabella.
Pada 8 Ogos 2001, dia telah bercerai dengan isteri keduanya. Nicole Kidman kini telah berkahwin pula dengan penyanyi country dan western Keith Urban. Hak penjagaan kedua-dua anak angkatnya juga diberi kepada suami Nicole yang baru. Selepas penceraian ini, Tom telah berpasangan dengan beberapa artis popular dan perhubungan yang paling intim ialah dengan Penélope Cruz.
Tom Cruise mula berpacaran dengan pelakon muda Katie Holmes pada April 2005. Katie seorang pelakon utama dalam drama TV Dawson Creek, adalah 16 tahun lebih muda dari Tom. Walaupun begitu, jurang umur itu tidak menghalang mereka dari terus berdampingan. Dalam masa yang singkat iaitu pada Jun tahun yang sama, dia telah melamar Katie di atas menara Eiffel di Paris. Pada 18 April, 2006 Katie telah melahirkan seorang anak perempuan bernama Suri. Pasangan ini yang diberi nama jolokan "TomKat" akhirnya berkahwin di Bracciano, Itali pada 18 November, 2006.
Anugerah
Pencalonan
Lokasi Pengunjung: 3.137.41.233