Carta Radio Muzik adalah program carta lagu popular bertaraf nasional yang disiarkan setiap minggu (lazimnya pada hari Sabtu, jam 2 petang) di saluran Radio Muzik (kini digelar Nasional FM). Lagu-lagu yang ditabalkan sebagai juara mingguan ini berjaya mendapat permintaan tertinggi daripada pendengar seluruh negara melalui poskad dan telegram.
Pada pertengahan 90an, program carta Radio Muzik kelolaan juruhebah Maznah Abdul ini menjadi carta radio utama di Malaysia setelah era Carta Pujaan 10 RTM yang disiarkan di Radio Klasik (dahulunya digelar Radio 1). Ini berikutan penarafan (rating) Radio Muzik yang menduduki tangga tertinggi sebagai radio paling kerap didengar rakyat Malaysia dari tahun 1995 hingga 1999.[1]
Komposer Saari Amri mencipta sejarah apabila 8 buah lagunya menjuarai carta dalam tempoh satu tahun. Ia disumbangkan melalui dua projek album terbesarnya tahun ini iaitu "Tajam Menikam" (Ukays) dan "Kesan Terbukti" (Slam). Saari juga meraih kedudukan Top 5 dan Top 10 untuk single utama artis lain selain daripada dua kumpulan popular berkenaan.
Tahun 1995 menyaksikan 30 buah lagu dinobatkan sebagai juara, sekaligus menjadi tahun yang mempunyai lagu terbanyak menjuarai carta radio dalam tempoh satu tahun.